Instagram

What a great week :-(


Setelah hari ke lima melalui setitik pengalaman mendepani cabaran kesihatan di Malaysia, saat ini, saya benar-benar mahu menulis tentangnya.

Hari Isnin leps, minggu pertama memulakan hari saya masih diserang sakit gigi yang berterusan sejak minggu lepas. Ianya sudah berlangsung sekitar hujung minggu sebelumnya. Tapi, sakitnya berdikit-dikit. Masih boleh bertahan. Kemuncaknya, hari Ahad pada sebelah tengaharinya. Sakitnya semakin perit. Ubat penahan sakit yang mula-mula diperolehi ditelan semahunya. Hingga habis. Cuba untuk tidur dan pelbagai kaedah konvensional lain - nyata hasil makin teruk! Setelah berjaya digagahi mendapatkan ubat di farmasi, saya cuba bertahan hingga ke malam. Terus membawa ke besok pagi Isnin. Ku sangka panas sampai ke petang, rupanya ribut di tengahari. Biarpun sudah ke pejabat, ubat penahan sakit sudah pun ditelan, sakitnya langsung tidak tertahan. Saya pulang dan mendapatkan cuti separuh hari kerja.

Ubat penahan sakit tadi mula memberi kesan, lalu saya beransur ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan dan pandangan perubatan (medical opinion). Upah memeriksanya sahaja bagai tambang bas ekpres ke Pulau Pinang! Waduh!

Demi mendapatkan pandangan perubatan kedua (dan tentunya rawatan yang lebih murah), saya lalu bercadang mendapatkan di klinik kesihatan milik penuh kerajaan persekutuan keesokan harinya. Saya dan isteri pun pergilah ke klinik pergigian di klinik tersebut yang kami semapt pergi pada sebelah petangnya. Ya, ketika kami datang memang sudah hampir pukul 4.30 petang. Tapi seorang jururawat di kaunter berkaca bagai dalam akuarium hanya tahu berzikir kepada saya yang lebih kurang seperti ini:

"Pendaftaran pukul 8 sampai pukul 12 sahaja". Tanpa mendongak untuk melihat ke arah saya. Ya. Dan ayat itu lah yang diulang-ulang walaupun saya cuba ajukan dengan lain-lain pertanyaan seperti seorang pelanggan baru yang kali pertama di situ. Kesian lah dia kan. Takpe, saya bercadang untuk datang lagi besok.

Malangnya, saya demam kuat pada sebelah malamnya. Badan panas seluruh badan, sakit kepala ya amat dan sakit-sakit badan di seluruh badan. Wife saya yang picit-picit pun terasa bahang panasnya. Kain lembap yang dituam air sekejap menjadi kering apabila diletakkan di atas dahi saya. Saya tekad, besok saya mesti ke klinik tersebut.

Dengan sakit kepala yang kuat, demam panas, saya ke klinik pergigian dulu. Okey. Gigi kena cabut. Then selesai, doktor bagi sijil sakit minta rehat. Kemudian, saya turun ke bawah bahagian klinik perubatan mendapatkan nombor giliran.Saya ada baca di kaunter pendaftaran: " Sila Bersabar. Kami Sedang Menggunakan Sistem Baru". Tuan, ia bukan nombor giliran, ia nombor tak bergilir! Bayangkan tepat jam 9.34 pagi resit nombor giliran saya, saya hanya di panggil lebih kurang 10 minit sebelum pukul 1 tengahari!Alih-alih masuk bilik rawatan, doktor cakap;" Awak kena ambik darah di bilik nombor 13 yea". Kat situ, kena daftar dan ambik nombor lagi! What a new system!Sebelum tu saya ada terbaca kenyataan yang kesemua anggota perubatan akan rehat jam 1 - 2 petang. Segala urusan akan bermula semula selepas jam 2 petang!

Lebih kurang jam 1 lebih saya dipanggil untuk ujian darah. Selesai ujian darah saya perlu ke bahagian makmal menyerahkan tabung ujian darah saya untuk mendapatkan keputusan. Menunggu keputusan makmal merupakan satu lagi step dalam sistem yang terkini ini. Dan tentunya jarum sudah hampir 1.30 petang, harapan mendapatkan rawatan awal doktor makin berkabus tebal. Itu pun saya masih lagi perlu mendapatkan tekanan darah lagi! Ditempat saya mendapatkan tekanan darah, jururawat di situ terkejut.

