Instagram

PATI:Percaturan BN/UMNO mudah dibaca



Ini yang paling kelakar dalam kerja-kerja perang saraf BN/UMNO.Dah berpuluh tahun pemerintah gagal untuk menegenal pasti pendatang asing tanpa izin di dalam negara, dengan tidak hujan tidak ribut, program 6P untuk mendaftarkan pendatang asing tanpa izin menjadi projek mega kayakan kroni paling berjaya selepas Fitnah video seks Trio T. Belum pun reda isu hak kerakyatan sekelip mata ala Chris Angel, buah catur BN/UMNO mendepani PRU-13 bagai begitu mudah dibaca. Tidak seperti gerakan Lin Dan yang baru sahaja menjuarai kejohanan badminton dunia menewaskan jagoan tanahair Datuk Lee Chong Wei. Permainan dan gerakan juara dunia 5 kali itu memang sukar dibaca. Seraya berjaya mendaftarkan PATI sekonyong-konyong pemerintah selanjutnya mendaftarkan mereka sebagai pengundi (baca pengundi BN/UMNO) untuk memenangkan BN/UMNO dan mengungguli Dewan Rakyat melalui jalan pintu belakang. Maaf. Bukan jalan pintu belakang, lorong belakang. Lorong itu tidak mempunyai pintu. Mereka pasti sesat. Adapun dari mereka mungkin ada yang telah menyertai UMNO melalui Patriotnya dan bukti yang terang lagi bersuluh itu jelas menunjukkan sekali lagi gerakan BN/UMNO sangat mudah diramal. Bukankah TPM Muhyidin Yassin telah menjelaskan bahawa BN/UMNO pun tidak mahu menang PRU melalui mereka yang di layak memilih? Malah SPR telah mengulangi mantranya sebagai berkata yang meereka tidak akan sesekali memebenarkan mereka yang tidak memiliki kad pengenalan biru untuk masuk ke kawasan mengundi. Nah! Apakah mereka yang telah didaftarkan ini bakal mendapatkan kad pengenalan biru pula nanti? Sekali lagi, permainan puak-puak ini sangat mudah dibaca. Nak tergelak lah pulak!

Gerakan Islam saran golongan kaya elak cara kapitalis ketika iftar

ANKARA: Berbuka puasa secara mewah atau di tempat umum menjadi isu di Turki selepas sebuah pergerakan pro-Islam, Landasan Keadilan dan Buruh (LJP) menyifatkan mereka yang berbuka di hotel melambangkan kemenangan sistem kapitalis.

“Kami menentang pembaziran wang ketika berbuka. Daripada membelanjakan wang untuk meja hidangan berbuka, beri saja wang itu kepada pekerja,” menurut kenyataan LJP.

Mereka merujuk kos berbuka iaitu 318 lira Turki (RM533) satu meja sedangkan gaji minimum di negara itu hanya 658 lira (RM1,104).

“Ini bukannya protes terhadap iftar ketika Ramadan semata-mata tetapi kami lakukannya kerana juadah besar ini menjadi lambang penduduk yang akur kepada cara kapitalis sejak 15 tahun lalu,” kata seorang peserta protes, Ihsan Eliacik kepada akhbar Hurriyet.

“Ketika orang miskin berhimpun di bawah khemah untuk mendapatkan makanan percuma, golongan kaya berkumpul di hotel. Malang sekali mentaliti konservatif di Turki mewujudkan jurang ini yang dianggap biasa sekarang,” katanya.

Seorang lagi penulis, Hidayet Tuksal, berpendapat isu ketidakadilan sosial termasuk jurang taraf hidup tidak banyak dibincangkan di kalangan kumpulan Islam.

Ihsan, bagaimanapun, tidak bersetuju dengan Hidayet dengan berkata: “Memberi kekayaan tidak semestinya dapat membantu menghapuskan ketidaksamaan taraf.

“Wujud jurang besar antara golongan kaya dan miskin di Turki. Orang kaya yang sedar perkara itu mendermakan wang mereka tetapi meneruskan cara hidup mereka,” katanya.

Perbahasan itu dilihat turut mempengaruhi ahli politik dengan speaker Parlimen, Cemil Cicek, yang baru-baru ini menghadiri majlis berbuka, mengkritik penaja kerana menggunakan meja mahal, manakala Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan turut menggesa semua pihak mengelak mengadakan iftar besar-besaran.

