Instagram

Saya pernah hampir digigit lipan ini.




Waktu tu, wife saya masih di bahau, Negeri Sembilan. Pulang dari tempat kerja seusai mandi dan solat saya turun ke ruang tamu di bawah. Ada perlawanan EPL yang melibatkan Manchester United. Waktu tu kira-kira jam 9.00 malam. Jadual perlawanan sekitar jam 9.45 malam. Saya berhajat untuk melelapkan mata sekejap sebelum perlawanan bermula. Sebaik berbaring dan mengiring, saya terasa seperti mahu menukar posisi baring. Dengan tidak semena-mena entah dari mana datangnya, lipan ini tiba-tiba berada betul-betul di pinggang kiri saya! Dengan paniknya, saya bangun tetapi tidak terus berdiri. Dengan keadaan serba panik itu tadi, saya telah terduduk di atas cermin mata. hancur berkecai cerminnya!Maka bertambah panik lagi saya. Dah dengan mata yang kelabu, lipan itu tadi dengan pantas cuba menyelinap ke arah tempat baring saya tadi. Saya masih lagi cemas dan panik. Jantung saya bergerak sangat deras, degup debarnya bagai terdengar di telinga saya sendiri.Cemas dan panik itu telah mencurahkan peluh di seluruh badan, muka dan dahi saya. Dalam keadaan panik, berdebar-debar serta terasa bagai mengigil-gigil seluruh anggota badan itu, tiba-tiba wife saya menghubungi saya dari Bahau, Negeri Sembilan (terfikir sampai hari ini, betapa kuatnya rasa resah saya sehingga sampai ke hatinya di sana). Apabila anda panik dan cemas, harus diingatkan, anda perlu mendapat bantuan orang lain kerana otak anda tidak dapat memberi pertimbangan.Dalam kes saya ini, wife saya menjadi pihak yang memberi bantuan.Lalu wife saya suruh saya mendapatkan dulu cermin mata lama yang masih tersimpan. Kemudian barulah saya perlu segera mendapatkan alat penyembur racun pembunuh lipas untuk membunuh lipan tersebut. Dengan terketar-ketar dan cemas, saya dapatkan Baygon (penyembur racun pembunuh lipas)dari dapur dan terus mencari-cari lipan tadi. (Ya!Mencari-cari lipan yang telah menyembunyikan diri di rumah saya!). Selak punya selak, saya dapati ianya sedang cuba memanjat langsir sliding door rumah saya.Dengan mata yang jelas tak jelas sebaba pakai cermin mata lama,dengan terketar-ketar dan peluh masin yang mula masuk ke celah-celah mata, saya pun sembur la sekuat tenaga ke arah lipan tadi. Ianya lari mengelupur. Makin panik saya! Sebab ianya datang ke arah saya yang menyemburnya!Saya terus sembur dan sembur sehinggalah ia tidak lagi bernyawa. Wife saya cadangkan saya simpan di dalam bekas mineral water ini. Waktu nak angkat masuk ke dalam botol ni, ALLAH sajalah yang tahu betapa menggigil dan mengeletarnya saya time tu. Ye la, mana tahu lipan ni pura-pura mati dan tiba-tiba menyerang saya semula!Semenjak tu, kami terus berpindah ke rumah baru. Wife saya tak sanggup menghadapi ujian seperti ini sekali lagi.Syukur sebab masih hidup.Sebab menurut orang-orang tua yang saya temui kemudiannya, lipan bara sebesar ini, dengan warnanya sebegitu,sengatannya boleh membawa maut!Ye ker?Ya.Syukur kan?

Ku Li mula bertindak.Bosan dengan Ibrahim Ali?


AMANAH : Suara menuntut kebenaran, keadilan dan rasa timbang rasa
Izinkan saya mengucapkan selamat datang kepada saudara saudari sekalian, para rakan sealiran dan sahabat sekalian, ke majlis pelancaran Angkatan Amanah Merdeka atau ringkasnya AMANAH ini. Saya berasa amat terhutang budi atas kehadiran saudara sekalian pada hari ini. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang dapat hadir dan yang membantu untuk menjayakan Majlis Pelancaran ini. Saya percaya bahawa di hujung jalan yang kita mulai dengan langkah awal ini, kita akan dituntut untuk membuat beberapa pilihan yang sangat penting bagi masa depan negara kita - pilihan yang mesti kita buat tidak kira apakah masalah, cabaran dan rintangan yang terpaksa kita hadapi. Pagi ini mungkin merupakan suatu peristiwa sosial yang biasa sahaja dalam lanskap (senario) seharian Malaysia atau ia mungkin juga boleh merupakan suatu permulaan dalam perjalanan ke arah sesuatu yang belum pernah terjadi, yang mungkin dapat mengubah arus arah tuju masa depan negara kita.


2. Biar saya katakan dengan tegas, tanpa ragu-ragu dan rasa berbelah-bagi bahawa saya sayangkan negara ini sepertimana saya percaya saudara sekalian pun begitu. Kita berkumpul di sini, bekas kediaman rasmi Perdana Menteri Pertama kita, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, pada hari ini bukan untuk melancarkan gerakan membantah atau protes dan tidak juga untuk bermain politik. Kita berkumpul di sini kerana kebanyakan daripada kita, secara tulus berasa amat prihatin dan risau, gundah dan sedih melihat apa yang sedang berlaku di negara kita yang tercinta ini.

Warga Malaysia yang berfikiran benar dan saksama jangan lagi berpeluk tubuh, menyerah dan menerima secara pasif dan berlembut hati terhadap buruk laku dan keadaan yang dahsyat seperti rasuah, kronisme dan krisis perkauman yang berlaku setiap hari di depan mata kita. Kita mesti bertindak segera sebelum keadaan ini sampai ke tahap yang tidak dapat dipulihkan lagi sehingga akhirnya seluruh asas peraturan hidup sosial, moral, budaya, undang-undang dan perlembagaan yang menjadi wadah ketahanan negara kita selama ini akan hancur dan musnah. Kita jangan menunggu lama lagi sebelum kita terlambat untuk melakukan perubahan.

3. Kita berkumpul di sini hari ini kerana kita memerlukan suara hati budi ramai, suara untuk melafazkan kehendak hati kita kepada pihak-pihak yang berkuasa dengan cara yang tertib dan demokratik sebagaimana yang dijamin dan dipertunjukkan oleh peraturan perlembagaan kita dan juga oleh tradisi bersama kita sebagai rakyat yang cintakan keamanan. Kita jangan membiarkan perbuatan manipulasi politik apa pun dan dari mana-mana pihak pun, untuk memecahkan rakyat majoriti melalui apa-apa dasar dan keputusan yang secara sengaja dibuat untuk kepentingan golongan-golongan minoriti yang berkepentingan. Sejak masa sebelum kemerdekaan sampai sepanjang tempoh 54 tahun yang lepas Malaysia telah membuktikan bahawa penduduknya dapat hidup bersama dalam semangat perpaduan, harmoni, dan timbang rasa antara satu sama lain. Semangat timbang rasa antara penduduk negeri ini luarbiasa sekali sifatnya, dan kalau kita mengimbau kembali masa-masa yang lepas kita dapati bahawa interaksi atau perhubungan antara kaum dan toleransi atau rasa timbang rasa keagamaan tidak pernah menjadi masalah kita. Berkali-kali di masa-masa dahulu Malaysia disebut-sebut oleh masyarakat antarabangsa sebagai contoh atau "model" negara yang penduduk pelbagai kaum etniknya dapat hidup bersama dan bersatu. Semangat inilah, model perpaduan antara etnik inilah, sebagai asas perpaduan kebangsaan kita, yang mesti kita berusaha bersungguh-sungguh untuk memulih dan memeliharanya. Jikalau pada hari ini semangat ini sudah tidak ada lagi - sebagaimana yang dapat kita saksikan sedang berlaku setiap hari - tentu ada sesuatu yang sangat tidak betul berlaku dalam cara kita memerintah atau mentadbirkan negara ini. Maka saya katakan bahawa masanya sudah tiba untuk kita mencegah dan memberhentikan perkembangan menurun dan merosot yang dahsyat ini. Jangan kita teruskan sindrom penapian terhadap keadaan ini untuk menutup kebenaran atau realiti yang sebenar.