"Eh, kenapa nombor giliran awak baru sekarang dipanggil?". Tegur jururawat pemeriksa tekana darah.

"Entah. Mana saya tahu". Saya menjawab seperti marah. Bukan seperti, memang saya sudah marah.

Saat menunggu, badan saya sakit dan kepala sangat-sangat sakit. Mana saya tak marah. Namun saya hanya merungut diam dan dengan hanya berbalas sms dengan wife demi melepaskan geram di hati. Mujur jururawat tadi ada bertanya, dapatlah saya melampiaskan sedikit yang terbuku.

Akhirnya, saya dibenarkan bertemu dengan doktor yang lain dari bilik rawatan yang lain pula. Saya didapati mempunyai kesan demam denggi. Bacaan platlet darah saya rendah. Sarannya, saya perlu lagi datang besok dan sekiranya bacaannya masih rendah, saya akan dicadangkan untuk di masukkan ke hospital. Hos-pi-tal..! Katanya, dia boleh cadangkan hari ini, tetapi biarlah tunggu keputusan untuk besok pula.

Selewat jam 7.45 pagi, tentulah saya bukanlah orang pertama, saya datang lagi keesokkannya. Ujian darah saya menunjukkan bacaan yang semakin menurun even saya rasa telah sihat sepenuhnya. Itu bahayanya demam denggi ini. Kita boleh rasa sihat untuk membuat larian 100 meter walaupun kita telah diserang dengan demam pembunuh ini. Kerana, kita boleh collapse dihujung larian dan meninggal! Saya terus diminta berehat dan perlu datang semula besok untuk ujian darah selanjutnya.

Dan hari ini setelah meminum air nyoq sebiji setengah malam tadi dan semalaman dengan sebotol 1.5 litre air 100 plus dan habis, bagai di harap (baca: diduga)bacaan platlet saya meningkat. Syukran!Saya hampir boleh dikategorikan sebagai selamat denggi, namun kiraan bacaan darah putih turun pulak. Dan, meragui akan bacaan platlet yang boleh naik turun, doktor meminta saya datang sekali lagi untuk ujian darah buat kali ke empat besok hari! Walawei!

Sesuci Murni


Beras dua, air tiga. Basuh dua kali. Sengaja diulang-ulang di dalam hati. Murni membawa periuk elektrik itu dari sinki dan menghidupkan api dapur. Sesudah memastikan yang beras sedang di masak, Murni kembali ke dalam biliknya semula.

“Murni”. Laungan dari bawah rumah memanggil namanya.

Kelihatan seorang perempuan tua sedang mengendong segumpal kain baju yang kering di tangan kirinya manakala di sebelah laginya sedang mengaut beberapa helai lagi kain di ampaian. Sambil menoleh-noleh ke belakang, perempuan tua itu mengulangi panggilannya. Kali ini agak keras sedikit.

“Ye mak.Murni dalam bilik. Beras tengah masak mak”. Murni menjawab lembut.

Bagai sudah diketahui apa yang akan disoal emaknya. Zaleha perlahan-lahan menaikki anak-anak tangga kayu yang menyambung gigi pintu rumahnya dengan rata tanah.

“Orang masak nasi, dia masak beras”. Getus Zaleha sendirian. Terasa lucu mendengarnya.

Seusai sampai di bendul pintu, dia melemparkan sahaja kain baju kering yang baru dikutipnya tadi. Murni datang menghampirinya dan mengambil semua kain baju kering yang terlonggok di muka pintu. Dia terus membawa ke ruang tengah. Murni kemudiannya melangkah semula ke arah emaknya.

“Mak, teh kosong dah murni buatkan. Mak nak Murni ambilkan?”. Zaleha hanya diam.

