Instagram

Tawaran Pakatan: Kenaikan gaji dan pangkat adil untuk guru, kakitangan awam


NABI Muhammad s.a.w bersabda;

“ Mereka (kakitanganmu) adalah saudara (adik beradik) mu, Allah menempatkan mereka di bawah kelolaanmu; sehingga sesiapa mempunyai saudara di bawah kelolaannya maka harus diberinya makan seperti apa yang dimakannya (sendiri) dan memberi pakaian seperti apa yang dipakainya (sendiri); dan tidak membebankan mereka dengan tugas berat di luar kemampuan, dan jika kamu membebankannya dengan tugas seperti itu, hendaklah kamu sendiri membantu mereka.” (HR. Muslim)

Saya ditugaskan berdiri di sini untuk membentangkan Kertas Jingga Tawaran Pakatan Rakyat berkaitan Perkhidmatan Awam Negara.

Pakatan Rakyat telah mencapai kemenangan. Semalam Perdana Menteri telah mengumumkan skim SBPA ditangguhkan.

Pengumuman ini dibuat sehari sebelum Konvensyen Pakatan Rakyat di mana Kertas Jingga kita telah mencadangkan bukan sahaja SBPA ditangguhkan tetapi digubal semula!

Nampaknya Kertas Jingga kita telah dapat dikesan oleh PM.

Tahniah kita ucapkan kepada seluruh kakitangan awam atas kejayaan mereka menangguhkan pelaksanaan skim yang akan melebarkan lagi jurang pendapatan di kalangan kaki tangan awam negara ini.

Selain tidak dirundingi secara lebih menyeluruh, SBPA benar-benar memberikan penekanan kepada lapis atas sektor perkhidmatan awam dan tidak memberikan pembelaan sewajar dengan kenaikan beban hidup kepada 80% lagi kaki tangan yang dimmasukkan dalam kategori pelaksana.

Berdasarkan Laporan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), 40 peratus daripada rakyat negara ini tergolong dalam kategori isi rumah berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan. Kira-kira 75 peratus daripadanya ialah keluarga Melayu/Bumiputera merangkumi keluarga kakitangan awam yang kononnya dibela oleh Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN).

Hakikatnya, masih ramai rakyat Malaysia yang hidup merana. Layanan terhadap golongan rakyat tersebut yang diberikan Kerajaan UMNO-BN dapat disifatkan umpama melukut di tepi gantang, keluar tidak mengurangi, masuk tidak memenuhi.

Jika kita merujuk kepada data terkini Kumpulan Wang Simpanan pekerja (KWSP), 5.3 juta pekerja dengan 92 peratus daripadanya adalah ahli aktif menerima gaji bulanan tidak melebihi RM5,000. Dengan kata lain, hanya 8 peratus daripada golongan pekerja, termasuk kakitangan awam yang berada dalam kategori berpendapatan melebihi RM5,000.

Anggaran Bank Dunia meletakkan bahawa 34 peratus daripada tenaga kerja masih dibayar kadar RM700 sebulan, bermakna satu pertiga daripada tenaga kerja Malaysia berada di bawah paras kemiskinan. Kakitangan awam juga berdepan dengan situasi sedemikian.

Gaji yang bertepatan dengan keperluan kewangan menampung hidup mengikut kos semasa bukanlah keistimewaan atau kemewahan yang dituntut oleh kakitangan awam, tetapi satu konsep hak asasi manusia yang diterima pakai di seluruh dunia.

Prinsipnya adalah seharusnya menepati maksud hadis yang saya bacakan tadi.

Bahawa setiap manusia wajar menerima upah yang membolehkan dia menampung kos asas kehidupan seperti kediaman, makanan, pendidikan dan perubatan. Oleh yang demikian, kemelut tuntutan gaji minima yang berpanjangan dan tidak berkesudahan melambangkan persepsi Kerajaan UMNO-BN yang memandang remeh kehendak rakyat, termasuk kakitangan awam yang begitu asasi, seolah-olah rakyat menagih dan meminta sedekah.

Hasilnya, sama seperti mahasiswa yang dibelenggu dengan hutang PTPN, kakitangan awam negara kita sebenarnya turut terbelenggu dengan perangkap hutang.