4. Saya memerhatikan, dengan hati yang sangat gusar, melihat keadaan yang amat merunsingkan, iaitu keadaan perhubungan antara kaum dan antara agama yang kian memburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan jika keadaan ini saya tambahkan lagi dengan perbuatan sesetengah pihak dan orang perseorangan yang secara terang-terang dan barangkali dengan sengaja merosakkan institusi-institusi perpaduan di negara ini untuk kepentingan mereka, maka saya katakan terus terang bahawa saya amat sedih dan risau.

5. Sudah sekian lama, di antara kalangan kita yang mewakili suara pertengahan dan sederhana menyepi dan cuba mengelak risiko konfrontasi (dengan pihak berkuasa) kerana kita mahu meneruskan kehidupan biasa kita yang bebas daripada masalah dan kesusahan yang dicari-cari. Sikap seperti ini tidak sepatutnya berlaku berterusan kerana kalau kita menyepi dan tidak berbuat apa-apa padahnya amat buruk kepada kita dan keadaan itu tidak akan dapat dipulihkan.

6. Inilah masanya golongan majoriti yang menyepi selama ini mendengarkan suara mereka. Inilah masanya ayah yang selama ini senyap untuk bersuara bersama-sama alunan dan jeritan suara yang lain dan bertanya: "Kami mahukan kebenaran, tidak paparan kepalsuan dan penipuan". Inilah masanya suri rumah tangga yang selama ini
berdiam diri dan tidak bersuara berkata: "Saya mahukan masa depan untuk anak-anak saya yang bebas daripada segala macam masalah yang dicetuskan oleh pelbagai pihak dan individu politik, ekonomi dan kumpulan-kumpulan sosial berkepentingan sendiri". Ini masanya orang muda-dewasa yang bekerja berkata "Kami mahu tahu ke manakah arah tuju negara kita dan kami mahu tahu bahawa keputusan dan pilihan yang dibuat adalah yang terbaik dan benar". Inilah masanya saudara sekalian dan saya sendiri dengan tegas menolak perbuatan rasuah besar-besaran dan perpecahan kaum yang sedang berlaku sekarang, dan berkata, "Berhentilah! Cukuplah"! dalam sejarah Malaysia belum pernah timbul keadaan dan ketika yang lebih mendesak daripada keperluan ketika kini untuk kita semua berdiri menentang keadaan yang buruk itu.

7. Apabila Bapa Kemerdekaan kita Almarhum Tunku Abdul Rahman yang tercinta menubuhkan Malaysia, dia bercakap tentang penduduk pelbagai kaum hidup sebagai anggota dalam satu keluarga yang besar. Dia berkata, kira-kira demikian bunyinya: "Jikalau kita mahu bersatu sebagai satu keluarga dan mahu hidup di bawah satu bumbung yang kita sebut Malaysia, kita kenalah bersikap jujur terhadap satu sama lain Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan, kaum Siam dan lain-lain lagi - Orang Islam, orang Buddhist, orang Hindu, orang Kristian, dan sebagainya. Jikalau kita jujur dan ihklas, kita tidak akan berkata apa-apa yang boleh menyakiti orang lain. Kita juga tidak akan melakukan apa-apa perbuatan yang boleh menyakiti hati dan perasaan satu sama lain. Sebagai anggota keluarga yang iklhas dan jujur kita mestilah sentiasa hadir, bersedia untuk menolong satu sama lain. Yang kaya hendaklah menolong yang miskin dan yang sudah berjaya hendaklah menolong yang kurang bernasib baik. Dengan cara begitulah baru kita boleh menjadi satu bangsa dan menjadikan negeri ini bersatu-padu dan kuat. Setiap orang akan berasa gembira. Barulah Malaysia akan dihormati oleh dunia..."

8. Alangkah hebatnya kata-kata yang mudah tetapi penuh hikmah ini. Dia mahukan kita hidup dengan cara demikian sebagai anggota dalam keluarga yang bahagia. Selepas 54 tahun, di mana kita berada sekarang? Adakah kita sudah dapat hidup sebagai satu keluarga? Seperti yang telah saya katakan tadi, jikalau belum, tentu ada sesuatu yang salah. Kita tidak boleh menunggu terlalu lama lagi untuk mengembalikan negeri kita ke jalan yang benar. Kita mesti berbuat sesuatu dan melakukannya sekarang juga! Setiap warga Malaysia yang berfikiran benar hendaklah bersama-sama dalam gerakan ini, gerakan untuk menyatakan hasrat dan suara kita - dan menyatakannya dengan lantang dan jelas.

9. Tunku Abdul Rahman mengamalkan apa yang dia serukan kepada orang lain. Oleh sebab kerajaan pada masa itu tidak mempunyai wang yang cukup, dia berjaya memujuk kawan-kawan bukan Islamnya dan beberapa pihak lain untuk memberi sumbangan kepada tabung pembinaan Masjid Negara. Masjid itu dibina dengan kos RM10 juta sahaja. Projek itu tidak sahaja merupakan tanda jasa Tunku tetapi ia juga menjadi lambang kerjasama antara orang Islam dan bukan Muslim dalam memupuk persefahaman yang lebih baik dan rapat antara pelbagai kumpulan etnik dan agama di negara ini. Tunku juga giat berusaha mempertemukan negara-negara Islam untuk menggalakan kerjasama dalam bidang ekonomi dan memupuk keamanan dan kestabilan. Akhirnya idea atau gagasan yang dia cetuskan itu menjadi kenyataan apabila dia berjaya mempertemukan 52 negara Islam, besar dan kecil, yang kaya dan yang miskin, dalam sebuah pertubuhan Persidangan Islam setelah Tunku mendapat restu dan sokongan Almarhum Raja Faisal dari Arab Saudi untuk menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (yang kini terkenal dengan nama singkatnya dalam bahasa Inggeris 'OIC'). Pertubuhan ini kini menjadi monumen sebagai saksi kepada usaha jerih Tunku memupuk perpaduan di kalangan umat Islam sedunia. Tunku tolak kezaliman dan diskriminasi apabila dia perang Apartheid sehingga Rejim Rasis Afrika Selatan itu disingkir dari Commonwealth dan dari badan-badan dunia yang lain untuk mengajak seluruh dunia mengutuk dasar Apartheid yang kejam dan tidak berperikemanusiaan itu.