Tetapi dia tetap menggangguk mengkehendakinya. Zaleha hanya merenung anaknya itu yang perlahan-lahan berjalan ke ruang dapur.
Murni memang baik budaknya. Baik budinya. Sopan tingkahnya. Perlahan dalam hampir semua perbuatannya. Meninggikan suara dengan Zaleha jauh sekali. Dia selalu ada dengan emaknya itu di rumah. Membantu apa yang termampu. Tidak sanggup dia berjauhan lagi dengan Zaleha semenjak ayahnya – Malik Deraman – meninggalkan Zaleha untuk mengejar perempuan yang selalu menghantar kuih dan nasi lemak di warung Haji Hasan Ulik. Sudah hampir setahun Zaleha bercerai dengan Malik Deraman. Sekarang bekas suaminya itu telah berpindah tinggal bersama isteri barunya di Seremban.

Kata emak; “Perempuan yang hanya tahu buat kuih dan nasi lemak pun bapak engkau hendak”. Emak bagai memerli juga seperti memarahi. Bagai terkeluar biji matanya setiap kali dia menerangkannya kepada jiran-jiran sambil memandang ke arah Murni. Murni hanya akan selalu diam sahaja.

“Aku ni, masak kenduri seribu orang datang pun boleh, bapak engkau tak ingin juga!Pelik aku!” Zaleha teringat-ingat sendiri apa yang dimarah kepada bekas suaminya di depan anak perempuan tunggalnya itu.

“Mak”. Murni duduk perlahan bersimpuh di hadapan emaknya sambil menghulurkan air teh kosong ke tangan emaknya. Zaleha duduk besandar di daun pintu dekat bendul dan hampir ke gigi tangga. Lamunan Zaleha segera mati. Di sambutnya cawan berisi teh kosong. Zaleha sempat menjeling biskut kering 5-6 keping di dalam piring. Di ambilnya satu. Dipatahkan dua dan dicelup ke dalam cawan teh itu.

“Mak jangan susah hati. Murni setuju kalau itu pilihan mak. Murni tidak membantah.” Murni membuat tawaran lembut. Tawaran untuk melegakan hati emaknya. Tawaran yang membuatkan debaran hati Zaleha kembali semula memuncak. Zaleha masih lagi diam. Di perhatikan anak daranya yang tunduk ke lantai kayu rumah mereka. Dipandanganya dengan penuh kasih ibu. Kemudian Zaleha memandang pula sekeliling rumahnya. Biarpun agak berlubang dan berjarak antara papan lantainya di sana sini, tetapi rumah ini agak sejuk dan menenangkan. Rumah kayu ini memang sudah agak lama. Sudah hampir usang kalau di lihat dari tepi jalan besar. Ada pokok keriang besar betul-betul di sebelah kanan rumahnya. Ada parit kira-kira sepuluh kaki lebarnya yang memisahkan tanah rumah Zaleha dengan jalan besar di depan. Titi kecil yang di buat arwah ayah Zaleha masih ada dan masih lagi kuat untuk digunakan buat menyeberang. Cuma titi tersebut muat-muat untuk sebuah motosikal beroda tiga. Rumah kayu ini hanya tinggat atas sahaja. Di bawahnya di biar lapang terbuka.

“Lagipun Murni dah lama di Kuala Lumpur tu mak. Dah lama sangat Murni tinggalkan mak dengan bapak kat kampung ni. Berdosa benar Murni rasa”. Murni berhujah.
Zaleha terus selera memakan biskut. Sudah masuk kepingan keempat yang di patahkan dan dicelup air sebelum di masukkan ke dalam mulutnya. Apa yang di cakapakan Murni bagai tidak masuk ke dalam kotak fikirannya.

“Murni, anak mak”. Zaleha memegang tangan anaknya lembut. Diangkat tangan anaknya itu dengan penuh rasa kasih. Di bolak-balikkan telapak tangan Murni seperti mahu menilik nasib. Kemudian tangan lembut Murni di letakkan ke pahanya.

“Murni, mak bukannya nak menolak anak Pak Wahab tu. Dan mak pun belum pasti juga mahu menerimanya”. Kali ini Zaleha mengusap-usap rambut Murni. Murni seperti tertunduk-tunduk dengan perbuatan emaknya itu. Seperti kucing yang diusap-usap kepalanya.

