Instagram

Benar, Zaid bukan Ghafar.


Disangka panas hingga ke petang rupanya banjir pada malam hari. Zaid sejak semalam bertubi-tubi membelasah PKR, Anwar Ibrahim dan pesaingnya dalam merebut jawatan Timbalan Presiden PKR - Azmin Ali - semahu-mahunya. Apa yang dilampiaskan pada sidang media khas di banglo mewahnya di Tropicana Petaling Jaya tempohari benar-benar seperti apa yang terbuku dihatinya. Itulah Zaid Ibrahim, dari kalah perebutan sebagai Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu, meletak jawatan dalam kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi sehinggalah diberi penghormatan sebagai Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dan yang terbaru menjadi calon Timbalan Presiden PKR yang kemudiannya kesemua yang 'dimiliki' itu dilepaskan begitu sahaja. Beliau juga dipetik sebagai berkata untuk tidak menulis surat rasmi mengenai peletakan jawatannya dan penarikan diri sebagai calon yang bertanding. Bagi beliau cukup memadai hanya dengan menulisnya di blog.Itu adalah kenyataan rasmi bagi dirinya. Mungkin baginya, lafaz cerai yang dibuat di kamar tidur sudah memadai dan tidak perlulah untuk direkodkan ke mahkamah akan perceraian tersebut. Itu bahasa undang-undang yang hanya layak difahami Zaid tetapi tidak bagi orang lain. Seakan suatu dorongan yang sempurna oleh ALLAH apabila Zaid Ibrahim keluar dari UMNO dan menyertai PKR serta bertanding pula di dalam parlimen Hulu Selangor. Dan beliau kalah disitu. Jika Zaid mengkritik Anwar lemah dalam memainkan peranananya sebagai Ketau Umum PKR, Zaid sepatutnya menolak pencalonannya sebagai calon untuk bertanding di dalam parlimen Hulu Selangor dulu. Bagi Zaid, perkiraan Anwar ketika itu mungkin tersilap dan tersasar. Anwar mungkin terpengaruh dengan karisma Zaid yang baru sahaja menyertai PKR dengan melepaskan jawatan menteri dalam kerajaan sebagai tanda protes kepada ketidakadilan dan salah guna kuasa oleh kerajaann UMNO/BN. Maka perkiraan Anwar dengan meletakkan Zaid sebagai calon di Hulu Selangor pastinya suatu tindakan yang salah dari pemimpin yang lemah seperti Anwar seperti yang didakwa Zaid semalam. Malangnya, Zaid menerima pencalonan dirinya sebagai calon dan bersungguh-sungguh pula beliau mahukan kemenangan. Tidak tersilap pula tindakan Anwar ketika itu? Tidak pula beliau menyebut akan kesilapan Anwar dan kelemahan Anwar yang memilih beliau menjadi calon bertanding di situ?Dan apabila beliau kalah, mungkin itulah yang dimaksudkan Zaid pada sidang media semalamnya - betapa Anwar seorang pemimpin yang lemah. Lemah dalam membuat keputusan memilih dirinya sebagai calon!

Zaid yang belum teruji sedikit pun seperti aktivis reformasi 98' di jalanan malah seperti mereka yang terpenjara untuk memperjuangkan ketelusan demokrasi, tiba-tiba berkokok meletakkan kesalahan dan kelemahan parti yang dianggotai oleh hampir 400 ribu ahli di atas beban Anwar Ibrahim dan Azmin Ali semata-mata?Tidakkah beliau sedar dari mana datangnya keahlian hampir 400 ribu ahli PKR kalau tidak dari faktor kedua-dua tokoh pemimpin ini? Di mana beliau ketika mereka berdua ini bersusah payah membina parti dari jeriji-jeriji besi, darah dan airmata? Zaid sepatutnya lebih bersabar dan lebih mendalam hiruk-pikuk perjuangan parti PKR. Beliau sepatutnya menjadikan asas Islam sebagai penunjuk dan pedomannya dalam bergerak serta bertindak sebagai anggota biasa parti mahupun sebagai Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan yang dipegangnya. Tempatnya sepatutnya sebagai anggota biasa sebelum naik ke jawatan sepenting itu. Namun, mungkin akibat 'kelemahan ' Anwar Ibrahim, beliau dipilih memegang amanah sebagai pengerusi. Beliau seharusnya fokus untuk memperkukuhkan keperluan anggota-anggota PKR di cabangnya dahulu. Tetapi, sebagai menjunjung lunas-lunas demokrasi, penulis meraikan pencalonan beliau untuk merebut jawan No.2 dalam parti. Walhal, kalaulah sumbangan yang beliau mahu tunjukkan, beliau boleh bermula dari situ. Alhamdulillah, natijah timbul lebih awal. Wajah Zaid Ibrahim dapat kita kenalpasti lebih awal dari yang kita duga. Bagi Zaid Ibrahim, beliau telah melakukan kesilapan dengan mengharapkan PKR ini adalah seperti parti yang di dalam mimpi-mimpinya. Yang di dalamnya tiada cacat cela yang boleh diperbaiki. Yang di dalam serba baru dan serba sempurna untuk beliau melaburkan segala kekayaannya. Yang di dalamnya apabila dia mahu bertanding, dia sahaja yang mampu menang. (lihat sahaja kenyataannya di dalam akhbar apabila ditanya wartawan siapa yang mungkin layak untuk menggantikan Anwar - beliau mencadangkan dirinya!). Dakwa Zaid dia silap apabila menyertai PKR dengan meyakini yang kononnya PKR itu tidak seperti UMNO. Dia kecewa dengan kesilapannya itu. Sebenarnya, Zaid Ibrahim bukan melakukan kesilapan dengan mengkritik Anwar Ibrahim mahupun Azmin Ali secara terbuka di media massa. Tidak. Beliau juga tidak membuat kesilapan dengan menarik diri bertanding dan meletakkan semua jawatannya dalam PKR tanpa menulisnya secara rasmi kepada parti. Itu juga tidak.Beliau tidak membuat kesilapan dengan menerima untuk menjadi calon bertanding di parlimen Hulu Selangor. Tidak sama sekali. Beliau juga tidak melakukan apa-apa kesilapan dengan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR itu.Kesilapan besar yang dibuat oleh Zaid Ibrahim ialah meletakkan jawatan sebagai menteri UMNO dan menyertai Parti KeAdilan Rakyat dan melakukan apa yang telah beliau lakukan sekarang ini. Ya,itu kesilapannya yang paling besar.

Nor MIswary Ramli
Shah Alam

Pautan Bermanafaat

Who am I?

My Photo
Nor Miswary b. Ramli
"Rakyat ini perlu dibela.Kita perlu hak-hak kita kekal segar dipelihara; oleh pemimpin yang benar, yang jujur dan yang taat kepada nilai-nilai Islam. Kita perlukan pendidikan dan bukannya hukuman sebagai asas perkembangan".
View my complete profile

Disclaimer

Semua artikel yang tersiar dalam blog ini merupakan idea dan aliran pemikiran penulis secara peribadi dan mungkin tidak sealiran dengan pertubuhan atau organisasi yang penulis anggotai. Ia boleh berkaitan dengan apa sahaja yang boleh memberi manafaat kepada pemilik blog atau mereka yang menurutinya. Komen, teguran dan kritikan yang membina dari pengunjung adalah dialu-alukan.
.
.
.
.

About

Powered by Blogger.

Popular Posts