Kerajaan Kelantan pada asasnya bersetuju, Insyaallah jika PR mentadbitr Putrajaya, royalti petroleum yang terhak kepada Kelantan akan dibayar dan semua pinjaman PTPN rakyat Kelantan bermula sejak 2005 akan dijelaskan.

Saya telah mendengar ucapan Dato Seri Anwar Ibrahim menjelang 901 yang menyebut PR akan menyemak semula kedudukan PTPN seluruh negara jika PR menguasai Putrajaya.

Di bawah SPBA yang dicadangkan, masih terdapat kakitangan awam yang menerima gaji di bawah RM900. Sebagai contoh:

Tangga Gaji Bagi Skim N(Pentadbiran & Sokongan):

Gred N5-1 (SSM – N11) 850 – 2390 (Kenaikan gaji tahunan KGT RM80)

Gred N4-1 (SSM – N17) 955 – 2780 (Kenaikan gaji tahunan KGT RM95)

Prinsip mendekatkan jurang pendapatan akan diguna pakai bagi tawaran alternatif PR kepada perkhidmatan awam negara.

Prinsip lain ialah Pakatan Rakyat mengiktiraf sumbangan kakitangan awam yang telah lama berkhidmat atau ‘seniority’ bagi memastikan kenaikan gaji golongan tersebut adalah sepadan.

Elaun khas profesional akan ditetapkan bagi kakitangan awam yang mempunyai pengiktirafan profesional seperti jurutera (Ir), juru arkitek (Ar), juruukur tanah (Sr) dan seumpamanya.

Pakatan Rakyat akan menghentikan serta-merta kecenderongan dan amalan menggunapakai tenaga perunding antarabangsa yang penuh dengan pertikaian dalam proses keputusan kerajaan seperti amalan sekarang dan mengembalikan pengaruh dan kedudukan kakitangan awam dalam proses kerajaan.

Tindakan membuka jawatan penting kerajaan kepada lantikan luar juga membuktikan bahawa Perdana Menteri tidak mempunyai kepercayaan kepada kakitangan awam untuk melaksanakan agenda transformasi beliau sehingga terpaksa mengimport tenaga profesional luar seperti yang dilakukan melalui Pemandu di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan melibatkan syarikat perhubungan antarabangsa seperti APCO dan FBC.

Oleh kerana kertas ini disediakan untuk memberikan pandangan PR terhadap SBPA, izinkan saya melanjutkan sedikit ulasan saya mengenainya.

Kakitangan awam kategori Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C dijangka menerima kenaikan hampir 45 peratus pada peringkat permulaan gaji berbanding SSM. Meskipun kumpulan pengurusan premier hanya mempunyai 36 orang di negara ini, tetapi Kumpulan Premier 1 mendapat kenaikan sehingga RM60,000 sedangkan gaji mereka sebelum ini hanya sekitar RM30,000. Sementara itu, kakitangan awam biasa hanya menerima kenaikan gaji 7-13 peratus selepas menerima SBPA.

Sebahagian kakitangan juga menuduh SBPA tidak menghargai kakitangan yang bekerja lama atau warga tua. Sebagai contoh, selepas kenaikan tangga gaji skim SSM kepada skim SPBA, kakitangan awam B hanya mendapat separuh daripada kenaikan kakitangan awam A, masalah sama juga berlaku kepada kakitangan awam C gred gaji N1 yang berkhidmat lebih 20 tahun mendapat kenaikan kurang daripada kakitangan awam A. Padahal kakitangan awam C sepatutnya layak menerima lebih kenaikan berbanding kakitangan awam A.

Oleh sebab peningkatan gaji bergantung kepada peratusan daripada pokok gaji, ini menyebabkan peningkatan gaji kakitangan awam yang rendah tidak mendapat peningkatan yang ketara apabila dilakukan kenaikan daripada SSM kepada SBPA. Mengambil gaji guru sebagai contoh, perbezaan peratusan kenaikan gaji bagi guru di bawah SBPA sangat ketara. Guru DG44/DG1-2 cuma mendapat kenaikan gaji sebanyak RM2.01 atau 0.07% iaitu daripada RM2,982.99 kepada RM2,985 selepas menukar daripada SSM kepada SBPA. Nilai ini terlalu rendah jika dibandingkan dengan kenaikan gaji guru DG54/DG1-6 sebanyak RM1,857.46 (bersamaan 35.94%), daripada RM5,167.64 kepada RM7,025.00.