10. Dalam bidang sukan, Tunku memajukan bola sepak, badminton, sepak takraw, golf dan lain-lain lagi. Saya terpaksa mengulangi apa yang pernah saya ucapkan dalam majlis-majlis yang lain tentang betapa dunia sukan dipromosi oleh Tunku sebagai wadah untuk memupuk semangat kekitaan dan kebersamaan di negara ini: Saya pernah berkata, "Apabila terfikir tentang bola sepak, saya terkenang bagaimana Tengku berjaya membawa pasukan dari Timur Tengah dan serantau Asia untuk bermain di Kuala Lumpur dalam Pertandingan Bola Sepak Merdeka. Pasukan dari Korea dan Jepun datang mengambil bahagian dan dah jadi kebiasaan pada masa itu pasukan bola sepak kita mengalahkan mereka. Hari ini, menurut ranking FIFA, kita jatuh ke tahap bilangan ke-157 daripada 203 buah negara. Ini bererti ranking kita lebih rendah daripada Maldives yang rankingnya terletak pada nombor 149. Maldives ialah negara paling kecil di Asia; penduduknya cuma 400,000 orang, mereka hidup lebih kurang 1.5 meter dari paras laut. Di ASEAN, kita berada di belakang Indonesia, Negara Thai dan Singapura yang suatu ketika dahulu kita menguasai mereka. Nama-nama wira bola sepak kita pernah bermain di bibir kanak-kanak sekolah kita; mereka meniru mereka di padang bola sekolah mereka. Di manakah mereka sekarang? Jaguh bola seperti Soh Chin Aun, Arumugam, Isa Bakar, Santokh Singh, James Wong dan Mokhtar Dahari, sudah tidak ada lagi dalam arena bola sepak negara. Ini bukan soal kita hendak menjadi pasukan yang terbaik di dunia; ini soal semangat dan rasa ghairah kepada sukan. Masa dulu kita pernah melihat budak-budak kecil di kampung memukul bulu tangkis (badminton) dengan raket yang patah dan rosak di sekitar kampung mereka dan menggelar diri mereka Wong Peng Soon. Ya, Peng Soon adalah hero (wira) badminton Malaya, sama seperti wira-wira bola sepak kita. Hari ini rasa ghairah sukan itu tidak ada sedikit pun lagi dalam nadi kebangsaan kita. Ke mana perginya mereka?

11. "Pencapaian kita dalam pertumbuhan ekonomi yang saksama (dengan ekuiti) diakui seluruh dunia. Kumpulan negara sebaya kita dalam bidang pembangunan ekonomi pada masa itu adalah Korea Selatan, Hong Kong, Singapura dan Taiwan, dan kita mendahului mereka. Saya teringat masa dahulu kita pernah menerima delegasi dari Korea Selatan untuk datang belajar sedikit sebanyak daripada proses pembangunan kita. Hari ini, malangnya, kita berada jauh di belakang kumpulan negara-negara itu. Dan hari ini taraf kita sebagai negara pilihan atau sasaran pelaburan adalah sama dengan Cambodia, Myanmar dan Filipina. Tidak syak lagi bahawa Malaysia sedang melunsur ke bawah. Namun, kita dapat berkumpul pada hari ini dalam keadaan selesa. Orang berkata ini bukan kerana pengurusan kita baik dan cekap tetapi kerana negara ini mempunyai kekayaan (sumber asli) yang luar biasa. Malaysia diberkati oleh sumber kekayaan, baik sumber asli, baik sumber kekayaan budaya dan sosial tetapi, malangnya, disebabkan kelemahan pengurusan dan rasuah, kemajuan kita kini sedang menurun dan merosot." Ya, memang orang berkata Malaysia kaya, tetapi berbanding dengan jiran-jiran kita, kita masih secara relatifnya tidak bebas.

12. Apabila Tunku mengisytiharkan kemerdekaan negeri ini 54 tahun dahulu, kita diberitahu bahawa Malaysia akan menjadi negara demokrasi berparlimen dengan institusi kehakiman yang bebas.

13. Saya berdoa moga-moga kita tidak lagi lepas tangan dan berdiam diri, menjadi pemerhati yang tidak terlibat (komited), melihat perkembangan berlaku dan berlalu di depan kita, mengharapkan orang lain akan melakukan sesuatu seperlunya. Jika kita bersikap demikian bererti kita berada dalam dunia ilusi dan impian dan kita akan menghadapi padahnya apabila padah itu berlaku nanti. Kita perlu melakukan sesuatu yang baru, yang berlainan, dan untuk melakukan perubahan itu saya minta saudara sekalian menyertai kita dalam gerakan yang kita rintiskan hari ini. Demi masa depan anak-anak saudara sekalian dan cucu-cucu kita, kita tidak boleh gagal dalam gerakan pembaharuan ini.

14. Kita akan menubuhkan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang diberi nama Angkatan Amanah MERDEKA (ringkasnya AMANAH) untuk menggembelingkan suara dan tenaga kita untuk menjadikan gerakan ini sebagai wadah Semangat Malaysia yang baru. Suara ini ialah suara perpaduan, suara solidariti, suara kebenaran, dan kita akan berdiri teguh menentang wabak rasuah, kronisme, perkauman, sikap pelampau dan pembaziran. Kita akan berkata, "dahulukan kepentingan kebangsaan, yakni, kepentingan negara, dan kepentingan rakyat. Ini matlamat utama kita. Segala prioriti, keputusan dan pilihan dasar yang lain mesti tertakluk kepada matlamat kebangsaan yang utama ini."

15. Keadaan penduduk negeri yang miskin dan daif, terutama di kawasan luar bandar - mereka masih merupakan penduduk majoriti di negeri ini - mesti diperbaiki dan dimajukan melalui perancangan dan keputusan dasar yang sistematik dan sistemik, tidak melalui laungan slogan yang kosong isinya. Legasi dan visi Tun Razak berhubung dengan dasar-dasar pembangunan luar bandar, dasar pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum dan warna kulit, dan keseluruhan dasar pembangunan sosio-ekonomi berdasarkan prinsip Keadilan, Kesaksamaan dan Perimbangan merentas segala sektor, perlu kita jenguk semula dan jika perlu "di-remodel" sesuai dengan keadaan dan perkembangan semasa. Kita akan mempromosi Visi Tunku tentang pembinaan atau pengwujudan "Keluarga Bahagia Malaysia Yang Satu". Kita akan memastikan bahawa hak rakyat yang asas, yang fundamental, hak yang tidak sahaja ditakrifkan dalam Perlembagaan tetapi lebih penting hak-hak yang telah wujud dan yang dapat dikongsi bersama dalam tradisi agama, nilai moral dan budaya kita, akan dipromosi dan dipelihara sebagai rujukan fungsi negara.

16. Saya sendiri akan pergi ke merata ceruk rantau negeri kita yang hebat ini (dan saya mengajak saudara sekalian menyertai saya) untuk meruntuhkan segala tembok persengketaan, kecurigaan dan sikap tidak berperasaan terhadap satu sama lain. Saya tahu bahawa orang Melayu - demikian juga kaum-kaum lain di negara ini - tidak rasis dan tidak pernah rasis tetapi mereka bersikap perkauman kerana mereka dimanipulasi oleh pihak-pihak berkepentingan supaya berkelakuan, berfikir dan bertindak sebagai "komunalis", yakni kaum yang bersikap perkauman. Bagi orang Melayu sikap seperti itu sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam dan apabila orang Melayu bersifat kurang "Islamik" mereka cenderung ke arah bersikap perkauman atau rasis, berbalik ke zaman jahiliah sebelum Nabi Muhammad S.A.W. berdakwa menentang kepercayaan dan fikiran jahiliah (dan menyeru kepada perpaduan ummah, tidak kira kaum, bangsa, warna kulit dan sebagainya).

17. Kita boleh dan kita akan berikrar untuk berpegang kepada prinsip integriti dan kita tidak boleh gagal dalam usaha kita ini untuk mengembalikan nilai-nilai teras dalam membina kehidupan perpaduan dan sikap menerima satu sama lain.

