Instagram

Saksi tunggal rogol di Delhi

Memecahkan kesunyian, saksi tunggal dan kekasih kepada mangsa rogol berkumpulan di Delhi mendedahkan, tiada sesiapa pun berhenti membantu dan ketibaan polis hanya membuang masa untuk memutuskan kes itu bawah bidang kuasa balai yang mana. "Kami tidak berpakaian. Kami cuba hentikan orang yang lalu lalang. Beberapa beca bermotor, kereta dan motosikal memperlahankan kenderaan tetapi tiada siapa pun berhenti kira-kira 25 minit. "Kemudian, seseorang yang sedang meronda berhenti dan panggil polis," katanya dalam wawancara dengan Zee News yang berpangkalan di India pada Jumaat malam. Menurut Bernama dan Reuters pula, beliau memberitahu pihak yang menemuramahnya bahawa tiada sesiapa, termasuk polis memberikan mereka pakaian atau menelefon ambulans. "Mereka hanya memerhatikan kami," beliau dipetik sebagai berkata. Menurutnya lagi, selepas mengulang minta, seseorang tampil memberikannya sebahagian alas tilam untuk menutup badan temannya. "Jika kamu dapat bantu seseorang, bantulah. Jika ada seorang tampil tolong saya pada malam itu, keadaan mungkin akan berbeza," katanya.

Pengarah Pilihanraya DAP letak jawatan

Pooi Weng Keong meletakkan jawatan daripada kedudukan beliau sebagai pengarah pilihan raya DAP berikutan kesilapan dalam pengiraan undi dalam pemilihan parti baru-baru ini. Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada Jumaat berkata Pooi juga meletakkan jawatan sebagai ahli jawatankuasa DAP Wilayah Persekutuan. Beliau berkata Pooi mengakui kesilapan beliau dan mengaku bertanggungjawab penuh di atas kesilapan yang dilaporkan sehingga menyebabkan calon yang berada pada kedudukan 31 hingga 38 dan mereka pada kedudukan 61 hingga 68 diberikan bilangan undi yang sama. Lim mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa eksekutif pusat parti (CEC) kerana menerima pakai keputusan beliau untuk mengumumkan keputusan yang diperbetulkan walaupun ia memberikan publisiti negatif terhadap parti. "Kita perlu memberitahu perkara sebenar. Kita tidak akan hidup dalam pembohongan. Parti tidak akan hidup dalam pembohongan. Ini (keputusan yang diperbetulkan) perlu diperjelaskan. "Kami telah melantik pasukan audit dalaman yang diketuai oleh Dr Ong Kian Ming dan melantik juruaudit bebas luar untuk mengesahkan keputusan," katanya. Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata DAP mahu sebuah firma perakaunan untuk mengendalikan pilihan raya parti itu pada masa depan untuk mengelakkan sebarang masalah. Pada Jumaat, dilaporkan bahawa Zairil Khir Johari, yang pada mulanya berada dalam kedudukan 39, kini telah berada pada kedudukan ke-20, memperoleh kedudukan terakhir ahli dalam CEC. Zairil, yang sebelum ini dikatakan telah mendapat 305 undi, sebenarnya mendapat 803 undi, meletakkan beliau dalam kedudukan ke-20. Vincent Wu, yang pada mulanya diumumkan mendapat tempat keenam dengan 1,202 undi, telah jatuh ke tempat ke-26 kerana parti mendakwa dia sebenarnya hanya mendapat 669 undi.