“Cuma yang mak risaukan diri Murni ni. Adakah Murni bersedia, rela atau Murni kasihan mak sehingga Murni sanggup menerima pinangan mereka?”. Zaleha menelan tegukkan terakhir dari cawan tehnya itu. Zaleha kemudiannya menyapu saki-baki habuk biskut yang jatuh berderai di lantai dengan tangannya. Zaleha memerhati wajah anak perempuan tunggalnya itu. Di perhatikan dari rambut, turun ke dahi, ke kening, ke matanya, hidung dan terus turun ke bibirnya. Rambut Murni memang lembut. Seperti rambut bayi. Keningnya agak lebat dan bulu matanya agak panjang dari lain-lain perempuan dalam kampung. Hidungnya juga tinggi. Dan Murni tentunya punyai senyuman yang sangat manis. Zaleha berbangga sendirian. Dia mengukir senyuman tiba-tiba. Zaleha berbangga dengan kecantikan anak daranya itu. Terdetik di dalam hati bahawa wajah cantik Murni itu datang dari dirinya. Mungkin itulah yang menyebabkan ramai orang kampung berminat dengan anak dara Zaleha yang seorang ini. Kenangan rombongan peminangan hari Sabtu lepas tiba-tiba memintas. Memang rombongan itu telah dijangkakan. Merisik telah agak lama dibuat. Ketika Zaleha masih lagi bersuami, namun rancangan untuk meminang tetap diteruskan juga walaupun setelah Zaleha dan Malik bercerai. Lagipun pihak yang datang meminang adalah saudara mara Zaleha juga. Ibu Wahab – yang datang meminang Murni - adalah adik-beradik dengan salah seorang sepupu sebelah ayah Zaleha. Kedua-dua mereka pun kini sudah meninggal dunia. Jadi, berat hati Zaleha untuk menolak rombongan peminangan Pak Wahab. Menerimanya terus bukan sesuatu mudah juga.

“Saya ini biarpun suka benar dengan hajat pihak rombongan, namun saya tidak boleh tidak, kena juga bertanya kepada tuan punya badan”. Santun Zaleha dalam majlis perminangan tersebut.

“Adakah anak Pak Wahab itu tahu keadaan Murni mak?”. Murni tiba-tiba menyoal mematikan lamunan.

Anak Pak Wahab baru sahaja pulang dari Makkah, Arab Saudi. Di sana dia belajar ilmu hadis dan ilmu perbandingan agama. Sampai peringkat sarjana katanya. Sampai ada orang kampung yang mendakwa anak Pak Wahab ini berfahaman Syiah kerana dia begitu lama di belajar di sana. Sudah hampir sepuluh tahun dia di sana. Semenjak pulang awal tahun ini, dia terus di amanahkan menjadi imam utama di masjid. Khabarnya dia menolak. Namun khariah kampung berkeras mahukan dia juga. Maklumlah dia telah belajar sejauh kota Makkah – tempat sempurnanya agama Islam. Adalah satu kerugian yang besar kalau orang kampung mempersiakan seorang anak muda untuk jawatan imam yang punyai reputasi seperti itu. Zaleha masih lagi cuba mengingati wajah anak teruna Pak Wahab itu. Dia ada datang semasa urusan perminangan itu berlangsung, Cuma dia tidak naik ke atas rumah. Dia hanya duduk-duduk bersembang dengan adik-beradiknya di bawah.Cuma yang Zaleha pasti, dia berketayap berwarna kuning muda, berjanggut nipis tetapi tidak bermisai. Cuma yang Zaleha perasan, anak Pak Wahab itu hanya duduk sahaja di pangkin di bawah pokok ketapang itu. Dia tidak pula bangun atau bergerak ke mana-mana sedangkan adik –beradiknya sudah ke hulu ke hilir kegelisahan. Mulanya Zaleha tidak tahu mengapa lagak anak Pak Wahab begitu. Tertanya-tanya juga dia dalam hati.

“Mak, Murni tanya tadi mak dengar tidak?’.Murni meraba menyentuh tangan maknya. Zaleha seperti kebingungan.