18. Rakyat mahukan perubahan dan mengharapkan perubahan dan kita mempunyai misi yang cukup mendesak untuk bergerak menuju ke arah itu. Kini terserah kepada kita semua, kepada saudara dan kepada saya, untuk melakukan perubahan. Saya ingin menggalakkan saudara menghubungi saudara mara dan sahabat handai saudara untuk menolong kita mendapatkan sokongan mereka terhadap usaha yang mulia ini. Galakan mereka seterusnya untuk menghantarkan rayuan yang sama kepada rakan-rakan mereka pula. Mari kita pacukan gerakan ini sampai ke tahap dapat "menjangkit" Ke seluruh Negara. Jangan lagi majoriti daripada kita yang selama ini membisu tidak dipedulikan di negara yang menjadi kebanggaan dan sanjungan kita. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan Perkongsian dan sahabat sekalian kerana memberi peluang kepada saya untuk meluahkan suara saya pada pagi ini. Jangan kita gagal dalam misi cinta kita kepada Negara ini.

19. Biar saya akhiri ucapan ini dengan memetik kata-kata Nelson Mandela, manusia agung itu: Dia berkata (saya terjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan kita): "Biarlah wujud keadilan untuk semua manusia. Biarlah wujud keamanan dan perdamaian untuk semua manusia. Biarlah ada pekerjaan, roti, nasi, air dan garam untuk semua manusia. Biarlah setiap daripada kita tahu dan sedar bahawa bagi setiap manusia itu - jasad mereka, fikiran dan roh (jiwa) mereka telah dibebaskan untuk memenuhi kehendak diri mereka (dalam segala keperluan hidup)". Kata-kata Mandela ini menegaskan mesej dan suara hati manusia sejagat, mesej yang benar sepanjang masa dan zaman, mesej yang merupakan fitrah manusia, dimiliki dan dirasakan oleh seluruh umat manusia. Biarlah seruan ini menjadi ilham untuk kita mencapai kecemerlangan dalam usaha kita - usaha untuk memastikan bahawa setiap warga Malaysia, setiap rakyat, diberikan ruang dan peluang (platform) kebebasan dan peluang untuk memenuhi keperluan dan kehendak badan, akal, hati dan jiwa mereka.

20. Jika misi ini dikendalikan dan diuruskan dengan betul dan dengan jujur dan ikhlas, negara kita yang bertuah dan hebat ini boleh menjadi suatu ruang dan tempat untuk melahirkan kemakmuran dan keamanan dan perdamaian untuk semua penduduk (warga/rakyat) Malaysia. Terima kasih.

*Ucapan Tengku Razaleigh Hamzah (gambar kiri) di Majlis Pelancaran AMANAH, pada 22 Julai 2011, 9.00 pagi di Memorial Tunk

Betul kata puak-puak UMNO.Mesti berani kerana benar lah!


KUALA LUMPUR, 22 Julai: Peguam hak asasi manusia Perancis yang mengendali kes dakwaan rasuah yang melibatkan pembelian kapal selam Scorpene, William Bourdon (gambar) telah ditangkap oleh Imigresen Malaysia.

Beliau ditangkap ketika berada di atas kapal terbang apabila sekumpulan pegawai Imigresen naik ke atas kapal terbang itu.

William Bourdon, dijangka akan menghangatkan lagi politik Malaysia apabila beliau akan memberikan ucapan utama di tiga majlis anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bermula malam tadi di Pulau Pinang.

Bourdon, peguam Suaram bagi kes pembelian dua kapal selam Scorpene yang penuh kontroversi itu akan menceritakan perkembangan terkini kes itu di malam ini di Dewan Sivik MPPJ.

Peguam S Sivarasa menerima maklumat tangkapan itu melalui telefonnya semasa menyertai program Perception di pejabat Harakahdaily dan bergegas keluar untuk mengendalikan urusan itu.

Menurut aktivis Suaram, Cynthia Gabriel dalam twitternya, beberapa pegawai Imigresen naik ke atas kapal terbang yang beliau dan Bourdon naiki dan menangkapnya sebaik sahaja kapal terbang itu mendarat.

Kedua-dua mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Pulau Pinang.

Mengikut jadualnya, Bourdon memberikan ucapan di majlis pengutipan dana untuk mengendalikan kes siasatan terhadap pembelian Scorpean di mahkamah Perancis malam tadi di Pulau Pinang.

Beliau sepatutnya memberikan ucapan untuk majlis yang sama di Dewan Sivik MPPJ malam ini bersama Mohamad Sabu, Nurul Izzah Anwar dan juga Tony Pua.

Malam esok pula, Bourdon dijangka ke Ipoh untuk menyertai satu forum di sana.

Dalam laporan Harakahdaily sebelum ini, pegawai Suaram berkata, Bourdon telah mendapat visa untuk datang ke Malaysia.

DAP sedih dan pilu atas pemergian Dr Lo’ Lo’




18 July 2011


KUALA LUMPUR, 18 JULAI – DAP hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo’ Lo’ Ghazali atas pemergian tokoh wanita PAS itu buat selama-lamanya semalam.

Para pemimpin DAP menyifatkan ia sebagai satu kerugian besar buat Pakatan Rakyat dan PAS kerana dedikasi dan sumbangan yang diberikan Allahyarham kepada perjuangan rakyat dan wanita sangat besar.

Ketua Wanita DAP Chong Eng berkata Dr Lo’ Lo’ merupakan wanita pertama dari parti PAS yang beliau kenal dan beliau berasa sedih atas pemergian awal tokoh wanita PAS itu.

“Beliau mempunyai pemikiran yang tersendiri, malah beliau adalah wanita pertama di dalam PAS yang memegang jawatan-jawatan penting.

“Sayangnya, beliau pergi terlalu awal dalam usia yang masih muda. Ini adalah satu kerugian yang besar buat muslimat PAS juga,” katanya kepada Roketkini.

Chong yang menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham berharap semua rakyat Malaysia tabah menghadapi dugaan atas pemergian tokoh PAS tersebut.

Semalam, pada jam 10.13 malam, Dr Lo’ Lo’ telah diumumkan meninggal dunia di Hospital Selayang pada usia 54 tahun akibat penyakit barah.

Dr Lo’ Lo’ yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, adalah calon PAS pertama dalam tempoh lebih 30 tahun yang berjaya memecah masuk ke kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan menewaskan calon UMNO Datuk Aziz Jamaludin Mohd Tahir dengan majoriti sebanyak 1,972 undi.

Tidak ada pilihan raya kecil diadakan atas undang-undang yang tidak membenarkan pilihan raya kecil diadakan selepas Dewan Rakyat mencapai tempoh tiga tahun.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Teresa Kok turut mengucapkan takziah kepada keluarga dan teman-teman seperjuangan Dr Lo’ Lo’.

“Dedikasi beliau untuk rakyat, dan keberanian bersuara beliau tetap akan sentiasa dikenang,” katanya.

Dalam masa sama, Timbalan Ketua Pemuda DAP Kebangsaan Jenice Lee turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menjunjung tinggi Dr Lo’ Lo’ yang merupakan seorang Ahli Parlimen yang mempunyai prinsip dan berintergrasi.

Belum Bertajuk.