DAP Masih Lagi Berintegriti Berbanding Umno

Tindakan Pengarah Pilihan Raya DAP, Pooi Weng Keong meletak jawatan ekoran kesilapan teknikal dalam pengiraan undi pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP Kebangsaan bulan lalu perlu dihormati dan diambil iktibar. Apa yang dilakukan Weng Keong memberi markah besar kepada DAP. Bahawa anggota parti itu bertanggungjawab dan sedia mengambil risiko atas apa yang berlaku, hatta kesalahan teknik. Apa dilakukan oleh Weng Keong itu tidak wajar diketawakan atau disinis tetapi patut ditiru oleh semua ahli politik tanpa mengira parti. Walaupun pengakuan itu menjejaskan maruah dirinya, dan boleh menjejaskan partinya, tetapi ia adalah tindakan terbaik demi menjaga maruah dan integriti partinya. Ekoran salah teknik, salah kira itu menyebabkan seorang calon Melayu yang mendapat undi untuk menduduki salah satu 20 kerusi CEC terkeluar. Ketiadaan wakil Melayu menjadi isu dan kritikan oleh pihak musuh DAP terutamnaya MCA, Umno dan Gerakan. Macam-macam dituduhkan terhadap DAP di mana Umno menyifatkan DAP meminggirkan Melayu. Kritikan-kritikan seperti itu tidak dapat dihindarkan di dalam dunia politik. Politik itu sendiri tidak sekata dan tidak selari. Semua dilakukan oleh pembangkang tidak betul bagi parti memerintah dan begitu juga sebaliknya. Di sinilah jahat dan jijiknya manusia politik. Apabila Weng Keong membuat pengakuan dan apolegetik, musuh-musuh DAP membaham parti itu dari sudut lain pula. Direka isu pula isu kononnya ia sengaja dibuat untuk membolehkan wakil Melayu menduduki dalam CEC. Rendah sekali moral mereka yang beranggapan demikian dan tidak dapat menilai diri mereka berbanding dengan DAP. Tampaknya MCA yang berlebihan mengkritik DAP di dalam isu salah kira ini tetapi tidak Umno. Kenapa? Umno mungkin sedar diri untuk tidak ikut sama mengkritik DAP kerana apa yang berlaku dalam Umno lebih teruk "silap tekniknya" berbanding dengan apa dialami DAP itu. Mungkin Umno dapat menyedari yang dosa mereka dalam proses pemilihan lebih "mukhalazah" dari Umno. Tahun 1987 semasa berlaku pertandingan merebut jawatan presiden Umno di antara Mahathir Mohamad dengan Tengku Razaleigh Hamzah telah berlaku silap teknik, salah kira yang sebenarnya tipu kira. Pada mulanya pertandingan itu sudah dimenangi oleh Tengku Razaleigh. Tetapi selepas perkiraan undi dihentikan selama 25 minit, bila dikira semula Mahathir pula yang diisytiharkan menang sebanyak 43 undi. Tragedi ini tercatat dalam sejarah dan minda orang Umno yang lama. Perkiraan itu terus menjadi tanda tanya dan tidak dapat diterima oleh sebahagian besar ahli Umno. Namun Umno sampai ke saat ini belum membuat penjelasan terhadap silap teknik itu. Ertinya di sini Umno sedia membungkus "kesalahan"nya sampai ke bila-bila tidak seperti mana DAP yang lebih bertanggunagjawab telus dan berintegriti. Hal-hal begini walaupun kecil tetapi ia diperhatikan oleh orang ramai. Mungkin disebabkan integriti atau disiplin DAP lebih mapan berbanding Umnolah maka ada ahli-ahli Umno menyertai parti itu. Antara mereka ialah Aspan Alias, Ariff dan lain-lain. Mohd Sayuti Omar

Seruan Tg Nik Aziz

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyeru seluruh rakyat negara ini sama ada penyokong Pakatan Rakyat atau kerajaan turun ke Himpunan Kebangkitan Rakyat di stadium Merdeka pada 12 Januari ini. Menurutnya, perhimpunan itu amat perlu bagi menyatakan bantahan terhadap ‘penderaan’ dan kezaliman yang telah dilakukan oleh kerajaan pada rakyat di negara ini. Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily di rumahnya sebentar tadi bagi mengulas program himpunan besar-besaran pertama tahun ini dan terakhir sebelum pilihan raya umum. Pada masa yang sama beliau menyeru semua pihak turun untuk menjayakan himpunan itu walaupun dengan berkerusi roda demi untuk menyatakan bantahan terhadap pemerintah yang zalim. Katanya, mudahan dengannya juga dapat membuktikan Islam itu kuat. Tuan Guru juga turut memberitahu kesediaannya untuk turut serta dalam perhimpunan itu nanti. “Moga ketika itu kesihatan saya sihat, insya Allah,” ujarnya sebaik pulang dari menyampaikan kuliah Jumaat pagi tadi. Beliau memberitahu, perhimpunan berkenaan amat penting untuk menyatakan bantahan rakyat pada kerajaan berhubung pilihan raya yang bersih dan adil, bantahan terhadap Lynas, penindasan terhadap Felda termasuk ISA. “Orang Melayu kita ni hanya menyedari menzalimi orang lain sahaja dianggap zalim, walhal kita membiarkan diri kita dizalimi juga sudah tidak boleh,” ujarnya.

Nur Misuari tidak bersetuju berdamai?