“Murni. Mulanya mak tak berapa kenal sangat macamana rupa anak Pak Wahab tu. Bila mak tengok masa dia datang hari tu baru mak tahu”. Zaleha menggulum kata-katanya. Murni mengesot sedikit dari tempat duduknya mendekati emaknya. Seperti mahu lebih jelas apa yang akan maknya sampaikan.

“Mak tengok, cantik sungguh orangnya anak Pak Wahab tu. Mukanya nampak tenang sahaja Murni”. Mendengar kata-kata ibunya, Murni tersenyum malu. Bagai yang dipuji itu dirinya. Murni sudah berbangga, bagai yang dipuji itu seolah sudah menjadi kepunyaannya.

“Dia pakai ketayap Murni. Mak sejuk hati tengok mukanya. Mukanya seperti ada cahaya nak. Dia begitu sempurna Murni. Sempurna untuk anak mak ni”. Zaleha beriya menyambung sambil menggoncang lembut kedua-dua belah bahu anaknya itu. Murni yang dari tadi kelihatan tersenyum sendirian tiba-tiba berubah air mukanya.

“Tapi mak. Dia tahu tak yang Murni tak boleh melihat mak”. Murni memotong keghairahan ibunya bercerita. Segera dicapai tangan emaknya itu. Di genggamnya tangan ibunya itu. Murni mengetap bibirnya. Kedua-dua bibirnya rapat dan bergetar menahan kepiluan. Matanya pula dipejam rapat. Bersungguh Murni menahan airmata dari tumpah. Apabila cuba dibuka, mata Murni yang berkaca melimpahkan airmata deras ke pipi lembutnya.

“Malu Murni mak”. Begitu perlahan dan seperti tersekat di kerongkong suara Murni. Murni kemudiannya baring di riba emaknya lalu menangis perlahan. Tangisannya di tahan-tahan semahunya.

“Murni malu mak. Murni orang buta mak. Murni tak boleh tengok mak. Tak boleh tengok bapak”. Murni tersangkut dalam sendunya. Sayu Murni merayu meratapi nasibnya. Zaleha membatu sahaja. Dia faham benar kesedihan hati Murni itu. Dia sudah hampir dua puluh dua tahun mengharunginya dengan Murni. Zaleha membiarkan sahaja Murni menangis semahunya di ribanya. Perlahan-lahan Zaleha menyapu hujung matanya yang berlopak air dengan hujung baju. Tidak mahu simpatinya didengar anak daranya itu. Zaleha mengusap-usap lembut rambut Murni.

“Murni, berhentilah menangis nak. Anak Pak Wahab tu memang yang paling sesuai untuk mu nak”. Zaleha berhenti di situ. Zaleha seperti mencari kata-kata dan cuba menyusunnya dengan berhati-hati.

“Anak Pak Wahab itu namanya Muhammad. Dia imam utama masjid kampung kita ni. Dia juga istimewa seperti anak mak ni”. Zaleha menambah debar Murni.

“Dia tidak boleh melihat mak dan dia juga tidak akan boleh melihat Murni”. Zaleha seperti berbisik. Sambil tersenyum, Murni bingkas bangun perlahan dan memeluk emaknya itu.

Kritikan untuk ADAM.


Kali pertama saya terkejut besar adalah apabila mendapat tahu rakan (baca rakan baik) saya telah berpindah ke negeri tempat saya menetap sekarang. Kerana, beliau memaklumkan kepada saya, jika beliau benar-benar jadi berpindah ke negeri ini beliau pasti memaklumi saya. Nyata jangkaan saya jauh tersasar. Ibarat anak dara menunggu tunangnya tak sampai.Karam Singh yang menyokong projek Lynas melaporkan.Beliau tidak memberitahu saya malah agak terperanjat besar apabila terserempak ketika kami bertembung di bazar ramadhan ketika membeli juadah bebuka. Saya benar-benar terkejut ketika itu. Terasa bagai jiwa seorang rakan yang rapat sejak zaman universiti hilang harga dirinya. Tetapi itu dulu. Beberapa tahun dahulu. Saya doa akan ketenteramannya di bumi negeri berkebajikan dan air percuma ini.