Buffet perut


Puasa sudah mennginjak hari ke-16. Untuk ke tempat kerja setiap hari dalam bulan mulia ini, jem di jalan raya makin menjadi-jadi. Penulis pun hampir kemalangan semalam dengan mereka yang kelihatan tidak sabar untuk ke bazar ramadhan agaknya. Hari ini penulis tidak teransang untuk menulis isu-isu berkaitan politik. Ya. Biarpun isu pemeriksaan JAIS ke atas salah sebuah gereja di Damansara mengusik hati untuk memberi komentar,penulis rasa ianya wajar diserahkan kepada mereka yang paling layak untuk mengupasnya.

Bermula dari hari pertama di bulan Ramadhan ini, begitu banyak hotel-hotel telah menawarkan pebagai jenis juadah makanan untuk apa yang dipangil sebagai buffet ramadhan mereka. Makanan yang bakal disajikan selalunya begitu banyak sekali. Malah dengan juadah yang aneka macam, tawaran-tawaran itu seperti sukar benar ditolak. Namun, penulis terpanggil untuk menulis berkenaan dengan hal ini yang boleh dikategorikan sebagai pembaziran paling mutlak dalam bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat ini. Bayangkan dengan harga bermula dari RM60 sehinggalah ada yang mencecah RM145 bagi seorang, buffet ramadhan boleh menjerumuskan umat Islam ke dalam pembaziran yang nyata.

Sesuai dengan Firman ALLAH yang bermaksud : “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya.” (Surah al-Isra', ayat 27).Malah Sayyid Qutb di dalam tafsirnya 'Fi Zilal al-Quran' menjelaskan bahawa Ibnu Mas'ud dan Ibnu Abbas mentafsirkan pembaziran itu ialah berbelanja kepada tempat yang tidak wajar (secara yang tidak diharuskan oleh Allah).

Untuk apa setelah seharian perut kita yang kosong tiba-tiba di isi dengan juadah makanan yang hampair mencecah RM100? Bukankah apabila di bulan-bulan yang lain kita hanya mengambil makanan tenghari dan segelas air yang paling mahal pun bukan mencecah RM8 sahaja! Kita hairan, syaitan terikat namun 'tarbiyyah'nya masih kekal.Penulis kadang-kadang teringat dengan mereka yang tidak punyai kemampuan untuk mendapatkan makanan yang enak-enak atau pilihan makanan yang banyak seperti kita di bulan Ramadhan ini. Jangankan bulan Ramadhan ini, sepanjang tahun pun belum tentu. Penulis hanya memperingatkan diri penulis dan keluarga penulis akan hal ini. Kita hidup di dalam negara yang makmur,sedangkan masih terdapat di dalam kalangan mereka yang tidak punyai perbedaan di antara berbuka dan juga bersahur. Kedua-dua waktu mereka berlapar. Penulis percaya, kalaupun kita boleh mengurangkan pembaziran dengan selalu mengingati mereka yang berada dalam kesusahan demi secupak nasi untuk berbuka, itu sudah memadai.

Nurul Izzah: Skim Pak Man telo dan bahananya



Jikalau Pak Man Telo yang mengasaskan Skim Cepat Kaya masih lagi menjalankan skim tersebut tentunya dia orang yang paling gembira di Malaysia. Masakan tidak sebagai pengasas skim ini tentunya dia akan menjadi perujuk utama kepada pelbagai skim yang sedang beroperasi di Malaysia.

Pertama, kita ada Skim Perunding 1Malaysia, di mana skop tugasan hanya melibatkan persembahan kepada kerajaan tentang bagaimana hendak menunjukkan kepada rakyat bahawa negara akan bankrap. Selesai sahaja, dapatlah berpuluh-puluh juta.

Kedua, Skim Kurangkan Subsidi Rakyat, buatlah pelbagai unjuran, angka dan sedikit ugutan bahawa subsidi perlu dikurangkan, nyatakan rakyat perlu mengikat perut dalam zaman yang makmur ini. Balasannya juga maha lumayan - menjangkau jutaan ringgit. Hai, sekadar makmal sahaja sudah boleh meraih RM24 juta.

Ketiga, Skim Miliki RM75 juta, skim ini amat menarik; di mana perjanjian dibuat dengan pemaju perumahan melibatkan sebidang tanah yang kini diduduki oleh majoriti setinggan Melayu. Pindahkan saja setinggan ni ke rumah flat atau penempatan rakyat. Selepas dipindahkan, hanya perlu menunggu beberapa tahun sebelum saham dalam syarikat kerjasama dijual untuk RM75 juta. Begitulah sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh parti pemerintah, oleh sebuah negara berjaya meraih untung RM75 juta.