Gaji guru

Penelitian kami menunjukkan bahawa pengiraan SBPA akan menyebabkan berlakunya peningkatan gaji guru yang tidak adil. Tambahan juga, terdapat guru dalam gred berbeza menikmati gaji yang sama. Contohnya, seorang guru P1T10 yang menikmati gaji bulanan RM2509.90 dalam SSM, selepas menerima SBPA, gajinya sama dengan guru P1T9 sebanyak RM2615 sebulan.

Jika dihayati ucapan Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan Negara 2012, tempoh guru DG41 (DG1-1) dinaik pangkat ke DG44 (DG1-2) adalah tahun ke-8 dan seterusnya tahun ke-16 dikira dari pelantikan DG41 akan dilantik ke DG48 (DG1-4). Tapi mengikut SBPA, pihak yang terlibat harus menunggu tahun ke-9 atau menggenapkan perkhidmatan selama 8 tahun di DG41/DG1-1 sebelum dinaikkan pangkat ke DG44/DG1-2 dan perlu menggenapkan 8 tahun perkhidmatan di DG1-2 sebelum layak dinaikkan pangkat secara ‘time-based’ ke DG1-4.

Pengumuman penangguhan SBPA oleh PM membuktikan terdapat begitu banyaknnya kelemahan dalam skim ini. Soalnya, kenapa kabinet meluluskan pelaksanaannya tanpa benar-benar menelitinya?

Pakatan Rakyat mencadangkan bukan sahaja SBPA ini ditangguhkan bahkan satu tawaran alternatif berasaskan prinsip akauntabiliti dan kecemerlangan perkhidmatan awam dibentangkan dalam tempoh 60 hari dari tarikh konvensyen ini.

Selain dari itu, satu jawatankuasa mengkaji Akta Pekerja yang dicadangkan oleh Kerajaan BN di mana ia lebih menyebelahi majikan berbanding kakitangan terutama kaki tangan kontrak.

Sewaktu menyiapkan kertas ini, kami juga menerima permintaan dari kakitangan MAS yang merasa tidak puas hati dengan kedudukan mereka ekoran ‘share swapping’ antara Air Asia yang mempunyai kakitangan yang sedikit berbanding pesawat dan MAS di mana kaki tangannya lebih besar dengan nisbah pesawat yang lebih kecil.

Di samping itu, dari maklum balas yang kami terima, lebih dari 50% kakitangan awam memihak kepada PR kerana mereka merasakan PR lebih ‘fatherly and motherly’. Simbol ‘fatherly’ PR ada pada tokoh seperti Tuan Guru Nik Aziz dan tokoh ‘motherly’ seperti Datuk Seri Dr. Wan Azizah. Sementara dinamisma yang diperlukan oleh perkhidmatan awam ada pada tokoh seperti YAB Lim Guan Eng.

Dengan itu, PR mempunyai kelebihan bagi memberikan tawaran yang lebih bertepatan dalam rangka meningkat mutu perkhidmatan awam kita yang sebenarnya menjadi kunci ‘delivery and perfomance’ Kerajaan.

Dengan saiz perbelanjaan mencecah 28.7% dari Belanjawan 2012 atau jumlahnya RM 52 billion, seharusnya mutu penyampaian perkhidmatan awam mestilah sangat tinggi dan cemerlang.

Sekian

Husam Musa

Konvensyen Pakatan Rakyat

14 Januari 2012

-------------------------------------------

Kertas cadangan ini dibentangkan penulis dalam Konvensyen Ketiga Pakata Rakyat di Alor Setar pada 14 Januari 2012.

Tawan Putrajaya:Pakatan akan hapus tol


14 JANUARI – Sehari sebelum keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, saya telah mengulangi pendirian parti DAP untuk menyokong penuh Sdr Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pakatan Rakyat dan Perdana Menteri alternatif negara kita. Keyakinan kita terhadap kepimpinan Sdr Anwar masih lagi kukuh jika tidak diperkukuhkan lagi.