Itu kali pertama.

Kali kedua saya terkejut besar adalah apabila ketika saya hampir sedang memulakan mesyuarat sebagai Presiden Kelab Debat & PIdato UiTM. Sebelum memulakan mesyuarat, saya mendapat panggilan daripada ayahanda saya yang berada di mahkamah tinggi Kuala Lumpur ketika itu. Beliau memaklumkan saya yang bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia - Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diragut jawatan dan keahlian UMNOnya oleh (Tun)Dr. Mahathir - telah dijatuhi hukuman atas tuduhan salah laku seks dan bukannya seperti tuduhan-tuduhan yang disiarkan di dalam Utusan Malaysia selepas bebarapa hari beliau dipecat. Terkejut dengan keputusan yang hodoh dan mual itu, saya mohon mesyuarat ditangguhkan untuk solat hajat. Saya sebutkan di sini ketika itu betapa sesiapa yang tidak bersetuju untuk melakukan solat hajat bersama, boleh pulang ke kolej masing-masing. Setiausaha persatuan yang kini berada di Kelantan boleh membuktikannya. Namun,ketika itu tiada seorang dari mana pendebat-pendebat hebat mempertahankan tindakan hodoh pemimpin pemerintah ketika itu. What a shame!

Saya teringat ketika saya sebagai exco Majlis Perwakilan Pelajar dan ketika itu masih lagi seorang Timbalan Presiden Kelab Debat & Pidato membentangkan kertas kerja mengenai kebebasan media di dalam program kritikan media. Majlis ini dianjurkan oleh Fakulti Komunikasi & Media. Sesi pembentangan saya adalah bersama wakil dari Bernama( Berita Nasional Berhad), Berita Harian dan saya sendiri - Majlis Perwakilan Pelajar. Sesi kami dipegerusi oleh Dr Ridzuan, beliau yang ketika itu adalah dekan fakulti komunikasi media. Pembentangan saya ada menyentuh mengenai bagaimana akhbar Utusan Malaysia yang boleh mencetak kenyataan afidavit kes Datuk Seri Anwar di muka depan pada hari yang sama ianya hanya akan disebut di mahkamah! Dengan tidak semena-mena Timbalan Editor Utusan Malaysia (yang saya dah lupa namanya) yang ketika itu duduk di bahagian hadapan sekali bangun dan menegur saya. Dakwanya, itu menunjukkan kecekapan akhbar mereka!Kalau surat khabar telah dicetak seawal 3-4 pagi, bagaimana satu kenyataan sepenting afidavit yang hanya akan dibaca seawal 9 pagi di mahkamah boleh telah dicetak begitu awal melambangkan kecekapan? Ini macam filem Monority Report lakonan Tom Cruise. Belum buat kesalahan sudah boleh tangkap sebab dah boleh baca niat? Isu yang saya bangkitkan ketika itu memperlihatkan keprihatinan mahasiswa melalui Majlis Perwakilan Pelajar terhadap isu-isu nasional. Ianya mengenai ketelusan dan keadilan dalam memberi laporan media. Bukan isu Datuk Seri Anwar.

Itu kali kedua saya terkejut besar.