The 17th MNLF Grand Summit Gathering, Davao Crocodile Park 2012 "THOUSANDS OF MNLF COMING FROM ALL OVER MINDANAO GATHERED AT DAVAO TO RAISE ONE VOICE UNDER THE LEADERSHIP OF THE LEGITIMATE BANGSAMORO REPRESENTATIVE MNLF CHAIRMAN NUR MISUARI" Laporan dalam akhbar tempatan meletakkan tajuk "Jangan Memperkecilkan Nur Misuari!" ini menunjukkan bahawa Nur Misuari tidak bersetuju dengan pelan damai yang ditandatangani antara MILF (Moro Islamic Liberation Front) dengan GPH (Government of the Philippines). Perhimpunan MNLF ini sangat jelas sebagai perhimpunan protes dari pihak MNLF yang dipimpin Nur Misuari terhadap perjanjian damai tersebut yang bukan sahaja menganggap MILF sebagai kumpulan bersenjata picisan malah dianggap sebagai kumpulan pengkhianat. Kerana ketika MNLF menandatangani Perjanjian Damai Autonomy pada tahun 1996, suku kaum Maranao-Maguindanao yang sebelumnya menyertai angkatan bersenjata MNLF telah berpakat keluar dari MNLF dengan menubuhkan MILF pula, dengan alasan mereka tidak mahu Autonomi tetapi kemerdekaan sebagaimana perjuangan awal. Tiba-tiba hari ini MILF pula yang mengikut jejak MNLF berdamai dengan SANGGUP menerima kerakyatan Filipina, bukan kemerdekaan negara Islam Moro seperti yang mereka laungkan. Barangkali inilah punca kemarahan utama MNLF terhadap saudara mereka dari kumpulan MILF ini. Iaitu cakap tak serupa bikin, beriya-iya nak teruskan peperangan dengan menentang perjanjian damai MNLF 1996 tapi akhirnya MILF sendiri yang terpaksa menelan segala cakap besarnya terhadap MNLF pada 1996 lalu. Salah satu dari kemarahan MNLF ialah perjanjian damai yang dimeterai MILF dengan Filipina itu secara automatik telah membatalkan segala perjanjian damai 1996 oleh Nur Misuari yang mewakili MNLF dengan Filipina. Sejak tahun 1996 Nur Misuari menunggu agar perjanjian damainya itu dilaksanakan oleh Filipina tapi malangnya bukan sahaja tidak dilaksanakan oleh Filipina segala fasa dalam perjanjian tersebut malah Filipina bertindak dengan bantuan Malaysia menutupi perjanjian MNLF 1996 itu dengan perjanjian baru MILF-Filipina ini. Gambarannya seperti satu syarikat pemaju hartanah telah menandatangani perjanjian dengan Syarikat A untuk pemajakan bangunan BLOK M, tiba-tiba pemaju ini telah bertindak memajakkan blok bangunan yang sama kepada Syarikat B pula. Bila Syarikat A tahu kerja khianat pemaju tersebut maka sudah sewajarnya syarikat A akan marah dan pasti akan lakukan tindakan yang difikirkannya perlu agar pihak pemaju mematuhi perjanjian pajakan AWAL. Sekarang Syarikat A (MNLF) ini bukan sahaja marah kepada Pemaju (Filipina) malah turut marah kepada Syarikat B (MILF) yang ketika dulu adalah rakan kongsinya. Kemarahan Syarikat A ini turut diarahkan kepada PEMAJU dari luar (Malaysia) yang tanpa rasa bertanggungjawab telah menyokong tindakan Pemaju (Filipina) sehingga membolehkan Syarikat B (MILF) itu mendapat konsesi pajakan bangunan Blok M (Moro). Apapun alasan Filipina untuk menafikan hak MNLF sebagai pemeterai perjanjian lebih awal ia nyata sekali tidak boleh diterima samada oleh Nur Misuari mahupun ahli-ahli MNLF sendiri. Di Malaysia, siaran TV tempatan telah melaporkan betapa Malaysia begitu bertuah menjadi ajen pendamai Nusantara sehingga mendapat pujian Ulama' Arab (Syeikh Yusuf Al-Qaradawi) tanpa menyedari bahawa ia bukannya keamanan yang menjadi TOKEN kepada kejayaan Malaysia itu, sebaliknya akan menjadi bibit perang saudara sebagaimana yang digambarkan oleh Nur Misuari sendiri. Sekiranya Malaysia berterusan MENUTUP MATA terhadap keadaan sebenar Sulu dan Mindanao itu, dikhuatiri masalah ini akan menular sampai menyentuh kes Sabah. MALAYSIA MENCARI JALAN KELUAR Malaysia memerlukan jalan keluar dari terlibat secara berterusan dengan mengambil langkah alternatif demi keselamatan wilayah dan POLITIK dalamannya. Ataupun berterusan mendokong MILF-Filipina sehingga mengorbankan kepentingannya sendiri yang selama ini diusahakan "terus tersorok" (kes Kesultanan Sulu). Malaysia mempunyai 3 agenda untuk bantu pelan damai Mindanao dengan Filipina, Pertama kerana hendak selamatkan karier politik Kerajaan yang semakin terancam oleh parti oposisi terutama dalam kes RCI (Suruhanjaya Diraja Menyiasat