Instagram

Saya dan DAP


Sehingga hari ini artikel yang semacam ini cuba ditulis, saya masih belum secara rasmi memohon untuk menyertai DAP - Parti Tindakan Demokratik - yang melengkapkan gabungan parti-parti pembangkang utama di Malaysia sebagai sebuah pakatan pembangkang (istilah masyhur bagi parti pemerintah - BN). Biarpun sudah beberapa kali 'usul' ini dibangkit berdepan beberapa pimpinan mereka, saya kekal belum bergerak ke dasar untuk mengapai hasrat ini.

"Bukankah kita orang Islam. Malah menyertai PAS sebagai landasan perjuangan besifat politik ini adalah satu kewajiban".Salah seorang rakan menyeringa bila saya luahkan mahu meyertai parti yang dicop sebagai anti-Melayu dan anti-Islam tersebut.

Kami sebenarnya berlima. Senang asyik menjamah minum petang di kedai kopitiam, selera mereka jadi mati tiba-tiba bila saya suarakan niat saya itu. Itu sebenarnya bukanlah kali pertama saya menyebut akan hal itu, malah sudah beberapa kali sebenarnya. Di mana-mana sahaja, dengan berbagai orang dan hampir banyak ketika, cuma kali ini bunyinya agak serius dan bersungguh.

"DAP tak pernah setuju dengan hukum hudud. Malah pemimpin mereka sangat kuat menentangnya.Sebagai orang Islam, kita wajib meyakini, mematuhi dan mengamalkan hudud malah menentangnya boleh dikira terkeluar dari akidah". Salah seoarang rakan PAS saya turut sama berhujah. Gaya hujahnya seolah-olah niat saya menyertai DAP itu seperti saya mahu keluar dari agama. Hebat betul hasil tuaian UMNO-BN ini, detik saya dalam hati. Malah, sindrom seperti inilah menguatkan saya betapa tindakan memilih DAP sebagai platform untuk menyumbang sesuatu kepada sebuah Malaysia yang baru - sangat tepat.

Malah beberapa rakan saya yang lain seakan beriya-iya memujuk dengan hal-hal yang bersifat keagamaan untuk memberikan hujah betapa tindakan memilih DAP selain dari PAS mahupun PKR adalah sesuatu yang merugikan.

"Tarbiyyah kita lain. Kita dididik dengan perjuangan yang bersifat selamanya. Tuntutan perjuangan kita adalah ibadat. Syurga adalah fokus. Politk dalam PAS ini ibadat. Mati dalam perjuangan beribadat ini adalah idaman kita semua". Bersungguh benar sahabat baik saya yang kini menjadi salah seorang AJK PAS yang berkesan di Muar, Johor menasihati saya.

"Lagipun, DAP itu menentang hudud. Menyertai DAP bermakna anta juga menentang hudud dan berpihak kepada mereka yang menentang hudud itu. Itu bahaya!". Beliau galak menambah. Kali ini bunyinya agak keras. Kemahuan ikhlas saya menyertai DAP kelihatan seperti saya mahu membelakangi agama kepercayaan saya. Itu sesuatu yang amat menyedihkan saya.

"Lagipun DAP itu memperjuangan sebuah negara demokrasi sekular.Tuntutan kita adalah sebuah negara Islam yang jelas pada setia masa dan di mana sahaja merupakan bantahan paling utama dari DAP". Kali ini beliau meyakini saya sudah kalah dengan hujah-hujahnya. Saya hanya diam membatu. Nah! Selain dari menentang hudud, saya juga dilihat sebagai seseorang yang turut bersetuju dengan dasar pemisahan agama;yakni agama dan dunia adalah dua entiti yang berlainan dan tidak sesekali boleh menjadi satu.Ini semua adalah gara-gara saya mencetuskan minat menyertai sebahagian dari mereka-PAS dan PKR - dalam Pakatan Rakyat di depan mereka.

Setelah kesemuanya kelihatan seperti sudah berpuas hati, perlahan-lahan saya memberi hujah demi hujah untuk mereka. Yang itu, biarlah saya tidak menulisnya di sini. Rentetan itu, saya berpendapat bahawasanya, mereka ini masih lagi sangsi dengan kerjasama DAP dan lain-lain parti komponen dalam Pakatan Rakyat. Malah mereka sebenarnya lebih tinggi kesangsiannya berbanding lawan mereka di luar Pakatan Rakyat. Apa yang boleh saya perhatikan, seolah-oleh kerjasama yang wujud di antara parti yang mereka anuti -PAS dan PKR- itu bukan sesuatu yang ikhlas. Tidak pula diketahui samaada mereka telah percaya dengan momokkan parti pemerintah atau mereka lah yang sebenarnya yang menyebarluas propaganda tersebut. Elok saja saya sembunyikan dulu kriteria-kriteria yang telah pun saya jelaskan kepada mereka mengapa medan DAP menjadi pilihan qalbu saya sedangkan saya boleh memilih PKR dan PAS. Biar ianya menjadi rahsia saya dengan rakan-rakan saya itu. Menghuraikannya di sini, merupakan suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan sangat tidak demokartik.

Namun, atas segala hujah dan kewajaran yang dipertimbangkan,apa yang mereka diluar sana tidak ketahui ialah keyakinan yang padu saya pada agama saya lah yang membawa saya ke pilihan ini. Malah, melihat kepada sikap pemimpin parti yang memerintah dan beberapa NGO yang galak menjadi jurucakap mereka (yang Muslim dan berbangsa Melayu), maka manafaat yang jauh lebih besar untuk kemenangan rakyat melalui Pakatan Rakyat adalah dengan saya memilih parti DAP.

Maka, selari dengan prinsip-prinsip keadilan kaum dan kesaksamaan sosial dan ekonomi yang menjadi teras parti yang diasaskan pada bulan October 1965 ini, maka bukan sesuatu yang mustahil bagi kita, mereka, anda dan saya yang beragama Islam dan berbangsa Melayu memilih untuk menjadikan Malaysia sebuah masyarakat yang lebih baik untuk semua melalui DAP.

Nor Msiwary Ramli
Bangi

Pautan Bermanafaat

Who am I?

My Photo
Nor Miswary b. Ramli
"Rakyat ini perlu dibela.Kita perlu hak-hak kita kekal segar dipelihara; oleh pemimpin yang benar, yang jujur dan yang taat kepada nilai-nilai Islam. Kita perlukan pendidikan dan bukannya hukuman sebagai asas perkembangan".
View my complete profile

Disclaimer

Semua artikel yang tersiar dalam blog ini merupakan idea dan aliran pemikiran penulis secara peribadi dan mungkin tidak sealiran dengan pertubuhan atau organisasi yang penulis anggotai. Ia boleh berkaitan dengan apa sahaja yang boleh memberi manafaat kepada pemilik blog atau mereka yang menurutinya. Komen, teguran dan kritikan yang membina dari pengunjung adalah dialu-alukan.
.
.
.
.

About

Powered by Blogger.

Popular Posts