Kali ketiga saya terkejut besar adalah hari ini. Bukan sebab semalam saya telah disahkan terkena demam denggi. Bukan juga sebab hari ini saya telah kali kedua membuat ujian darah yang membuktikan ujian platlet darah saya semakin turun. Bukan juga saya terkejut besar sebab pemuda BN nak buat pertandingan pidato politik terbuka yang bermula di UiTM Shah Alam (sedangkan dalam universiti tidak boleh berpolitik) baru-baru ini yang hampir kesemua tajuk-tajuknya nak mengutuk lawan politiknya sahaja.Lagipun apa diharap padi seberang. No. Nahi. Bukan semua itu buat saya terkejut. Yang buat saya terkejut besar adalah apabila saya membaca terjumpa blog Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM). Benar saya saya juga alumni. Sebagai bekas pendebat, bekas fasilitator kokurikolum debat&pidato, sebagai bekas Timbalan dan Presiden Kelab Debat & Pidato sudah pasti saya merupakan alumni.Tidak syak lagi. Bezanya saya tidak berdaftar sebagai ahli.Kurang minat agaknya. Masa perbentangan kertas kerja untuk menjayakan pendaftaran pertubuhan ini pun sudah memenatkan, apatah lagi jika mengharunginya di dalam kalangan ramai yang di antara mereka lebih petah berkata-kata. Cuma melihatkan kepada persembahan blog tersebut, ia bagai memperlihatkan kecenderungan menonjolkan presidennya sahaja.Betul. Aktivit-aktiviti yang dimasukkan hanya melibatkan presidennya sahaja. Pertubuhan untuk siapa ini? Hampir sahaja tiada langsung aktiviti yang melibatkan ahli-ahlinya atau ahli jawatankuasa! Adakah ini one-man-show punya pertubuhan? Dan yang menjadi kritikan saya adalah kecendurangan beliau menampilkan aktiviti politiknya ke dalam pertubuhan ini di dalam blog rasmi tersebut.Bukankah ia sepatutnya sebuah pertubuhan yang non-partisan? Bersifat non-partisan itu di dalam pertubuhan ini adalah satu ketelusan yang wajib ada seperti yang saya pertikaikan dalam kritikan media bersama akhbar seperti di atas. Kita tidak mahu pertubuhan ini menjadi proksi atau tunggul-tunggul rapuh dan reput yang mewakili mana-mana parti politik dalam negara. Jika ia boleh bermula begini dan bagaimana pula ia akan berakhir. Ianya bagai telah menganjak lari dari tujuan asal pertubuhan ini ditubuhkan. Apakah saudara presidennya yang agak lama saya kenali terlupa perjanjian asal yang mahu ke mana pertubuhan ini di bawa. Mempunyai pendirian politik itu bagus. Ia wajar dan tanda kita matang. Mempunyai pegangan politik yang tuntas tanpa sembunyi juga petanda kematangan kita sebagai anak muda dalam berpolitik. Ini politik baru. Politik idea. Politik berhujah. Bukan politik maki hamun, tangkap, fitnah, penjara, telanjangkan dan pelbagai lagi. Bukan politik seperti itu. Kita wajar jelaskan pendirian kita, malah kita harus tegas segar mendirikan kukuh pendirian kita tersebut. Sementelah pula jika sekiranya mengukuhkan pandangan politik kita itu boleh memberi kelebihan untuk komuniti kita dan masyarakat secara amnya, kita harus terus maju menjelaskan.Itu tidak salah. Cuma,menjadi persoalannya (baca kesalahannya), biarlah kena pada tempatnya. Kalau asyik dengan isu tidak boleh berpolitk di universiti atau di masjid, harap janganlah sampai pertubuhan seperti alumni debat ini pun nak dipolitikkan. Nanti lari dari tajuk. Kalau SPM, kalau pendahuluan, isi dan penutup telah di tulis dengan begitu sempurna sekalipun, tetapi kalau lari tajuk, tetap gagal. Maaflah sahabat. Mahatma Gandhi pun ada sebut; "Kejayaan yang sempurna adalah hasil kerja yang sempurna". Ini yang buat saya benar-benar terkejut besar.

Nor Miswary b. Ramli
Shah Alam

Pautan Bermanafaat

Who am I?

My Photo
Nor Miswary b. Ramli
"Rakyat ini perlu dibela.Kita perlu hak-hak kita kekal segar dipelihara; oleh pemimpin yang benar, yang jujur dan yang taat kepada nilai-nilai Islam. Kita perlukan pendidikan dan bukannya hukuman sebagai asas perkembangan".
View my complete profile

Disclaimer

Semua artikel yang tersiar dalam blog ini merupakan idea dan aliran pemikiran penulis secara peribadi dan mungkin tidak sealiran dengan pertubuhan atau organisasi yang penulis anggotai. Ia boleh berkaitan dengan apa sahaja yang boleh memberi manafaat kepada pemilik blog atau mereka yang menurutinya. Komen, teguran dan kritikan yang membina dari pengunjung adalah dialu-alukan.
.
.
.
.

About

Powered by Blogger.

Popular Posts