Empat tahun lalu, kita telah mencapai kejayaan dalam pilihan raya umum sebagai tiga parti berasingan. Selepas PRU12, kita telah bergabung menjadi Pakatan Rakyat. Pada mulanya, ramai yang meragui pakatan kita.

Tiada sesiapa pun yang mempercayai bahawa PKR, PAS dan DAP mampu bertahan di bawah satu bumbung. Namun begitu, kita telah membuktikan ketabahan kita. Kita telah menunjukkan kepada Barisan Nasional dan juga rakyat Malaysia bahawa kita mampu bermuafakat dalam pakatan politik yang berasaskan prinsip-prinsip saling hormat-menghormati dan kesetiakawanan.

Sungguh pun BN menyerang bertubi-tubi dengan pelbagai taktik kotor dan memainkan isu-isu agama dan perkauman untuk meretakkan Pakatan Rakyat, kita masih lagi kukuh dan berdiri teguh. Macam-macam yang telah dibuat.

Ketua Pembangkang telah difitnah dan didakwa dalam mahkamah. DAP dituduh ingin menubuhkan negara Kristian, PAS dipikat untuk menyertai BN, wakil-wakil katak diumpan keluar dan sebagainya. Tetapi akhirnya, kita masih lagi bersatu, bersama dan bersepakat dalam perjuangan untuk menyelamatkan rakyat Malaysia daripada cengkaman BN.

PR mengamalkan CAT, BN mengamalkan rasuah

Sebenarnya, hakikat yang paling digeruni BN adalah kejayaan kita dalam mentadbir 4 buah negeri dengan lebih cekap, akauntabel dan telus. Ini jelas terbukti dalam prestasi kita apabila jumlah pelaburan yang dicatat oleh 4 buah negeri Pakatan Rakyat, iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan, bagi tahun 2010 telah melebihi jumlah pelaburan yang berjaya ditarik oleh 9 buah negeri Barisan Nasional.

Empat negeri Pakatan Rakyat telah mengalahkan 9 negeri Barisan Nasional. Sebaliknya, pentadbiran Kerajaan BN terkenal dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan wang. Makin hari makin banyak skandal kewangan yang dibongkarkan.

Ambil sebagai contoh skandal terbaru “lembu dan kondo”, di mana syarikat National Feedlot Corporation kepunyaan keluarga seorang Menteri Persekutuan telah dianugerahkan pinjaman mudah sebanyak RM250 juta untuk projek penternakan lembu.

Duit pinjaman itu bukan sahaja telah diberikan dua tahun sebelum perjanjian ditandatangani oleh kedua-dua pihak, tetapi telah digunakan untuk pelbagai aktiviti di luar bidang penternakan, termasuk pembelian kondominium-kondominium mewah di dalam dan di luar negara. Sementara kaum kerabat Menteri berkenaan dilaporkan dibayar gaji berpuluh-puluh ribu sebulan, para penternak lembu di kampung-kampung pula terpaksa terengkeh-rengkeh memikul beban tanpa bantuan daripada kerajaan.

Skandal “lembu dan kondo” ini merupakan salah satu daripada kepincangan yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010, yang antara lainnya juga telah melaporkan bahawa jabatan-jabatan kerajaan telah terlebih belanja sebanyak RM3.7 bilion.

Di samping itu, rakyat Malaysia sudah pun kehilangan “satu dekad yang telah hancur dek korupsi”, di mana wang haram (termasuk wang rasuah) sebanyak RM1,077 bilion telah dibawa keluar dari negara kita dalam tempoh 10 tahun dari 2000 hingga 2009, mengikut unjuran laporan badan pemerhati kewangan yang berpusat di Washington, iaitu Global Financial Integrity (GFI).

Ketirisan RM1,007 bilion yang amat besar dan tidak bertanggungjawab ini adalah akibat daripada aktiviti-aktiviti kewangan haram seperti rasuah dan penyelewengan wang. Ditambah pula dengan skandal-skandal lain seperti Port Klang Free Trade Zone (PKFZ), skandal saham Bumi RM52 bilion, “komisyen” setengah bilion untuk pembelian dua kapal selam kelas Scorpene dan lain-lain lagi.