IC PROJEK/PALSU) di Sabah (penganalisis politik tahu hal ini) terpaksa dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia atas desakan pengundi Sabah dan parti-parti oposisi. Sebarang kegagalan bertindak dari pihak Kerajaan menangani pendatang asing, maka mereka akan kehilangan undi pada PRU-13 nanti. Kedua kerana RCI itu perlukan dokongan dari selatan Filipina, yakni tanpa keamanan di sana, RCI tidak dapat dilaksanakan secara efektif untuk menghalau Muslimin Sulu-Mindanao (PTI) kembali ke tempat asal mereka. Dalam masa yang sama Muslimin Sulu-Mindanao turut tidak berasa kecil hati sekiranya dihalau kerana Malaysia telah membantu amankan Selatan buat mereka. Yakni, sudah mudah mencari makan di Sulu-Mindanao kerana Malaysia telah janjikan dana besar buat FILIPINA UNTUK MEMBANGUNKAN SELATAN. Ketiga kerana tanggungjawab Malaysia terhadap kemakmuran jirannya yang bukan sahaja jiran itu berhak dibantu malah penduduknya adalah saudara seIslam, disamping itu juga dapat mailej antarabangsa terhadap bantuan damai tersebut. Beberapa orang sahabat saya dari kalangan mantan Tentera Malaysia bergilir-gilir mengucap tahniah kepada saya berkenaan keamanan yang sedang dikecapi oleh BANGSA MORO katanya setelah dibantu oleh DS Najib Tun Razak sebagai broker keamanan. Saya katakan pada mereka, ya kita doakan semoga bantuan Malaysia itu akan Allah swt berikan keberhasilan untuk manfaat ummah terutama Sulu dan Mindanao, dan insyaAllah kita di Malaysia akan turut merasa nikmatnya insyaAllah. Tapi, mereka terkejut bila saya berikan pandangan apa yang berlaku sekarang ini kemungkinan besar bukan keamanan malah sebaliknya akan mengancam keselamatan Malaysia di rantau ini. Saya bagi tamsilan, yang berlaku sekarang ialah "Orang luar bantu SABAHAN untuk datang ke Semenanjung Malaysia untuk mentadbir orang-orang Malaya (Melayu, India, China Orang Asli)", sudah tentu orang Malaya marah dan tidak mahu diperintah oleh SABAHAN atas dasar dominannya kuasa Kesultanan di Tanah Melayu itu. Tiada siapa pun orang MALAYA yang mahu, kerana hal ini bukan berdasarkan agama dan budaya semata-mata tapi berdasarkan Sejarah dari mana ia bermula. Maka bagaimana Malaysia boleh dapatkan jalan keluar ini? Menuding jari kepada DS Najib Tun Razak rasanya tidaklah adil, menuding jari kepada pihak Keselamatan dan Kementerian Luar Malaysia juga bukanlah caranya. Sekali pun dalam perkiraan mereka sebagai penasihat kepada dasar luar Malaysia berkenaan Keselamatan Negara itu, bahawa menjadi broker memeterai PERJANJIAN DAMAI FILIPINA dengan PEMISAH boleh membantu melonjak sokongan politik dalaman negara itu nampak terburu-buru, namun kesilapan ini bukan bertenggek di atas bahu mereka semata-mata. Kesilapan ini sejak awal lagi tapi samada pihak Keselamatan Malaysia tahu atau pura-pura tidak tahu sahaja. Ada beberapa kesilapan Kerajaan Malaysia terutama yang menyentuh dasar mereka terhadap apa yang mereka sebut sebagai PTI dari Sulu-Mindanao sejak perang Moro meletus pada tahun 1972 sehingga era 90-an selepas perjanjian damai MNLF-GPH 1996. Sejak dari awal Malaysia tidak menubuhkan ahlijawatan kuasa protokol yang menjaga hal ehwal para Datu dan Syarif Kesultanan Sulu di Sabah untuk pertahankan dirinya. Sepatutnya Kerajaan memperkasakan legasi Tun Datu Mustapha sebagai satu-satunya legasi yang boleh membantunya di masa-masa akan datang. Dengan mengiktiraf legasi Kesultanan Sulu di Sabah, Malaysia akan berjaya membentuk satu BENTENG yang mana Filipina pun tidak terfikir melakukannya (perlu difahami Filipina itu akan senantiasa menuntut Sabah dengan menggunakan HAK KESULTANAN SULU, tapi silap Filipina dia sendiri tidak memelihara legasi Kesultanan Sulu untuk beliau boleh gunakan menuntut Sabah). TYT harus dipilih dari kalangan para Datu dan Syarif Suluk yang tersusun dalam Rumah Bichara mereka sendiri yang dipantau oleh jawatankuasa pusat. Membuat IC Khas buat kaum SULUK dibawah nama TYT dan pengesahan dari DYMM SULTAN AGUNG Malaysia dan Majlis Raja-Raja. Kalau cara ini terhalang oleh 20 Perkara (perjanjian Sabah sertai Persekutuan Malaysia), jalan terbaik ialah mengiktiraf salah satu dari mana-mana gerakan Kesultanan Sulu yang lebih dominan dan