Syam
Atilla berjalan terus ke depan. Tidak langsung di pandangnya ke belakang. Dia yakin Imma mengejarnya dari belakang. Imma memanggil-manggil namanya. Atilla terus berjalan. Semakin lama semakin deras langkah kakinya. Berderap bagai seorang laskar berkawad. Tetapi deras. Sesekali bunyi seperti kakinya dihentak-hentak ketika berjalan. Seperti sengaja dibuat-buat. Aku hanya melangkah perlahan-lahan sahaja. Tak kuasa aku melayan keranah anak orang kaya tu. Tetapi sebab kesiankan Imma aku ikut sahaja mereka. Tapi aku tidak pula bersungguh mengejar mereka. Itu hal persahabatan mereka. Aku tak perlu campur dan tak rasa aku perlu mencampurinya. Aku rasa begitu. Kadang-kadang kesian aku tengokkan Imma tu. Dia bukanlah antara pelajar yang bijak dalam kelas kami. Tapi dia selalu sangat cuba rapatkan dirinya dengan Atilla. Imma orang kampung. Datang jauh dari hulu Baling di Kedah. Ayah dan ibunya pesawah. Itupun bukan sawah sendiri, mereka cuma menyewa sawah orang lain. Imam memang mahu menjadi seperti Atilla. Dia teringin sangat mempunyai kawan sehebat Atilla. Dia cuba sedaya upaya menjadi seperti Atilla. Aku nampak dia bersungguh-sungguh mencuba. Tapi, aku rasa dia hanya diperbodohkan sahaja oleh Atilla. Sudah banyak kali aku betulkan kepala otak Imma tu. Dah berbuih dah mulut aku memberitahu tentang sikap Atilla terhadapnya. Tapi Imma tak percaya. Tak pernah percaya pun. Malah dia dakwa aku cemburukan persahabatan mereka. Dia fikir dia boleh menjadi seperti Atilla. Atilla lain. Atilla menggunakan Blackberry berbanding Imma yang hanya menggunakan Nokia 3210 jenis lama yang permainan ularnya pun belum canggih lagi. Beg tangannya pula Luis Vitton. Imma pun sama. Bezanya Imma membelinya di UpTown Danau Kota dan Atilla membelinya di butik berhadapan Pavillion. “Kau nak ke mana ni Tilla?” soal Imma seraya tiba didepan muka Atilla. Sekejap-sekejap Imma memandang ke kiri dan kanan. melihat orang yang lalu lalang melihat gelagat mereka berdua. Imma seperti malu-malu kucing. Dan sesekali tersengih-sengih kepada mereka yang melihat padanya. “Bukan kau yang cari pasal. Lagipun kau faham-faham jer lah si Syam tu. Dia memang jenis yang tak boleh diajak berborak. Bodoh sikit dia tu”. Imma menambah. Ditenungnya muka Atilla dalam-dalam. Atilla membatu sahaja. Nampak seperti dia memandang aku yang berjalan malas ke arahnya. Atilla menjeling dan menjegelkan matanya pada aku. Dia kemudian silangkan kedua-dua tangannya tanda protes. Tanda tidak setuju dengan segala bujukan Imma. Mulutnya di cebik. Lagak seperti Prof Rahman memarahi kami di dalam bilik kuliah. “Saya tak pernah kisah kalau korang malas belajar dan selalu buat hal. Gaji saya tetap jalan!”.Sindir Prof Rahman sambil memperbetulkan cermin matanya. Dia kalau marah memang begitulah. Menjegelkan matanya dan mengungkit-ungkit tentang gajinya. Aku memang naik takut. Dan sekarang Inma seperti mengadap Prof Rahman. “Aku benci la mamat sengal tu! Benci!!” Atilla tiba-tiba memekik dan terus berlari. Imma tergamam. Dia hanya melihat sahaja Atilla berlari terus ke hujung koridor dan turun ke tingkat bawah. Imma merengus perlahan. Dia berputus asa. Aku berhenti berjalan ke arah Imma. Aku melihat Atilla turun dari koridor. Dia sempat memandang kosong pada aku. Kemudian dia hilang dalam gelap. Imma memaling mukanya ke arah aku. Dia kemudiannya mencebik dan kembali mengejar Atilla semula.

