Instagram

Wanita sebagai pemimpin?


19 Julai 2014 oleh NOR MISWARY
pakatan wanita
Dalam banyak-banyak urusan di rumah, tidak upaya kita nafikan, ibu kita telah banyak memainkan peranan mereka dengan sangat berkesan. Dari bangun tidur sampai sebelum tidur semula, tiada ibu, rumah tidak akan berfungsi sepenuhnya. Bayangkan ketika ibu tiada gencatan senjata dengan ayah, bawah tudung saji sudah tentu-tentu kosong. Dari mengurus soal membasuh, sampailah baju seluar itu digosok untuk dipakai semula oleh ayah dan anak-anak, urusan ibu tak pernah tertinggal.

Dalam soal menentukan menu juadah berbuka hari-hari sekarang ini pun, ibu jualah yang membuat keputusan. Keputusan yang jarang-jarang sekali mengecewakan. Walaupun menentukan menu itu kelihatan seperti soal yang remeh, tapi ayah sebagai orang lelaki pun kadang-kadang gagal menentukan seleranya sendiri.

Pengalaman penulis sendiri melihat kelaziman tersebut mengesahkan betapa ibu manusia paling boleh dipertanggungjawabkan dalam soal pendidikan anak-anak dan pengurusan keluarga. Ke mana suaminya ketika itu kita boleh persoalkan dalam tulisan yang lain. Namun setakat itu sahajakah peranan seorang ibu yang seperti yang dijanji Tuhan sebagai keredhaan-Nya hanya selepas mendapat keredhaan ibu?
Sejak kita bersekolah sampailah ke peringkat universiti malah sehinggalah ke persekitaran kita bekerja; kita dikelilingi oleh begitu ramai kaum Hawa yang sangat menakjubkan ini.
Jadi untuk apa kita khuatirkan jika mereka ini boleh menjadi pemimpin besar negara atau sekadar bermula sebagai menteri besar sesebuah kerajaan negeri. Kita telah mempercayai mereka sejak berkurun dari sekecil-kecil perkara, maka kemampuan mereka untuk perkara-perkara yang lebih besar usah pula kita pertikai.

Memetik pandangan tokoh ulama Islam dunia Dr. Yusoff Al-Qaradhawi, memilih wanita sebagai pemimpin termasuk ke jawatan tertinggi seperti Perdana Menteri adalah sesuatu yang menjadi keharusan dalam dunia hari ini.

Malah, dalam kitab Min fiqh al-dawlah fil Islam beliau menegaskan bahawa memilih dan melantik pemimpin haruslah berdasarkan merit kelayakan atau kemampuan, bukan faktor jantina.
Menarik apabila Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah memulakan, kalau pun bukan sebagai pihak yang pertama di dunia, langkah yang besar dan penuh rahmat ini. Contoh paling masyhur adalah apabila DAP memilih untuk melantik wanita ke kerusi Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN Selangor). Langkah itu memperlihatan kematangan DAP memahami tuntutan meningkatkan penglibatan wanita dalam arus urus-tadbir negeri dan malah tidak mustahil ke peringkat kepimpinan negara kelak.

Jika dilihat peranan yang dimainkan YB Hannah Yeoh sebagai Speaker DUN, kaum wanita tidak boleh terkecuali daripada memperolehi kredit kejayaan Pakatan Rakyat (PR) di negeri Selangor. Jeliknya, banyak orang menjaja hujah untuk menghalang fenomena ini daripada terus bercambah.

Bukanlah kerja penulis untuk menghambat kumpulan-kumpulan yang membuat dakwaan-dakwaan kotor memperlekeh kemampuan wanita dalam soal pentadbiran sesebuah negeri ataupun negara. Kenyataan demi kenyataan yang mereka kemukakan telah dengan sendirinya memperlihatkan kedangkalan dan ketakutan mereka.

Jika kita mencapai konsensus untuk memilih mereka yang berkelayakan dan berkemampuan ke jawatan tertinggi tertentu, sama ada di peringkat negeri ataupun negara, molek benar jika kita pakat-pakat mempersetujuinya.

Mana tahu sejarah yang telah kita mulakan akan berkembang dan terus berkembang membentuk negara yang mempunyai keseimbangan dan keterlibatan berkesan semua golongan.

Pautan Bermanafaat

Who am I?

My Photo
Nor Miswary b. Ramli
"Rakyat ini perlu dibela.Kita perlu hak-hak kita kekal segar dipelihara; oleh pemimpin yang benar, yang jujur dan yang taat kepada nilai-nilai Islam. Kita perlukan pendidikan dan bukannya hukuman sebagai asas perkembangan".
View my complete profile

Disclaimer

Semua artikel yang tersiar dalam blog ini merupakan idea dan aliran pemikiran penulis secara peribadi dan mungkin tidak sealiran dengan pertubuhan atau organisasi yang penulis anggotai. Ia boleh berkaitan dengan apa sahaja yang boleh memberi manafaat kepada pemilik blog atau mereka yang menurutinya. Komen, teguran dan kritikan yang membina dari pengunjung adalah dialu-alukan.
.
.
.
.

About

Powered by Blogger.

Popular Posts