Memang tidak hairanlah mengapa laporan terbaru Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2011 Transparency International (TI) telah menunjukkan bahawa Malaysia telah jatuh kepada tangga ke-60 daripada 183 negara, berbanding tangga ke-37 pada tahun 2003 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pucuk pimpinan negara sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya di Pulau Pinang, Kerajaan Pakatan Rakyat telah dipuji oleh TI kerana mengamalkan sistem tender terbuka.

Kroni diutamakan, rakyat dibebankan

Inflasi yang kita lihat ini merupakan masalah yang perlu diambil perhatian. 60 peratus golongan terbawah dalam masyarakat kita mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan manakala 40 peratus yang terbawah terpaksa hidup dengan kurang daripada RM1,500 sebulan.

Yang lebih merunsingkan, Laporan Tahunan Bank Negara 2010 telah mendedahkan bahawa hutang isi rumah Malaysia pada akhir 2010 berada di tahap RM581 bilion ataupun 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lantas “menobatkan” Malaysia sebagai negara dengan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia selepas Korea Selatan.

Lebih teruk lagi, hutang persekutuan sudah mencecah RM456 bilion pada akhir tahun lepas, sementara nisbah hutang-kepada-KDNK pula sudah hampir menyentuh siling hutang negara iaitu 55%. Sebaliknya, di Pulau Pinang kita telah mengurangkan hutang sebanyak 95% atau pun RM600 juta daripada RM630 juta pada 8.3.2008 kepada RM30 juta pada akhir Oktober 2011. Ini merupakan pengurangan hutang yang paling ketara dalam sejarah mana-mana negeri Malaysia.

Untuk membantu mengurangkan beban rakyat dalam suasana ekonomi yang meleset, Kerajaan PR Pulau Pinang telah memulakan beberapa program sosial. Kita memberi RM100 setahun kepada warga emas, OKU dan ibu tunggal, serta bayaran “one-off” RM1,000 kepada waris apabila mereka meninggal dunia. Kita juga memberi RM1,000 kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di universiti awam tempatan. Tambahan pula, kita juga memberi RM200 untuk setiap bayi baru lahir di Pulau Pinang.

Bagi membantu rakyat untuk menampung kos menyara anak, kita juga memberi RM100 kepada pelajar-pelajar yang memasuki Tahun 1 dan 4 serta Tingkatan 1 dan 4.

Selain daripada bantuan kewangan kepada golongan-golongan tertentu, kita juga telah menubuhkan Pusat Dialisis CAT di Balik Pulau yang memberi rawatan dialisis yang disubsidi. Tambahan pula, kita juga menyediakan perkhidmatan bas percuma di dalam kota George Town serta untuk pekerja-pekerja yang berulang-alik dari Seberang Jaya ke Bayan Lepas.

Lebih signifikannya, kita juga telah membasmi kemiskinan tegar setahun selepas mengambil alih pucuk pimpinan. Sekarang, kita berhasrat untuk membasmi kemiskinan menjelang 2015. Jika kita boleh melakukannya di Pulau Pinang, kita juga boleh melakukannya untuk seluruh Malaysia.

Hapuskan kapitalisme kroni

Satu lagi masalah besar di negara kita adalah ekonomi kapitalisme kroni yang telah dipupuk oleh Kerajaan BN. Sebagai contoh, subsidi gas berjumlah RM20 bilion setahun diberi kepada syarikat-syarikat Penjana Tenaga Elektrik Bebas (IPP) dalam perjanjian yang jelas berat sebelah, serta syarikat-syarikat konsesi tol lebuhraya yang juga dibenarkan untuk meningkatkan kadar tol secara berkala sepanjang tempoh konsesi
yang panjang, walaupun kebanyakan daripada mereka sudah pun mengaut keuntungan yang jauh melebihi pelaburan asal.

Setakat 31.12.2010, pengendali tol bagi Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) telah membelanjakan RM5,945 juta untuk pembinaan NSE tetapi sudah menerima RM24,266 juta dalam kutipan tol dan pampasan kerajaan. Dalam kata lain, pengendali tol NSE telah mencatatkan keuntungan lebihan sebanyak RM18,321 juta setakat 31.12.2010 berbanding pelaburan asalnya.