Imma

“Kalau kau dapat peluang membunuh orang, dan takkan didakwa, takkan diketahui oleh orang lain, siapa yang korang nak bunuh?” Syam tiba-tiba bangkitkan soalan pada aku. Dan kemudian memandang ke arah Atilla pula. Dia yang baru balik dari beli makanan untuk aku dan Atilla sekejap tadi memandang aku dan Atilla serentak. Agak lama dia merenung kami berdua. Seperti cuba membaca fikiran kami. Aku diam sahaja. Bau nasi goreng Pattaya lebih menguja aku dari soalan Syam itu tadi. Syam bertanya lagi. Dan bunyi soalannya semakin mengarut. Aku terus saja berborak dengan Atilla. Kami seperti tidak mempedulikan Syam. Syam seperti mengomel kecil bersendirian. Atilla hanya minum jus epal yang dipesannya tadi. Dia belum menjamah makanannya lagi. Dia hanya memesan burger ayam McDonald. Aku tengok Syam berselera menjamah makanannya seperti pelarian Karachi yang kebuluran. Walaupun dia yang memecah suasana dengan soalannya tadi, tapi tidak pula dia menghiraukan aku dan Atilla ketika dia sedang makan. Dia hanya terus menyuap dan menyuap. “Kalau aku lah kan..aku nak sangat Bunyamin mati. Kalau aku dapat bunuh orang, dialah orangnya!”. Syam memecah diam kami. “Woi! Apasal pulak yang kau nak bunuh boyfriend aku hah?!” Sergah Atilla tiba-tiba. Dia yang tadi hanya bersandar memegang jus epalnya tiba-tiba berdiri. Nota peperiksaan yang juga dipegangnya dihempaskan ke atas meja di depannya. “Aaii..takkan marah kot. Aku belum buat lagi..”. Sindir Syam perlahan. Syam seperti keseronokan melihat telatah Atilla. Dia tersenyum galak. Syam seperti keterlaluan aku tengok. Entah apa niatnya pun aku tak tahu. Aku bangun dan cuba tenangkan Atilla. Sambil aku hampiri Atilla, aku memandang tajam ke arah Syam, seperti memberi arahan kepadanya untuk menghentikan bicara karut-marutnya itu. Syam menyambung makan. “Kita ni datang nak study. Paper yang masing-masing tak pandai. Bukan datang nak bincang nak bunuh orang. Apahal dengan kau ni Syam. Kemaruk apa kau nih?”. Aku mula berkhutbah. Atilla merengus sambil menyusun-nyusun semula nota-nota kecilnya. Kesian Atilla. Walaupun dia anak orang kaya tetapi hatinya baik. Dia tidak kedekut dengan aku. Jarang sekali kalau kami keluar makan dan aku yang membayarnya. Malah dia pernah menghadiahkan beg tangan jenama Fendi kepada aku. Walaupun tidak seperti yang aku harapkan, tapi beg tangan itu masih cantik. Warnanya cokelat tua. Ada bunga matahari kecil di hujung sebelah bawahnya. Kelopak bunganya sudah tidak banyak mungkin sebab banyak yang dah hilang. Warna cokelat tua tersebut juga agak luntur ketika Atilla menghadiahkannya kepada aku dulu. Tapi aku tak kisah. Asalkan ianya hadiah dari Atilla aku terima. Aku yakin niatnya baik. Syam sahaja yang kadang-kadang meragui persahabatan kami. Malah dia selalu memperlekehkan perhubungan aku dengan Atilla. Dia selalu memberi pesan kepada aku yang Atilla itu tidak ikhlas berkawan dengan aku. “Mana kau tahu dia ikhlas atau tidak?” Tegas aku sewaktu kami naik teksi bersama-sama untuk ke pusat boling beberapa minggu lepas. “Kau bukan Tuhan Syam yang boleh tahu hati orang. Lagipun dia baik pada aku Syam”. Aku mempertahankan Atilla depan Syam. “Kalau dia ikhlas berkawan dengan kau, nape kita kena naik teksi nak pergi tempat main boling tu? Kenapa dia tak ajak kita naik kereta dengan dia sekali padahal kita nak pergi ke tempat yang sama?”. “Lagipun rumah sewa kau ni dengan rumah banglonya tu kan dekat-dekat aje...”.Syam menambah dengan nada kecewa tanpa memberi peluang aku menjawab. Bagi aku Syam tak faham persahabatan kami. Memang aku dan Syam selalu bertekak hal-hal yang melibatkan Atilla. Dia akan selalu menyindir keikhlasan Atilla terhadap aku. Asal ada peluang, begitulah sikap dia kepada persahabatan aku dan Atilla. Sering dia mengulas akan apa-apa keadaan yang memberinya hujah mempertikaikan keikhlasan Atilla berkawan dengan aku. Kadang-kadang di depan aku dan kadang-kadang ketika bersama Atilla juga. Syam tidak peduli. Selalu begitulah diantara aku dan Syam. Aku selalu sahaja menjadi pihak yang mempertahankan Atilla. Dan Syam adalah pihak yang lagi satu. “Kau jangan bohong la Tilla. Aku yakin, kalau kau ada peluang peluang, kau pun nak jugak bunuh Bunyamin tu. Betul tak?” Syam tiba-tiba macam melenting dengan jelingan aku tadi. Dia seperti memberontak. Syam diam. Seperti menunggu-nunggu jawapan yang akan keluar dari mulut Atilla. Setelah ditutup tong sampah, Syam berjalan semula ke arah kami berdua. Aku mula nak menjawab. Tapi Syam menyambung lagi. “Aku tahu apa yang korang dah buat lepas pertandingan persembahan kebudayaan awal tahun lepas.” Syam mula yakin dengan langkahnya. Dia mula menyusun perkataannya satu demi satu. Keras nampak hatinya. Apa yang ada di dalam mulutnya seperti ditahan-tahan untuk keluar. “Aku nak buat apa pun dengan Min, nak mampus ker, nak hape ker, kau ape peduli hah?!” Atilla memekik. Menyeringa Atilla menjawab. Dia seperti mahu pergi menyerang Syam yang hanya selang satu meja sahaja dengannya. Aku yang duduk disebelah kiri Atilla jadi serba-salah. Aku tahu aku mesti mempertahankan Atilla. Tetapi mulut aku macam terkunci. Kedua belah kaki aku seperti melekat ke lantai. Aku seperti mahu mendengar lagi apa yang akan tersembur keluar dari mulut Syam. Aku makin serba salah. Atilla memandang aku seperti minta dibela. Ya. Dia benar-benar minta dirinya dipertahankan. “Memang aku tak peduli. Aku tak kisah pun. Tak kisah langsung. Betul!”. Syam tersengih sinis. Dia kemudiannya menyambung. “Yang aku kisah cuma baby yang kau buat abortion tu. Itu jer. Aku cuma nak tahu baby tu laki-laki ker pompuan?”. Syam seperti ketawa kecil mengejek. Dia kemudiannya bersahaja merenung tajam ke bola mata Atilla yang mula berkaca. Tiba-tiba Atilla bangun dengan menolak meja yang di depannya kepada Syam. Habis segala nota-nota, buku-buku dan makanan yang di atas meja tersebut jatuh berselerakan. Bersepah-sepah ke lantai kesemuanya. Bungkusan jus epalnya juga jatuh pecah membasah lantai. Syam sedikit terkejut. Atilla seperti orang naik minyak. Meracau dengan menghambur segala maki-hamun ke arah Syam. Dan Syam tidak pula langsung berganjak. Dia hanya bergerak sedikit ke belakang akibat mengelak dari meja yang ditolak oleh Atilla terkena kepadanya. Syam sepeti menunggu sahaja serangan seterusnya yang mungkin datang dari Atilla. Syam bersedia tetapi berhati-hati. Aku hanya diam kaget. Mulut aku tiba-tiba seakan hilang peti suara. Lagak seperti ketulan emas yang dikulum kemas di dalamnya. Atilla marah tetapi dia menangis juga. “Kau jantan sial apa tahu?!.Tahu main saja. Tau nak seronok jer. Yang tanggung aku?! Akuuuu!!”. Aku memeluk Atilla dari belakang. Cuba menenangkannya yang seperti dah dirasuk syaitan. “Sabar Tilla.Sabar..”. Seperti dengar tidak dengar sahaja perkataan itu keluar dari mulut aku. Aku tidak sangka sampai tergamak Syam untuk menyebut rahsia besar Atilla itu di depan aku. Aku juga tak sangka sampai begitu sekali hubungan Atilla dengan Bunyamin. Teruk benar bunyinya. Dan kalau benar hubungan tersebut sampai bilik tidur dan sampai membuat pengguguran bayi, itu sudah keterlaluan. Itu dosa yang amat besar. “Sabar Tilla. Bawak bersabar Tilla”. Aku menasihati Atilla lembut. Aku masih memeluk Atilla dari belakang. Atilla cuba melepaskan diri. Memulas-mulas badannya seperti kucing yang tidak suka dipeluk. Dia mengeliat dengan kasar untuk mencapai Syam di depannya. Syam masih membatu di situ. Tetapi berhati-hati. Atilla cuba mencapai apa-apa yang ada disekelilingnya dengan niat untuk membaling ke arah Syam. Namun dia gagal mencapai apa-apa. “Syam, lebih baik kau berambus Syam. Aku taknak tengok muka kau Syam! Keluar Syam. Keluaarrrr!!!” Atilla menjerit penjang. Tetapi suaranya mula perlahan. Syam semacam panik namun wajahnya bersahaja. Syam akhirnya bangun dan berjalan keluar. Melihatkan Syam keluar, Atilla duduk semula. Dia seperti menghempaskan punggungnya ke kerusi. Aku mengusap-ngusap rambutnya setelah nampak Syam bergerak agak jauh. Nafas Atilla turun naik dengan cepat. Dia bernafas seperti pelari 100 meter yang keletihan selepas membuat larian pecut. “Jangan dilayan mamat gila tu Tilla”. Aku memujuk lembut. Hatiku kecut juga dengan tindakan Atilla tadi. Debarannya masih terasa. “Dah!Aku nak balik!”. Atilla bangun mengemaskan barang-barangnya ke dalam beg. Dia menyusun kertas-kertas dan buku-buku yang berselerak di lantai dan memasukkan semuanya ke dalam begnya dengan kasar sekali. Dia masih lagi marah. Aku cuba menasihatinya dengan menyuruhnya duduk dan tenangkan diri. Atilla seperti tidak mendengar apa-apa pun yang keluar dari mulut aku. Dia hanya terus-menerus memasukkan barang-barangnya ke dalam beg. Dia masih lagi menangis tetapi mulai berkurangan. Fikirannya sudah tidak disini. Atilla keluar dari bilik dengan tergesa-gesa. Dia merengus kuat dan meghempas pintu bilik dengan kuat. Aku segera mengemaskan barang-barang aku dan memasukkannya dalam beg. Aku rasa aku patut mengejarnya.