diterima rakyat serta tidak terikat oleh Filipina atau Malaysia mahupun Indonesia sebagai batu asas PERTAHANAN. Menubuhkan jawatankuasa pusat memperkasakan persatuan-persatuan etnik terutama etnik Suluk yang sejak sekian lama mendominasi bandar-bandar dan pekan di seluruh Sabah kerana budaya mereka ialah PEDAGANG BARTER satu budaya purba yang masih mereka warisi dan amalkan. Untuk memperkasakan persatuan etnik ini jangan menggunakan platform politik kepartian kerana ia akan binasa. Sekiranya hal ini tidak dapat dilakukan oleh Kerajaan Malaysia, malah beterusan menggunakan isu IC Projek/Palsu dengan hanya melayan kerenah politik parti-parti perkauman maka sudah tentu pihak disebalah sana akan semakin berusaha memantap dan menyusun strategi untuk menghadapi pelbagai kemungkinan terhadap tuntutan wilayah dan sebagainya. Kemelut ekonomi yang semakin menjerut dan semakin sampai ke tahap "Memerlukan Perang Besar untuk reset ekonomi Dunia", maka hal Kesultanan Sulu ini sangat berpotensi digunakan sebagai MODAL KEDAULATAN untuk cetusan perang di rantau ini. Malaysia perlulah memahami bahawa, hal PTI di Sabah dan di Tanah Melayu sangat jauh berbeza. Menangkap PTI Indonesia, Myanmar dan India di Tanah Melayu dan kemudian menghalau mereka kembali ke negara asal mereka adalah mudah tanpa apa-apa kebimbangan konflik kedaulatan wilayah dan sebagainya. Berbeza dengan di Sabah, dengan statistik penduduk Sabah 3.2 Juta, lebih separuh darinya adalah dari Kepulauan Sulu. Separuh dari masyarakat Sulu ini pula adalah yang dilabel oleh Sabahan dan kerajaan Malaysia sebagai PTI. Jumlah mereka ratusan ribu orang yang separuh dari mereka biasa menggunakan senjata api automatik. Walau pun mereka ini ditangkap dan dipijak-pijak dalam rumah merah sebagai PTI dan tampak tidak melawan, namun mereka adalah berpotensi dijadikan tentera militia dimasa-masa akan datang. Hal ini perlu dilihat dari segi dalaman seperti ini terlebih dahulu sebelum melompat kepada yang lebih besar seperti "membrokerkan diri menjadi pendamai". Kalau kena pada tempatnya tidak apa, tapi nampaknya semakin mengarah kepada "seperti tikus membaiki labu". BAGAIMANA "MEMUJUK" MNLF AGAR MENDOKONG PELAN DAMAI MILF? Ada dua cara yang dirasakan boleh diusahakan dengan menggunakan PLAN A dan PLAN B serta kalau dah terdesak sangat gunakan PLAN C. Plan A hantar deligasi menemui MNLF pujuk mereka untuk penggiliran presiden BANGSAMORO Autonomi. Itu pun kalau MILF mahu berkongsi dan juga sangat bergantung dari persetujuan MNLF sendiri. Dan perlulah diingat, untuk wujudkan perkongsian kuasa ini memerlukan TANDATANGAN PERJANJIAN baru pula kerana isu perkongsian kuasa atau penggiliran ini tiada dalam agenda dalam perjanjian yang baru ditandatangani ini. Sekiranya komiti Malaysia yang sekarang sedang memantau pematuhan perjanjian damai tersebut dapat menyatukan MILF dan MNLF ini dalam masa terdekat agar berkongsi KUASA atau BERGILIR maka usaha Malaysia sebagai broker perjanjian damai ini adalah BERJAYA. PLAN B? Sekiranya tidak berjaya yang mana MILF dan MNLF tetap dengan ego masing-masing, tiada pilihan lain buat Malaysia ialah meminta atau mendorong Filipina untuk mengiktiraf Kesultanan Sulu kembali berdaulat dengan beberapa kaedah yang sangat efektif. Kaedah ini akan menutup mulut MNLF dan MILF kerana entiti KESULTANAN SULU adalah asas kepada perjuangan mereka ketika meletus perang Moro 1972. Ini adalah satu rahsia yang mana generasi muda Tausug telah lama tahu, malah generasi MNLF yang rapat dengan Nur Misuari ketika berdepan dengan Presiden Muammar Gadafi di Libya tahu akan hal ini. Malah Malaysia dan Filipina lebih-lebih lagi AMAT TAHU tentang hal ini. Tapi oleh kerana masing-masing diamanahkan menjaga WILAYAH Spanyol dan Inggeris serta diamanahkan mempertahankan legasi sistem Spanyol dan Inggeris itu maka keadaan tidak mengizinkan mereka MENGIKTIRAF Kesultanan Sulu. Kalau komiti DS Najib Tun Razak tak mampu memujuk MNLF dan MILF, kemudian tak sanggup menggunakan nama Kesultanan Sulu maka hanya ada satu jalan iaitu mengutus DS ANWAR IBRAHIM ke sana bertemu Nur Misuari. Mereka ini sahabat kamcing lagi pun DS Anwar Ibrahim tidak terlibat dalam penangkapan Nur Misuari masuk