Instagram

Belum ada tajuk lagi.

“Kalau pun kau pernah nampak dia, belum tentu dia kot. Ntah-ntah pelanduk dua serupa kot”. Majid menegah cemas.

Samad diam membatu. Berfikir-fikir sambil menarik-narik jari-jarinya. Seperti berbuat senaman lagaknya.

“Tapi. . .aku cam betul mukanya Jid. Misai dan janggutnya sama.Cuma dia nampak macam dah beruban sikit..Ehh…betul lah dia Jid!”. Samad tiba-tiba bersungguh-sungguh.

“Takpe, malam ni kat kenduri rumah Pak Qatim, kita tengok. Mana tahu kot-kot dia datang. Dulu kan dia baik dengan Aryan anak Pak Qatim tu.”

“Kalau dia datang, kita plan balik lepas tu. Set?”. Sambung Majid semacam memberi kelegaan kepada dirinya sendiri.

Samad bingkas bangun. Air kopi dalam cawan yang tinggal sedikit itu pun tidak dihabiskannya. Padahal dia sangat sukakan kopi kat warung Satem itu. Mereka seperti tergesa-gesa.

“Satem! Duit kopi tu aku dah letak kat atas meja!” jerit Samad seraya mengejar Majid dari belakang. Majid dah laju ke depan.

“Balancenya buat bayar kopi aku pagi besok!”. Samad laung menyambung.

Satem yang sedang memungut cawan-cawan atas meja berkerut dahi. Dia ingat baki duit tu boleh buat bayar hutang air kopi yang lama-lama punya. Satem hanya mengangkat tangan tanda setuju. Marah tidak. Senyum pun tidak.

Lantai kat pasar basah hari ini tidak basah seperti biasa. Hujan yang lebat sejak tengah malam baru berhenti sebelum subuh pagi tadi. Langit mulai cerah sedikit. Kereta yang diletakkan tidak mengikut undang-undang mula keluar menyusun di gigi pasar. Kebanyakkan yang datang seawal pagi ini adalah mereka yang berniaga di kedai-kedai sendiri. Mereka datang awal untuk mendapatkan ikan dan sayuran segar. Mereka mula berasak-asak memasuki pasar. Semuanya berjalan pantas tetapi berhati-hati. Ada yang mengendong bakul kecil. Ada yang besar. Ada yang hanya mengheret bakul. Hadi tidak pula membawa bakul. Dia datang dengan segenggam duit yang dibekalkan kepadanya. Dia berjalan agak laju. Terus ke tempat ikan. Dia tidak tahu sangat tentang jenis-jenis ikan, tetapi hari ini – sekali lagi – dia datang untuk membeli ikan.

“Ni sekilo berapa ni?”. Hadi memegang seekor ikan kerisi seperti ragu-ragu.

“Enam ringgit sekilo. . .nak berapa kilo?”. Orang menjual ikan mula memegang plastik seolah-olah bersedia untuk memasukkan ikan tersebut ke dalamnya.

“Bagi lah setengah kilo..”. Hadi meminta lembut. Tangan menghulur duit.

Selesai dengan ikan, Hadi melihat sekeliling. Dia seperti tidak selesa di dalam pasar basah tersebut. Kekok. Hadi baru pulang kelmarin. Agak lama juga dia keluar dari kampung tersebut. Mungkin atas sebab itu dia berasa agak janggal disitu. Hadi tunduk. Dia melipat seluarnya hingga melepasi paras buku lalinya. Kedua-dua belah kaki seluarnya di lipat.

“Hadi!”.

Tiba-tiba ada seseorang yang memanggilnya dari dalam pasar. Mereka yang ada berdekatannya juga turut sama terpaling ke arah suara itu datang. Seolah-olah nama mereka juga dipanggil.

Hadi menoleh. Bola mata Hadi merayau bergerak sekeliling pasar basah itu. Matanya terpaku pada wajah seseorang yang berjalan dengan tergesa-gesa ke arahnya. Bawah matanya kelihatan lebam seperti tidak cukup tidur. Tangannya memegang sesuatu.

“Awal kau datang pagi ni Hadi?”. Sapa Aryan seraya tibanya di depan Hadi.

“Apa yang kau beli tu?”. Aryan menyambung seperti keseronokan.

Hadi seperti membelek-belek bungkusan yang dipegangnya seolah-olah mencari-cari apa yang dibelinya. Padahal dia tahu apa yang dibeli tadinya.

“Ni hah..ikan kerisi. Mak aku pesan tadi..”. Hadi seperti teragak-agak bertembung dengan Aryan.

“Mintak maaf lah Yan. Aku tak dapat datang malam tadi. Mak aku tu..kakinya sakit-sakit malam tadi. Aku bawak dia pergi mengurut. Kesian pulak kau tengok dia..”. Ujar Hadi perlahan. Bola matanya seperti entah ke mana walaupun dia merenung Aryan tepat.

“Takpelah Hadi..Kau tu pun dah lama tak jengok mak kau. Dah lama hilang dari mata dia..Selama ni pun kalau dia sakit-sakit macamtu pun, bukan orang tahu…Elok lah kau balik ni Hadi…”. Aryan seperti berkhutbah.

Simpatinya pada Mak Njang seperti tak terbendung lagi. Aryan tahu Mak Njang. Selalu ke pasar basah ni berseorangan. Tidak ada siapa yang mahu menegurnya. Mak Njang selalu bersendirian. Pakaiannya selalu sahaja lusuh. Malah dia akan kemana sahaja dengan baju Kedahnya itu. Bunga-bunga ros yang kecil-kecil pada baju Kedahnya tu dah hampir tidak kelihatan. Hujung tangan bajunya juga sudah kehitam-hitaman.Sudah seperti kain buruk. Kain batiknya juga begitu. Tetapi Mak Njang memang suka begitu.

“Lega betul bila aku tahu kau balik ni Hadi..”

Hadi diam.

Hadi seperti orang bersalah yang hanya menantikan hukuman. Sesekali dia melihat makcik-makcik yang berebut-rebut membeli sayur di belakang Aryan. Hadi teringatkan maknya.

“Yan. Takpelah yea. Aku nak gerak dulu ni. Mungkin lepas maghrib karang kita pergi minum kat warung Satem. Kau free tak?” Hadi memberi idea. Dia tahu maknya menunggu di rumah. Dia harus segera pulang.

Leave a Reply

Pautan Bermanafaat

Who am I?

My Photo
Nor Miswary b. Ramli
"Rakyat ini perlu dibela.Kita perlu hak-hak kita kekal segar dipelihara; oleh pemimpin yang benar, yang jujur dan yang taat kepada nilai-nilai Islam. Kita perlukan pendidikan dan bukannya hukuman sebagai asas perkembangan".
View my complete profile

Disclaimer

Semua artikel yang tersiar dalam blog ini merupakan idea dan aliran pemikiran penulis secara peribadi dan mungkin tidak sealiran dengan pertubuhan atau organisasi yang penulis anggotai. Ia boleh berkaitan dengan apa sahaja yang boleh memberi manafaat kepada pemilik blog atau mereka yang menurutinya. Komen, teguran dan kritikan yang membina dari pengunjung adalah dialu-alukan.
.
.
.
.

About

Powered by Blogger.

Popular Posts