Bunyamin
Hujan yang tadi lebat mulai perlahan. Namun sesekali guruh berbunyi kuat juga. Sebentar tadi dentuman yang terakhir. Aku rasa hujan ni memudahkan kerja aku. Aku percaya dengan hujan seperti ini ianya akan lambat berhenti. Silap-silap sampai subuh begini. Baju dan seluar aku ni sudah basah kuyup. Teruk juga hujan awal tadi. Topi memancing yang aku pakai ni pun juga sudah basah. Tangan kiri aku ni dah mula sakit. Rasanya macam dah bengkak otot. Kedua tangan aku ni masih lagi menggigil-gigil. Terketar-ketar aku memegang cangkul ni. Kesejukan dan ketakutan. Bercampur sebati kedua-duanya sekali. Sesekali bunyi-bunyi yang datang dari celah-celah hutan ini menakutkan juga. Tetapi air hujan sekali-sekala menutupi segala bunyi-bunyi tersebut. Katak-katak masih berbunyi tanda mahu mengawan. Aku kena cepat. Nanti akan ada orang perasaan aku hilang. Aku beritahu Umar yang aku cuma nak keluar beli prepaid Celcom sahaja. Mustahil boleh selewat ini. Cuma hujan yang datang ini turut turun sekali dengan kebaikannya. “Aku yakin budak tu bukan aku punya!”.Bentak Bunyamin. “Aku tak bawak kau balik rumah la. Lepas jumpa kau tu aku terus hantar kau balik!”.Bunyamin mempertahankan diri. “Woi jantan sial! Budak ni kau punya la!” Atilla memekik seperti orang gila. Tidak dipeduli sama ada orang mendengar atau tidak apa yang dijeritnya “Aku mana ada tidur dengan jantan lain! Budak ni kau punya!!”. Atilla seperti terkena histeria. Dia seperti orang hilang akal. Dipukul perutnya beberapa kali. Seingat aku, aku telah cuba menyabarkannya. Aku juga telah cuba memujuknya beberapa kali. Bunyi air hujan menitik di gigi topi membawa pertengkaran kami itu pergi. Aku kecewa betul dengan tuduhan Atilla. Tapi aku gagal meyakinkan dirinya, juga aku diri sediri. Yang pasti, aku hanya bersama Imma selepas pertandingan itu. Kami kemudiannya pergi makan bersama-sama. Aku tidak berjumpa Atilla apatah lagi tidur dengannya. Itu fitnah besar Atilla pada aku. Berat sangat untuk aku menerimanya.

Atilla
Di dalam dewan masih meriah. Pengacara majlis sedang mengumumkan peserta seterusnya. Para pelajar sendat memenuhi ruang dewan. Rata-ratanya pelajar baru. Mereka mula bersorakan. Ada yang menjerit-jerit dan membuat pelbagai bunyi. Ada yang membawa kain rentang dengan pelbagai jenis slogan dan tulisan sebagai tanda sokongan kepada peserta dari universiti mereka. “Aku ingat dia datang dengan kau?” Wawa menyoal sambil mengangkat kedua belah keningnya. Keningnya yang dilukis seperti orang yang sedang membuat persembahan opera di bandar Melaka ketika perayaan Tahun Baru Cina. Rasa macam nak ketawa terbahak-bahak melihat keningnya tu. Memang perempuan ni tak pandai menggunakan make-up betul. Sia-sia jadi perempuan bentak aku dalam hati. Aku hanya ketawa kecil. Peserta tarian dari kumpulan yang dianggotai oleh 5 orang lelaki kemudian muncul di atas pentas. Mereka berkaki ayam dan tinggi-tinggi orangnya. Lagaknya seperti mereka akan membuat tarian zapin. Aku perhatikan wajah penari-penari itu seorang demi seorang. Dengan berbaju Melayu Johor serta songkok hitam tinggi, mereka kelihatan bakal mempersenokan hadirin yang datang memenuhi dewan. Bunyamin salah seorang daripada 5 orang penari tersebut. Aku terpaku melihatnya. Dia melambai-lambai tangan ke arah kepada penonton yang datang seraya nama kumpulan mereka disebut. Dia tidak melihat ke arah aku tetapi aku yakin anak matanya meliar mencari-cari aku. Heh! Aku hanya menunggu saat-saat ini sahaja. Aku pernah lihat dia menari dan aku akui, kekasih hati aku tu memang pandai menari. Aku memuji-mujinya dalam hati. Malam pertandingan kebudayaan peringkat intervarsiti ini benar-benar mengujakan aku. Meriah dengan sambutan para pelajar dan lain-lain universiti dari seluruh negara. “Mana ada! Pagi tadi dia cakap dia tak berapa sihat and then dia cakap petang baru dia nak keluar cari aku. Aku ingat dia dah tak call, dia tak nak datang la tu.”Aku menjawab juga walaupun malas. Aku masih memandang terus ke pentas walaupun ketika aku bercakap dengan Wawa. Wawa hanya berdiri menunggu jawapan. Wawa adalah setiausaha program untuk pertandingan malam kebudayaan ini. “Mana boleh dia taknak datang. Dia pegang senarai susunan untuk hadiah dan jamuan makan malam ni..! Aduss..!Apahal pulak pompuan ni. Aku call dia tak angkat pulak!”. Wawa merengus keras tetapi seperti berbisik. Aku duduk di dalam bilik bahagian belakang dewan dan Wawa masih kekal berdiri disebelah aku. Kami berbual di dalam bilik kawalan audio visual untuk dewan. Wawa mula mengelabah.


Bunyamin

Aku yakin orang tak boleh menjumpainya lagi. Sekali lagi aku memijak-mijak tanah dengan kasut boot aku ni. Dengan cangkul yang ada di tangan aku ini, aku mampatkan tanah dengan sekuat-kuatnya. Kemudian, aku cangkul pula di sekeliling lubang yang aku kambus tadi ni. Hujan sudah berhenti menangis. Aku gembur-gemburkan lagi seperti mahu menanam sayur sawi di situ. Samada peluh atau air hujan yang tersangkut di dahi sudah tidak boleh dipastikan lagi yang mana satu akan ianya. Kerja menimbus tanah makin berat dengan baju dan seluar aku yang sudah teruk basahnya. Selang beberapa langkah, aku gemburkan tanah-tanah disekitarnya lagi. Aku buat beberapa kali di beberapa bahagian di sekitarnya. Aku percaya rasa syak sukar untuk timbul apabila terlalu banyak kesan tanah dikorek dan digemburkan berhampiran dengan lubang yang aku gali ni. Aku yakin aku akan selamat. Lagipun kawasan ni dah terlalu jauh dari pusat bandar. Seperti puas dengan hasil kerja seni, aku berdiri mengadap kubur bayi yang tidak berdosa ini. Aku renung kuburan itu seperti penglihatan aku menembusi tanah tersebut. Terus ke bayi yang tidak berdosa itu. Aku sudah membalutnya dengan kain yang bersih. Sudah aku mandikan dia sebelum aku bungkuskan dia.

Atilla

Aku tidak langsung menghiraukan Wawa. Aku mahu menonton persembahan tarian zapin di atas pentas sekarang. Seusai membuat persembahan, Bunyamin mendapatkan Atilla di bilik tersebut. Dia seperti kanak-kanak keriangan apabila melihat aku menunggunya disitu. Wawa telah lama keluar. Dan kini hanya kami berdua. Mula-mula hanya kami bergelak ketawa dengan berbual-bual kosong.
“Min, jangan lebih-lebih tau..Nanti daddy I cari you..”.Aku membantah apabila Bunyamin cuba merab-raba paha aku. Memang kami ada bercium, cuma aku tetap pertahankan batasannya. Aku tidak mahu sampai seperti di dalam bilik tidur. Ini sikap dan pendirian keras aku. Tapi malam ini perasaan aku agak lain dari biasa. Aku hanya mengikut sahaja apa ke mana sahaja kekasih hati aku bawa pergi. Sedar-sedar aku seperti di rumahnya. Ya. Rumah sewanya. Aku seperti berkhayal. Mata aku hampir-hampir terpejam apabila aku melihat yang berada disisi aku bukannya Bunyamin. Wajah kekasih hati aku ini mirip-mirip wajah Syam. Ah! Kenapa pula Syam yang aku khayalkan ketika aku dalam pelukan Bunyamin – kekasih jiwa raga aku. Aku mabuk agaknya. Tetapi aku tidak minum apa-apa pun sejak dari dalam dewan tadi. Ah! Bunyamin di sisiku. Syam cuma jantan sialan. Bunyamin seperti tidak pernah melihat aku. Habis seluruh tubuhku tidak langsung dipersia-siakannya malam itu. Aku seperti tiada sesalan malam itu. Aku serahkan segala-galanya yang aku pertahankan demi untuk Bunyamin. Cuma, sesekali wajah Syam jelas seperti sedang yang menggauli aku tanpa ehsan. Ah! Persetankan budak setan tu! Dia tidak tahu apa erti cinta sejati. Datang cuma dalam bayangan mencampuri urusan sulit aku. Bergema-gema hati kecil aku memujuk. Dan aku terus relakan Bunyamin menikmati segalanya.