ke Malaysia ketika dahulu. Dalam beberapa keadaan mereka ni serasi dan punya beberapa projek bersama. Sumber:www.tausug-global.blogspot.com Info: Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) ialah sebuah pertubuhan politik di Filipina yang tujuannya mendirikan daulah Islamiyah di Sulu, Mindanao dan Palawan. Ia diakui oleh Pertubuhan Persidangan Islam, yang membenarkannya untuk mewakili orang Moro dengan suatu kedudukan pemerhati. Kini, kumpulan ini adalah parti pemerintah Wilayah Autonomi Islam Mindanao. Mindanao menjadi tanah untuk permulaan baru apabila bidang-bidang luas tanah diberikan oleh kerajaan Filipina pada zaman 1950-an kepada para petani miskin dan pendatang lain dari bahagian lain negara itu. Mindanao melihat dirinya sebagai rumah angkat penduduk peneroka Kristian yang giat berkembang yang dengan pantas mencerobohi kawasan kehidupan penduduk Muslim dan suku asli, yang kini mula merasakan mereka kehilangan tanah dan peluang ekonomi yang ada dengannya. Penduduk asal ini, terutamanya bahagian Muslim asal, membentuk rasa kecurigaan mendalam terhadap para pegawai Republik, sebuah republik di mana mereka merasakan diperlakukan sebagai warganegara kelas kedua. Disebabkan ini, Mindanao menjadi medan pertempuran. Apabila kira-kira 200 pelatih tentera Muslim Filipino dibunuh kerajaan Filipina di bawah Ferdinand Marcos pada 18 Mac 1968 di Corregidor, sekumpulan Muslim yang marah membuat keputusan satu-satunya pilihan untuk Muslim atau warisnya berkuasa ialah dengan mewujudkan kembali Kesultanan Sulu (termasuk Sabah), tanpa mengira betapa ganas atau berpanjangannya usaha ini. Nur Misuari, seorang profesor Universiti Filipina, menjadi ketua kumpulan ini dengan gelaran pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro pada awal 1970-an. MNLF mewarwarkan dirinya sebagai gerakan pembebasan Muslim Filipino dan memulakan pemberontakan di Filipina, dengan harapan mendapat kemerdekaan, atau sekurang-kurangnya autonomi kawasan untuk Filipina Selatan. Perjuangan ini akan memakan korban di antara 80,000 hingga 200,000 nyawa; di puncak kekuatannya, MNLF dapat mengira 30,000 anggota bersenjata dalam barisannya. Bagi mengurangkan pertikaian, Kerajaan Filipina bercadang mengadakan perbincangan secara aman pada tahun 1976. Dalam tahun yang sama, Perjanjian Tripoli telah dirundingkan oleh Ferdinand Marcos, ahli politik Libya, Moammar Gadhafi sebagai pihak tengah dan disokong oleh Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Perjanjian itu menyatakan supaya diadakan gencatan senjata dan meletakkan wilayah autonomi tersebut secara kasarnya adalah sebahagian daripada Republik Filipina. Tiga belas daerah dalam wilayah autonomi tersebut (lapan daripadanya diduduki majoriti Kristian) diisytiharkan dibawah peruntukan perjanjian, yang membenarkan masyarakat Muslim mendirikan “mahkamah, sekolah dan sistem pentadbiran” sendiri (berdasarkan penulis Lela Noble). Tambahan, wilayah yang diduduki oleh Muslim tersebut akan disediakan “sebuah perhimpunan perundangan, majlis eksekutif, angkatan keselamatan wilayah, sistem kewangan dan ekonomi” tersendiri.[1] Bagaimanapun, selepas mengikat perjanjian awal tersebut, Marcos mengadakan sebuah referendum, yang menunjukkan penentangan terhadap penyertaan daerah-daerah tertentu, penentangan terhadap daerah yang dianggap dimahukan oleh MNLF dan menyokong pelan Marcos agar dua daerah diletakkan di bawah kerajaan pusat. Gencatan senjata terawal memberikan peluang kepada Misuari dan tenteranya masa untuk berehat (peluang yang diterima secara adil oleh tentera Filipina), yang akhirnya memberi tekanan terhadap kepentingan MNLF. Kumpulan tersebut mengalami masalah dalaman dan berpecah kepada tiga kumpulan utama. ketidaksepakatan antara golongan sederhana dan konservatif tercetus selepas keengganan MNLF mengadakan pemberontakan. Berikutan hal ini, pada tahun 1981, golongan yang lebih konservatif membentuk Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF). Pada tahun 1996, kata sepakat akhirnya dicapai oleh MNLF dan kerajaan. Wilayah autonomi itu diberikan kepada majoriti Muslim di kawasan tersebut. Kawasan itu kini dikenali sebagai Wilayah Autonomi Muslim Mindanao.