Keempat, Skim Cincin Berlian RM24 juta. Caranya mudah; hanya simpan duit ketika anda belum lahir lagi dan tanpa diduga, apabila anda mencecah umur 50 tahun ke atas, maka anda berpeluang untuk miliki cincin berlian yang maha bernilai itu. Apa yang paling penting ia tidak akan dikenakan cukai import dan perkhidmatan - lumayan, bukan?

Kelima, Skim Kapal Selam yang punyai masalah (kadangkala) tidak boleh menyelam. Caranya mudah - hanya cadangkan kepada kerajaan pembelian kapal selam atau apa-apa senjata untuk keperluan ketenteraan, kemudian kenakan komisen. Hanya terma, komisen jangan disebut. sebaliknya cukup sekadar menyatakan ia bayaran perkhidmatan sokongan.

Pulangannya bukan main; minimum pun sudah mencecah RM500 juta dan kalau peralatan lebih canggih, maka bolehlah kita tambah keperluan selenggaraan untuk membolehkan peralatan tu terus beroperasi. Kos selenggara mampu mencapai sampai satu bilion ringgit!

Saya boleh saja menyenaraikan pelbagai lagi skim di Malaysia; namun rasanya helaian dalam akhbar Sinar Harian tidak mencukupi kerana terdapat beribu-ribu skim, Skim Sapu 1Malaysia, Skim Curi-Curi Wang Malaysia, Skim Ambil Bangunan MRT, Skim paksa GLC Pinggirkan saman untuk selamatkan kroni, Skim Lesap Wang Zakat dan pelbagai skim cepat kaya yang berilhamkan Skim Cepat Kaya Pak Man Telo.

Skim ini berkemungkinan memastikan parti pemerintah mengekalkan kuasa dalam pilihan raya umum akan datang dengan menjadikan penduduk tetap sebagai pengundi.

Tetapi kepada rakyat yang setia kepada negara, tidak pernah lupa membayar cukai dan zakat, tidak pernah lupa membayar pelbagai lagi cukai termasuklah cukai air kumbahan, semua skim yang diperkenalkan ini dilihat sebagai Skim Memiskinkan Rakyat, Skim Melesapkan Harta Negara dan paling penting Skim Melupuskan Hak Rakyat.

Mengapa, kerana inilah sedang berlaku kepada rakyat yang sedang berhempas pulas mengikat perut kerana kenaikan harga melampau, bagaimana harga barang naik disebabkan keputusan parti pemerintah menarik balik subsidi minyak kepada industri pengangkutan yang merupakan penyebab utama kenaikan harga barang.

Bagaimana ia menggugat kehidupan rakyat apabila kenaikan harga barang ini tidak diikuti dengan kenaikan gaji, malah gaji minimum yang dijanjikan masih lagi tidak ditunaikan, walhal janji untuk mengawal harga barang hanya janji-janji kosong.

Apakah Skim NKRA, ETP dan pelbagai lagi yang di perkenalkan telah berjaya membantu rakyat, malangnya tidak ada yang dapat dibuktikan setakat ini; sedang dana negara sudah dibelanjakan, dong!

Angin sepoi-sepoi berserta alasan - itu sahaja yang diperoleh rakyat, yang terus cuba dijahilkan dengan skim-skim yang gah pada nama sahaja tetapi tiada faedah kepada rakyat yang kini berhadapan dengan tekanan maha teruk dan terpaksa pula berhadapan dengan pelbagai kesan sampingan yang diwujudkan oleh skim-skim yang diperkenalkan. Kesimpulannya: ayuh, kita hapuskan skim-skim ciptaan ini, ayuh kita hentikan skim yang menggugat kesejahteraan rakyat agar tidak dibiarkan sukses sebagai Pak Man Telo selama-lamanya!

Pautan Bermanafaat

Who am I?

My Photo
Nor Miswary b. Ramli
"Rakyat ini perlu dibela.Kita perlu hak-hak kita kekal segar dipelihara; oleh pemimpin yang benar, yang jujur dan yang taat kepada nilai-nilai Islam. Kita perlukan pendidikan dan bukannya hukuman sebagai asas perkembangan".
View my complete profile

Disclaimer

Semua artikel yang tersiar dalam blog ini merupakan idea dan aliran pemikiran penulis secara peribadi dan mungkin tidak sealiran dengan pertubuhan atau organisasi yang penulis anggotai. Ia boleh berkaitan dengan apa sahaja yang boleh memberi manafaat kepada pemilik blog atau mereka yang menurutinya. Komen, teguran dan kritikan yang membina dari pengunjung adalah dialu-alukan.
.
.
.
.

About

Powered by Blogger.

Popular Posts