Bunyamin
Walaupun aku ‘menyimpan’nya disini dengan dosa, sekurang-kurangnya aku ada bacakan al-Fatihah kepadanya. Itu pun semasa aku meletakkannya di dalam lubang kubur tadi. Aduh! Takut juga kalau di fikir-fikirkan semula. Setelah puas dan yakin dengan kuburan itu, aku mula berjalan keluar dari hutan. Aku percaya tidak ada sesiapa yang akan menjumpainya di situ. Lagipun lubang yang aku gali agak dalam juga. Agak-agak dalam 2-3 kaki dalamnya. Tambah pula aku membasuh mayat bayi tersebut dengan air perahan asam jawa dan aku lumurkan sekali lagi mayatnya dengan bahan tersebut untuk menghilangkan baunya. Dan bukaan lubangnya tidak pula aku buat dengan besarnya. Cukup-cukup untuk bayi tersebut. Bayi tersebut pun tidaklah begitu besar saiznya. Ah! Selamat ni. Hati kecil ini seperti memujuk-mujuk untuk menyedapkan hati aku. Setelah benar-benar yakin yang aku telah jauh keluar ke jalan besar dan sudah bergerak hampir ke motosikal, dengan tidak semena-mena, Syam tiba-tiba muncul. Dia berjalan keluar dari celah-celah belukar tidak jauh dari tempat aku letakkan motorsikal. Syam kelihatan mengigil, tetapi bersahaja. Matanya kuyu seperti seseorang yang sangat keletihan. Dia merenung tepat ke aku. Tangannya seperti menggeletar. Tidak dapat dipastikan apakah disebabkan kesejukan atau ketakutan setelah melihat aku menggali lubang dan memasukkan mayat seorang bayi ke dalamnya. “Rupanya Syam mengintip aku dari tadi lagi”. Bisik hati kecil aku. “Bagaimana Syam boleh mengekori aku sampai ke sini?”. Aku tiba-tiba jadi berdebar-debar. Jantungku bergerak dengan sangat pantas. Terasa debaran itu terdengar dari kedua belah telinga aku sendiri. “Adakah dia mengintip apa yang aku buat tadi?”. Hati aku mula bersilang-silang dengan soalan-soalan seperti itu. Malah, soalan tersebut seperti datang berulang-ulang dan bergema-gema. Langit yang mulai cerah seperti mahu berombak kelam. Aku tidak keseorangan sejak tadi rupanya. Aku yakin aku benar-benar berseorangan tadi. Nyata aku punyai saksi. Seorang saksi yang melihat sendiri bagaimana zuriat haram di tanam di dalam hutan liar untuk menutup dosa pada wanita yang digaulinya dan menutup dosanya pada Tuhan yang disembahnya. Syam seperti tergamam. Bola matanya hanya terarah ke celah-celah hutan dari tempat aku keluar tadi. Direnungnya dalam-dalam ke arah hutan kelam tempat aku buat lubang kubur itu. “Syam..apa kau buat kat sini?”. Aku menyoal agak kuat padahal Syam hanya beberapa ela di depan aku. Dia hanya membatu termenung. Matanya ke arah aku, fikirannya di tempat lain. “Syam..”. Aku mulai berlembut. Seperti orang yang bersalah merayu diringankan hukuman di hadapan hakim. Syam tidak menjawab malah seperti tidak menghiraukan aku. Syam seperti sedang menonton imbasan dosa-dosanya menerusi skrin layar putih di hadapan aku. Seperti sebuah tayangan filem perdana, segala apa yang di lakukan terhadap Atilla pada malam itu ditayangkan terus-menerus di hadapan Syam tanpa sedikit pun potongan. Dan Syam hanya tegar menonton. Segala nafsu jahat syaitan laknat melingkari perbuatan Syam pada Atilla dihidangkan di depannya seperti tanpa ehsan. Hati Syam seperti disiat-siat mengenangkan apa yang telah dia lakukan pada Atilla. Terkenangkan bayi yang lahir tanpa dosa itu membuatkan hati Syam meruntun pedih. Sakitnya tidak terperi. Tanpa sedar, airmata insaf keluar mencurah-curah dari celah-celah kerdip matanya. Syam kekal membatu di situ. “Syam..”. Aku cuba bersuara. “Aku pun berdosa juga Syam..”.Aku merayu. Biarpun bayi itu hasil hubungan terlarang Syam dan Atilla, tetapi akulah yang merancangnya. Aku berpakat lebih awal dengan Syam. Aku tahu yang Syam mengingini Atilla dan Atilla hanya menyukai aku. Demi untuk mendekati Imma, aku aturkan pertemuan terlarang pada malam selepas aku bertemu Atilla di bilik audio. Syam hanya perlu menunggu di dalam kereta dan membawa Atilla pulang ke rumah sewanya. Mengkhayalkan Atilla bukan sesuatu yang sukar. Atilla mudah dibohongi di tangan aku. Gerakan tangan Syam memberi isyarat menyuruh aku diam melantunkan memori perbuatan kami itu ke udara gelap. Jari telunjuk diletakkan ke mulutnya. Dari celah-celah cahaya awal pagi dan air hujan yang masih merengek kecil, Syam melangkah perlahan. Aku mengekorinya sahaja. Aku tahu ke mana dia mahu pergi. Syam tidak membantah dan hanya sekali menoleh memastikan aku mengekorinya. Seraya tiba, Syam hanya berdiri terpaku di hadapan apa yang dipanggil sebagai kubur anaknya itu. Aku berhenti hanya selang beberapa langkah dibelakangnya. Aku perhatikan juga sekeliling. Mana tahu ada orang lain pula selain kami. Syam kemudiannya mencangkung meratapi kubur anaknya itu seraya meramas-ramas tanah kuburan tersebut. Syam mengetap bibir menahan kesedihan. Airmatanya tiada tertahan. Kubur yang menandai dosa hitamnya pada bayi yang tidak berdosa itu ditenungnya bersungguh-sungguh. Aku juga terpaku. Syam berdosa pada bayi yang baru sahaja aku tanam tadi. Pada Atilla juga. Aku juga berdosa pada bayi itu. Dan tentunya pada Tuhan kami. Syam masih lagi keras membatu menangis semahunya. Dia seperti berteleku bagai tidak lagi punyai nyawa. Aku hanya menonton dengan penuh sesal. Tiba-tiba kedengaran salakan anjing dari jalan besar masuk ke lubang telinga. Juga bunyi siren polis nyaring menghampiri ke arah kami. Aku panik. Syam terus meraung.

Pautan Bermanafaat

Who am I?

My Photo
Nor Miswary b. Ramli
"Rakyat ini perlu dibela.Kita perlu hak-hak kita kekal segar dipelihara; oleh pemimpin yang benar, yang jujur dan yang taat kepada nilai-nilai Islam. Kita perlukan pendidikan dan bukannya hukuman sebagai asas perkembangan".
View my complete profile

Disclaimer

Semua artikel yang tersiar dalam blog ini merupakan idea dan aliran pemikiran penulis secara peribadi dan mungkin tidak sealiran dengan pertubuhan atau organisasi yang penulis anggotai. Ia boleh berkaitan dengan apa sahaja yang boleh memberi manafaat kepada pemilik blog atau mereka yang menurutinya. Komen, teguran dan kritikan yang membina dari pengunjung adalah dialu-alukan.
.
.
.
.

About

Powered by Blogger.

Popular Posts