Instagram

Krisis Selangor pada anak muda


25 Ogos 2014 oleh NOR MISWARY
Apa yang sebenar terjadi pada masyarakat, terutama anak-anak muda, rentetan daripada krisis Menteri Besar Selangor baru-baru ini? “Langkah Kajang” yang turut diumumkan bersama YAB Dato Menteri Besar dulu sebenarnya telah mencederakan beliau sendiri akhirnya. Namun yang sebenarnya terduduk termanggu dibelenggu persoalan-persoalan yang tidak terungkai adalah kita – anak-anak muda yang melabuh punggung di atas pagar.
Ya, biarpun krisis MB ini mula menampakkan bibit hujung jalan ceritanya, namun segala kerumitan yang membina dan membentuk penamatnya menanamkan seribu rasa pada ramai orang, terutamanya rakyat Selangor. Anak muda yang mengundi di Selangor turut terharu. Mungkin yang tidak terlihat oleh pimpinan Pakatan Rakyat adalah bagaimana anak-anak muda cuba memperhalusi dan memahami krisis ini secara ‘bersendirian’ biarpun ramai yang mengelilingi mereka cuba menyogok dengan pelbagai maklumat atau disebut alasan.
Ada di antara mereka bergaduh dan bertengkar mempertahankan parti masing-masing walaupun masih dalam semangat dan dalam kerangka besar Pakatan Rakyat. Pun begitu ada pula terus bermasam muka biarpun mesyuarat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang beberapa kali ditunda telah pun menjawab segala isi perut ribut yang melanda mereka. Natijahnya, ada yang melihat segala putik cinta yang dibina sepanjang PR terbentuk dan dibentuk malah segala onak ranjau yang dilalui bersama, dengan krisis ini telah sedikit mengguris perasan di hati – biar lukanya tidaklah sedalam mana.
Bagi anak muda, krisis seperti ini sangat tidak diperlukan oleh Pakatan Rakyat. Biar apa pun jua alasan yang menjustifikasikannya, atau dengan segala senarai panjang yang boleh menghalalkan krisis ini wujud. Bagi mereka, ia wajar ditangani segera, penuh strategis dan berhemat sejak sebelum ia bermula. Ia perlu diuruskan sebaik mungkin tanpa sampai ke peringkat ia menjadi krisis besar muafakat PR dan polemik yang menggamit ke peringkat nasional. Anak-anak muda percaya ia sebenarnya tidak mampu ditangani sebaiknya oleh pimpinan lalu mengakibatkan kawah api prasangka besar mula terbentuk – sekurang-kurangnya itulah keluh-kesah anak muda yang sampai ke telinga ini.
Malah kerosakan untuk muafakat yang mulia ini hampir-hampir saja terjadi dengan dahsyatnya. Semuanya dilihat sebagai PR tidak menanganinya dengan baik. Malah, yang lebih pahit, pimpinan PR kelihatan lebih mengutamakan ketamakan kuasa daripada menggungguli isi hati rakyat di bawah. Tidak kiralah segala macam kata nista itu tertuju buat parti-parti tertentu dalam komponen PR atau pimpinan tertinggi tertentu yang mewakili suara dalam PR, namun PR dilihat gagal dalam pertembungan ini.
Tan Sri Khalid dilihat tiada kewajaran untuk diturunkan malah dipecat keanggotaan oleh partinya. Jika PAS lebih cepat bertindak dan tuntas turut mengusulkan jalan keluar dengan kadar segera, setidak-tidaknya persepsi negatif itu boleh dibendung. Malah tindakan beberapa pimpinan dari PAS yang lebih bersifat menyerang balas dan lari dari isu yang sebenar telah sedikit mengoncang semangat muafakat dalam PR.
Bagi anak muda yang menonton dari luar padang, sifat sebenar sekerat-dua pimpinan itu tertonjol juga akhirnya. Tetapi yang buruk satu kapal. Lalu mereka mula meneka-neka dengan pelbagai tafsiran yang prejudis yang natijahnya tidak pun menggembirakan anak-anak muda lain, malah membebankan tidur malam mereka.
Penulisan kali ini, ya, bersifat aduan. Tidak sedikit yang merungut dan tidak kurang pula yang mula sangsi akan kesepakatan PR dan kemampuan mereka mengurus serta mencorak hala tuju PR menjamin Putrajaya melalui Selangor. Melihat apa yang terjadi dari krisis MB di Selangor ini dan gelagat pimpinan PR yang kini telah dibayangi dengan persepsi negatif, kalaupun sedikit, kesannya jelas ada.
Keratan tulisan ini berupa unjuran peringatan. Muhasabah seperti ini menjadi suatu yang wajib buat pimpinan PR ketika ribut telah mulai reda. Biar pun sebarang usaha seperti ini telah dirancang sesempurna mungkin bagi mengelakkan krisis MB ini keluar meletus dengan larva-larvanya, bagi anak-anak muda ia wajar ditangani sedari awal lagi – sedari ayam jantan belum naik memijak tunggul batang pokok untuk berkokok. Pimpinan harus bijak dan lebih bersedia untuk menentukan kedudukan yang penting seperti ini.
Tindakan yang lebih awal termasuk jugalah dengan menentukan dengan lebih awal keupayaan calon sebelum diangkat menjadi MB. Calon juga wajar dinilai dari aspek kesetiaannya, senarai panjang pengalamannya bergelumang dalam ranjau pahit getir kepartian, kearifan politiknya, dan keazamannya dalam memenuhi aspirasi partinya, malah demi Pakatan Rakyat secara khususnya. Ia seperti kita menentukan benih pokok untuk menyemai hasil buah yang baik. Mana mungkin pokok akan tumbuh melata meninggi menghasilkan buah-buah yang baik dan dahan-dahan yang rimbun jika kita sendiri tidak bijak dan gagal untuk berhati-hati dalam memilih dan menanam benih tersebut.

Pautan Bermanafaat

Who am I?

My Photo
Nor Miswary b. Ramli
"Rakyat ini perlu dibela.Kita perlu hak-hak kita kekal segar dipelihara; oleh pemimpin yang benar, yang jujur dan yang taat kepada nilai-nilai Islam. Kita perlukan pendidikan dan bukannya hukuman sebagai asas perkembangan".
View my complete profile

Disclaimer

Semua artikel yang tersiar dalam blog ini merupakan idea dan aliran pemikiran penulis secara peribadi dan mungkin tidak sealiran dengan pertubuhan atau organisasi yang penulis anggotai. Ia boleh berkaitan dengan apa sahaja yang boleh memberi manafaat kepada pemilik blog atau mereka yang menurutinya. Komen, teguran dan kritikan yang membina dari pengunjung adalah dialu-alukan.
.
.
.
.

About

Powered by Blogger.

Popular Posts