Adakah masih perlu pengendali tol NSE untuk meneruskan kutipan tol daripada rakyat, apatah lagi menaikkan kadar tol? Demi kepentingan rakyat, kutipan tol NSE harus dihentikan serta merta kerana pulangannya sudah pun 3 kali ganda melebihi pelaburan asal. Ceritanya sama untuk Jambatan Pulau Pinang yang telah mengutip RM1,859 juta
berbanding pelaburan asal RM944 juta, iaitu keuntungan sebanyak RM924 juta.

Pakatan Rakyat akan menghapuskan tol Lebuhraya Utara-Selatan apabila kita mengambil alih Kerajaan Persekutuan. Kita juga akan mengkaji semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Penjana Tenaga Elektrik Bebas (IPP) yang jelas berat sebelah.

Kerajaan Pakatan Rakyat berjanji untuk memansuhkan ekonomi kapitalisme kroni yang hanya menguntungkan syarikat-syarikat kroni dan membebankan rakyat. Sebaliknya, kita akan memperkenalkan dasar ekonomi yang berjiwa rakyat dan memartabatkan rakyat.

Pengalaman pentadbiran negeri-negeri Pakatan Rakyat adalah contoh paling baik untuk membuktikan kepada kawan-kawan di negeri-negeri lain bahawa kemakmuran dan kesejahteraan boleh dicapai melalui pentadbiran yang cekap, akauntabel dan telus.

Kita bersyukur Anwar dibebaskan tetapi yang lebih penting adalah membebaskan Malaysia daripada cengkaman BN yang kotor, berasuah, tamak dan rakus. Kebebasan Sdr Anwar tambah dengan semangat perjuangan yang jitu dan perpaduan yang kental, kami menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan penuh keyakinan.

Ini tidak bermakna PR pasti menang, tidak jauh sekali tidak kerana BN masih mempunyai kelebihan tetapi kini PR lebih dekat kat Putra Jaya kalau berbanding tiga bulan yang lepas. Itulah sebabnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan pilihanraya akan ditunda lebih lama.

Kita hanya berjaya kalau kita bekerja. Bekerja keras, bekerja dengan beramanah dan bekerja berpasukan barulah kita boleh menang. Marilah kita balik ke kawasan masing-masing untuk bekerja dengan lebih rajin agar kita menjayakan misi bersejarah untuk menggantikan BN.

Marilah Ubah kepada PR demi bersihkan Malaysia dan selamatkan rakyat agar bantuan ditambah, tol Lebuhraya Utara-Selatan dihapuskan, harga minyak diturunkan dan kos sara hidup ditangani.

Ubah Malaysia Ubah! – Roketkini.com

Petikan ucapan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 di Alor Setar pada 14 Januari 2012

Muflis 2019: Henti beri mandat kepada BN


PULAU PINANG, 11 Jan: Pengesahan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) bahawa Malaysia akan bankrap menjelang 2019 menujukkan rakyat perlu menukar kerajaan supaya Pakatan Rakyat dapat menyelamatkan negara, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Menurutnya, Malaysia akan menjadi negara penghutang sebelum akhir dekad ini jika Kerajaan BN meneruskan cara-cara perbelanjaan dan peminjaman yang tidak bertanggungjawab.

Nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK telah meningkat setiap tahun dari 53.1% pada tahun 2010, 53.8% pada tahun 2011 hingga 54.8% pada tahun 2012. Kadar hutang ini amat membimbangkan kerana sudah hampir mencecah siling hutang negara iaitu 55%.

Mengikut felo Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Mohd Ariff Abdul Kareem, sekiranya Kerajaan Persekutuan terus meminjam seperti sekarang, nisbah hutang kepada KNDK negara akan mencapai 100% ataupun menyamai KDNK menjelang tahun 2019.

Secara mutlak, hutang Kerajaan Persekutuan telah meningkat sebanyak 71% dalam tempoh 4 tahun kepada RM456 bilion pada akhir 2011 daripada RM266 bilion pada akhir 2007.