Menilai Amanat Hadi dengan adil

Isu amanat Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang dibangkitkan menjelang pilihan raya ke-13 ini. Walaupun amanat tersebut lebih daripada 30 tahun usianya, namun seperti biasa politik mampu membangkit-ungkit apa sahaja. Kedua belah pihak - kerajaan dan pembangkang memakai pendekatan yang hampir sama. Cumanya, ‘kelebihan' kerajaan di negara kita ini ia menggunakan media awam demi tujuan politik kepartian. Saya tidak pasti apakah jika pembangkang hari ini jika berkuasa akan menggunakan pendekatan yang sama ataupun tidak? Amanat Haji Hadi itu berbunyi: "Saudara-saudara sekelian percayalah, Kita menentang Umno, bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliah. "Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka. Percayalah saudara-saudara sekalian, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. "Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. "Kita tidak perlu masuk Buddha, kita tidak perlu masuk Hindu, kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'." Fatwa-fatwa Pantai Timur Saya ingin mengajak pembaca melihat isu amanat ini di luar dari kerangka fanatik kepartian, sebaliknya menelusurinya secara fakta dan rasional. Amanat Haji Hadi itu dibuat pada tahun 1981 dalam ceramahnya pada 7 April di Kampung Banggol Peradong. Ketika itu saya masih lagi bersekolah rendah. Saya rasa bukan Abdul Hadi yang menamakannya amanat, sebaliknya ia adalah inisiatif orang PAS sendiri. Apakah amanat ini satu-satunya punca sebahagian orang PAS mengkafirkan Umno? Saya tidak pasti. Namun kita tahu, ramai guru-guru agama yang lain yang pro-PAS juga mengkafirkan Umno. Ada sesetengah tokoh agama yang mengkafirkan Umno ketika itu kemudiannya masuk Umno dan mendapat pelbagai jawatan. Saya sendiri pernah berjumpa orang PAS yang mengkafirkan Umno. Bahkan saya pernah berjumpa mereka yang mengharamkan bersekolah di sekolah kerajaan kerana kononnya ‘sekular' dan seumpamanya. Ertinya, kafir-mengkafir disebabkan perbezaan parti politik telah berlaku dalam sejarah umat Islam dalam negara ini. Fatwa-fatwa PAS terutamanya dari Pantai Timur telah mencetuskan fenomena tersebut. YB Dr Mujahid Yusuf, seorang ahli Parlimen PAS, tokoh reformis dalam PAS dan anak bekas presiden dan mursyidul am PAS dalam bukunya Menuju PAS Baru menghuraikan isu ketika itu dengan menyebut: "Akibatnya berlakulah isu kafir-mengkafir di mana tanggapan bahawa menyokong Umno adalah sesuatu yang bertentangan dengan sikap Islam dan dengan sebab itu boleh jatuh kufur kerana Umno parti sekular yang menolak Islam... penghujahan atas garis-garis fikah yang premisnya adalah batas-batas kekufuran telah membawa agenda politik menjadi terlalu pekat dengan adunan ‘fatwa' sehingga PAS diheret dalam kancah ini, malah ‘Amanat Haji Hadi' telah dijadikan alasan kepada berlakunya semua kemelut ini." (ms 115. Kuala Lumpur: Malaysian Insider Sdn Bhd). Mungkin Abdul Hadi sendiri tidak pernah menyebut Umno kafir secara jelas, namun sikap kebanyakan tokoh PAS yang tidak menangani isu-isu mengkafir ataupun seakan membiarkan orang awam PAS mengkafirkan orang Umno sehingga berlaku dua imam, tidak makan sembelihan, tidak menjawab salam dan lain-lain ketika itu, amat mendukacitakan. Konteks Dalam memahami sesuatu teks, kita wajar melihat kepada konteks. Hakikatnya, pendekatan PAS ketika itu bukanlah asing jika dilihat kepada perkembangan gerakan Islam secara keseluruhan. Pada tahun 70-an dan 80-an kebangkitan Islam berlaku di Asia. Kesedaran tentang perlunya umat Islam kembali kepada Islam dan menghapuskan unsur-unsur penjajahan kedengaran di sana-sini. Buku tokoh-tokoh gerakan Islam di Timur Tengah menjadi menu penting para aktivis ketika itu. Buku-buku itu ditulis oleh tokoh-tokoh berkenaan dalam keadaan tekanan yang berat oleh rejim-regim Arab yang sangat zalim dan khianat. Mereka juga biadap terhadap Allah dan rasul-Nya. Mereka yang membaca buku-buku cuba menyamakan hal tersebut dengan keadaan setempat. Isu takfir (mengkafirkan) juga timbul di Timur Tengah sehingga mursyidul am al-Ikhwanul al-Muslimin menulis buku Du‘aah La Qudah (Pendakwah Bukan Hakim) bagi tujuan menangani isu ini. Fatwa-fatwa ulama juga dibaca kepada masyarakat. Antaranya, fatwa Mufti Saudi masa itu al-Sheikh ‘Abd al-‘Aziz ‘Abdillah bin Baz yang menyenaraikan perkara-perkara yang membatalkan Islam, dalam erti kata lain menjadikan seseorang kafir. Abdul Hadi ketika itu antara yang mempopularkannya. Dalam fatwa itu antaranya menyebut: "Berkeyakinan bahawa selain tuntutan Nabi Muhammad SAW itu lebih sempurna, atau berkeyakinan bahawa selain ketentuan hukum beliau itu lebih baik, sebagaimana mereka yang mengutamakan aturan-aturan manusia yang melampaui batas lagi menyimpan dari hukum Allah (aturan-aturan taghut), dan mengetepikan hukum Rasulullah SAW, maka yang berkeyakinan seperti ini adalah kafir. "Sebagai contoh: Berkeyakinan bahawa aturan-aturan dan perundangan yang diciptakan manusia lebih utama daripada syariat Islam, atau berkeyakinan bahawa aturan Islam tidak tepat untuk diterapkan pada abad kedua puluh ini, atau berkeyakinan bahawa Islam adalah sebab kemunduran kaum Muslimin, atau berkeyakinan bahawa Islam itu terbatas dalam mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya saja, tidak mengatur urusan segi kehidupan lain. "Berpendapat bahawa melaksanakan hukum Allah dalam memotong tangan pencuri, atau merejam pelaku zina yang telah kahwin (muhsan), tidak sesuai lagi di masa kini...." Walaupun ini