Jika kadar peningkatan yang sama diteruskan, hutang negara akan meningkat kepada RM780 bilion pada tahun 2016 dan RM1,300 bilion pada tahun 2020.

Yang lebih menrunsingkan kata Lim, kadar pinjaman negara adalah jauh lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan ekonomi.

"Ini amat berbahaya, dan lebih teruk lagi jika ditambah dengan data Laporan Tahunan Bank Negara 2010 yang mendedahkan bahawa hutang isi rumah Malaysia pada akhir 2010 berada di tahap RM581 bilion atau pun 76 peratus daripada KDNK, lantas “menobatkan” Malaysia sebagai negara dengan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia selepas Korea Selatan.

"Tambahan pula, nisbah bayaran hutang isi rumah Malaysia berada di tahap 47.8 peratus pada tahun 2010, atau dalam erti kata lain, setengah daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk pembayaran hutang," kata Lim.

Beliau yang juga Setiausaha DAP berkata, Rakyat Malaysia bukan sahaja dibebani hutang piutang, tetapi kos barang-barang harian juga sedang melambung sementara pendapatan dan gaji tidak meningkat. Susu bayi pun telah naik harga sebanyak 50% baru-baru ini. Antara kos barangan harian yang meningkat adalah:

1. Gula: RM1.45/kg (Jan 2010) kepada RM2.30 (Mei 2011) – 58% dalam 18 bulan.

2. Telur: Gred B RM9/30biji (Sep 2010) kepada RM10/30biji (sekarang).

3. Tarif Elektrik: kenaikan purata 7.12% pada bulan Jun 2011.

4. Teh Tarik dan Kopi Susu: Kenaikan RM0.10 hingga RM0.20 (9.1% hingga 18.2%).

5. Roti Gardenia: Kenaikan 5-14% (2011).

6. Cukai Perkhidmatan: Kenaikan 1% (cukai tambahan RM720 juta untuk Kerajaan Persekutuan).

7. Bawang: Kenaikan 17% (Dis 2010).

8. Milo: Kenaikan 5% pada suku pertama 2011, 4% pada setengah tahun kedua 2011.

9. Nescafe: Kenaikan 6% pada setengah tahun kedua 2011, di mana harga sudah >RM20/300gm.

10. Semua makanan kegemaran ramai seperti roti canai, char koay teow dan nasi kandar makin kecil bahagiannya walaupun harga tetap sama.

Sebaliknya ujar Lim, negeri-negeri Pakatan Rakyat telah berjaya mengurus kewangan supaya rakyat tidak dibebani hutang.

Di Pulau Pinang, hutang kerajaan negeri telah dikurangkan daripada RM630 juta pada 8 Mac 2008 kepada RM30 juta pada akhir Oktober 201.

"Ini merupakan pengurangan sebanyak 95% ataupun RM600 juta, iaitu pengurangan yang paling besar dalam sejarah mana-mana negeri di Malaysia.

"Adalah jelas bahawa rakyat Malaysia yang menginginkan kehidupan yang lebih baik hari ini dan untuk generasi masa depan hendaklah membuat pilihan di antara sebuah kerajaan yang boros dan meminjam secara tidak bertanggungjawab di samping gagal menjana perkembangan ekonomi, dengan sebuah kerajaan yang berhemat dan telus serta mengutamakan kepentingan rakyat," katanya.

Pautan Bermanafaat

Who am I?

My Photo
Nor Miswary b. Ramli
"Rakyat ini perlu dibela.Kita perlu hak-hak kita kekal segar dipelihara; oleh pemimpin yang benar, yang jujur dan yang taat kepada nilai-nilai Islam. Kita perlukan pendidikan dan bukannya hukuman sebagai asas perkembangan".
View my complete profile

Disclaimer

Semua artikel yang tersiar dalam blog ini merupakan idea dan aliran pemikiran penulis secara peribadi dan mungkin tidak sealiran dengan pertubuhan atau organisasi yang penulis anggotai. Ia boleh berkaitan dengan apa sahaja yang boleh memberi manafaat kepada pemilik blog atau mereka yang menurutinya. Komen, teguran dan kritikan yang membina dari pengunjung adalah dialu-alukan.
.
.
.
.

About

Powered by Blogger.

Popular Posts