hanyalah kaedah umum yang perlukan perbahasan dan perinciannya, malangnya kalangan orang PAS ketika itu telah menggunakannya ketika secara ‘borong' untuk mengkafirkan setiap penyokong Umno. Ia disuburkan lagi dengan kuliah-kuliah agama PAS yang menegaskan persoalan ini tanpa perbahasan yang mencukupi. Menerangkan tentang batasan iman dan kufur adalah suatu kewajipan, namun mengkafirkan individu memerlukan penelitian dan kecermatan. Suatu perkara yang tidak boleh disembunyikan juga, Umno pada era 70-an dan 80-an bukanlah seperti Umno hari ini. Ucapan-ucapan yang tidak selaras dengan Islam, ataupun dengan seakan menghina Islam kadang-kala kedengaran di sana-sini. Proses Islamisasi dalam Umno belum berlaku ketika itu. Sikap angkuh dan dominasi yang melampau juga wujud. Orang PAS dapat merasai sikap tidak adil kepada mereka, bermula dari JKKK di kampung sehingga ke atas. Ini menyuburkan lagi kecenderungan menghukum Umno dengan fatwa-fatwa yang keras. Ini tidaklah menghalalkan PAS mengkafirkan keseluruhan Umno, namun itulah realiti ketika itu. Sikap Umno ketika itu juga menyumbang kepada keadaan itu. Pada masa tersebut kematangan PAS dan gerakan Islam yang lain juga amat terhad. Mereka belum ada pengalaman pemerintahan. Bahkan saya percaya, Abdul Hadi ketika itu tidak begitu mendalami hakikat Perlembagaan Malaysia seperti hari ini. Hari ini jika kita membaca Mujahid menulis dalam bukunya Rejuvenasi PAS, beliau membincangkan tajuk ‘Islam Dalam Kerangka Perlembagaan', kita mendapati tokoh PAS ini melihat perlembagaan dengan harmoni yang mempunyai ruang untuk Islam. Hal ini 30 tahun lepas tidak pernah diungkapkan dalam PAS. Ulama Umno juga mesti dikritik PAS hari ini saya lihat banyak berubah. Saya percaya sudah ramai yang tidak beriktikad seperti Amanat Hadi termasuk diri Abdul Hadi sendiri. Jika PAS masih berpegang dengan Amanah lama Hadi itu, bererti mereka mengkafirkan diri sendiri dan rakan-rakan mereka dalam Pakatan Rakyat yang menerima dan mengiktiraf perlembagaan. Sekalipun tiada penarikan rasmi, tetapi secara praktikal seakan penarikan telah dibuat. Pendekatan PAS sudah banyak yang berbeza. Kita harapkan semua pihak tidak melihat Islam dari kaca mata politik semata, Islam jauh lebih luas dari politik kepartian. Namun, ini tidak bererti kita memandang ringan isu kafir-mengkafir. Jika terbukti masih ada orang PAS yang mengkafirkan Umno maka Abdul Hadi patut tampil menjelaskan kekeliruan mereka. Oleh kerana beliau diserang tanpa diberikan peluang menerang, maka itu sesuatu yang tidak adil. Pihak media patut memberikan ruang yang mencukupi untuk beliau membuat penerangannya dalam media awam khususnya RTM. Mungkin ada perkara yang kita terlepas pandang. Di samping PAS, jangan lupa dalam Umno juga ada yang ‘kaki pengkafir dan penyesat' orang lain. Seorang dua guru pondok yang masuk Umno, ada yang menghukum akidah menteri besar Kelantan sesat bahkan kufur. Di Arab Saudi, tokoh penghukum sesat umat iaitu al-Madkhali terkenal menyesatkan begitu ramai tokoh-tokoh ilmuwan Islam dan aktivis umat. Golongan ulama muda Umno amat terpengaruh dengan aliran ini maka kita boleh tonton dalam Internet dan tulisan mereka di akhbar menyesatkan tokoh-tokoh seperti Hasan al-Banna, Syed Qutb, Muhammad al-Ghazali, al-Qaradawi dan lain-lain. Ini juga mesti dikritik. Media-media Umno juga kebelakangan ini sering menjadikan isu akidah sebagai isu politik seperti yang PAS lakukan dalam era 80-an. Umno hendaklah berhati-hati, jangan ulangi perkara yang sama. Umno hari ini seakan menuju PAS era Amanat Hadi. Kembali pada politik membina negara Maka kita tegaskan, bahawa kafir-mengkafir, ataupun sekadar sesat menyesat atas perbezaan parti satu kesalahan yang besar. Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir' atau ‘musuh Allah' sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebut dalam Majmu‘at al-Fatawa: "Sebetulnya, sesiapa yang berijtihad dalam kalangan umat Muhammad SAW dengan tujuan mencari kebenaran lalu tersilap, dia tidak kafir. Bahkan diampunkan kesilapannya. Sesiapa yang telah nyata kepadanya apa yang datang dari Rasulullah SAW, lalu dia menentang setelah terang untuknya petunjuk lalu dia mengikut selain jalan kaum mukminin, maka dia kafir. "Sesiapa yang mengikut nafsu, kurang mencari kebenaran serta bercakap tanpa ilmu maka dia pemaksiat dan berdosa. Boleh jadi dia fasik, ataupun baginya kebaikan-kebaikan lain yang lebih banyak dari kesalahannya. Bukan semua yang bersalah, berbuat bidaah, jahil ataupun sesat itu menjadi kafir, bahkan mungkin tidak fasik dan tidak berdosa." Semua pihak hendaklah berhenti memainkan isu kafir-mengkafir. Kembali kepada politik yang dapat membina negara. PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis.

Pautan Bermanafaat

Who am I?

My Photo
Nor Miswary b. Ramli
"Rakyat ini perlu dibela.Kita perlu hak-hak kita kekal segar dipelihara; oleh pemimpin yang benar, yang jujur dan yang taat kepada nilai-nilai Islam. Kita perlukan pendidikan dan bukannya hukuman sebagai asas perkembangan".
View my complete profile

Disclaimer

Semua artikel yang tersiar dalam blog ini merupakan idea dan aliran pemikiran penulis secara peribadi dan mungkin tidak sealiran dengan pertubuhan atau organisasi yang penulis anggotai. Ia boleh berkaitan dengan apa sahaja yang boleh memberi manafaat kepada pemilik blog atau mereka yang menurutinya. Komen, teguran dan kritikan yang membina dari pengunjung adalah dialu-alukan.
.
.
.
.

About

Powered by Blogger.

Popular Posts