Instagram

Permulaan untuk hidup selamanya


"Tiap-tiap yang berjiwa pasti akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami lah kamu dikembalikan". (AL ANBYAA' 35)


Mati itu suatu kebahagiaan, ia hanya menjadi beban ke atas sesiapa yang tidak bersedia untuk merasainya.

Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (ALLAh), yang mengetahui yang gaib dan yang nyata, lalu DIA beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan". (AL JUMU'AH 08).

Diriwayatkan bahawa, Nabi Muhamad SAW pernah bersabda, sesiapa yang meninggal di bumi Madinah, maka baginda berjanji untuk memberi syafa'at dan menjadi saksi untuk nya (si mati) di hari akhirat kelak. Begitulah kehebatan nikmat meninggal di bumi berkat Madinah itu. Kematian di situ juga disebut sebagai di antara pengakhiran yang baik buat orang mukmin iaitu apa yang disebut sebagai husnul khotimah. Namun, berapa ramai yang di antara kita yang boleh sampai ke sana dan meninggal pula di sana. Lalu,apabila Rasulullah bertanyakan hal tersebut kepada malaikat, maka di sebut oleh malaikat bahawa mereka yang meninggal di jalan jihad untuk agama ALLAH yakni syahid pasti tergolong di dalam husnul khotimah. Lalu Rasulullah bersabda lagi; maka oleh sebab itu pasti terdapat sedikit sahaja dari umat baginda yang berpeluang mendapat pengakhiran yang baik itu. Lalu, ALLAH mengurniakan beberapa peluang untuk kita umat Nabi Muhamad untuk memperolehi apa yang disebut husnul khotimah ini - yakni pengakhiran yang baik.


Namun, untuk menerima berita kematian, baik dari kalangan ahli keluarga mahupun sahabat handai, ianya tetap merupakan beban yang kadang-kadang sukar ditanggung. Berat mata yang memandang, lagi jauh berat bagi mereka yang menanggungnya.
Biarpun sekuat mana kita simpati, namun belum pasti kita capai 'empati'nya.

Kita boleh lihat bagaimana pendekatan yang ALLAH gunakan untuk menghiburkan Nabi Muhamad SAW yang kehilangan dua tonggak kekuatan dakwah baginda, iaitu bapa saudaranya Abu Talib dan isteri tercinta iaitu Sayidatina Khadijah.

Sebagai manusia, baginda juga merasa sedih dan pedih dengan kematian dua orang penting yang banyak berjasa dalam mengembangkan sayap-sayap Islam di Makkah. Maka, ALLAH peruntukkan peristiwa Israk dan Mikraj untuk memberikan Rasulullah ketenangan dan hiburan di samping untuk baginda menerima pensyariatan ibadat solat lima waktu.

Kita boleh bersedih atas pemergian insan yang kita kasihi. Ianya sunnah kehidupan dan sunnah Rasulullah. Ratapilah ia selagi tidak melanggari syarak.

Begitulah jua kita sebagai insan mukmin yang masih hidup. Biarpun setinggi mana kita pergi dan sejauh mana amal ibadat yang kita lakukan, belum tentu ia menjanjikan pengakhiran yang baik untuk kita. Tetapi, kita mestilah bersangka baik pada ALLAH dan jangan sesekali jemu untuk berbuat amal ibadat serta mengharapkan pengakhiran yang baik dari-NYA.

Kita tidak sesekali boleh tahu akan detik kematian kita, dimana dan diwaktu apa kita sebagai hamba-NYA dijemput menemui-NYA. Itu adalah hak mutlak ALLAH SWT. Akan tetapi yang paling penting bagi kita adalah berusaha dan berdoa agar supaya pengakhiran kehidupan kita berakhir dengan husnul khotimah dan bukan su`ul khotimah. Kerana kita telah mengetahui bahawa dalam kematian hanya ada dua pilihan sahaja iaitu husnul khotimah ataupun su`ul khotimah. Dan yang mengetahui kematian seseorang khusnul khotimah atau su`ul khotimah secara hakiki hanyalah ALLAH SWT.

Namun ALLAH juga memberi kita beberapa garis panduan kepada kita melalui Nabi Muhammad SAW tentang tanda-tanda seseorang yang meninggal dengan membawa gelaran husnul khotimah. Biarpun begitu, ianya sebagai tanda-tanda bagi meringankan beban dan memberi kelegaan buat keluarga si mati dan peringatan bagi mereka yang masih hidup.


Dari Abi Hurairah Ra, Rasulullah Saw bersabda : "Sebaik-baik hari adalah hari jum`at, karena pada hari jum`at itulah Adam di ciptakan. Pada hari jum`at ia di masukkan ke surga dan pada hari jum`at ia di keluarkan dari surga. Pada hari jum`at ia wafat dan tidak akan terjadi kiamat kecuali hari jum`at" (HR As-Syafi`I dan Ahmad).

Kita juga diperingatkan oleh Rasulullah betapa kematian yang diakibatkan oleh sakit di dalam perut atau disebabkan penyakit-penyakit seperti kanser, berperang yakni jihad di jalan ALLAH, berjihad menuntut ilmu di jalan ALLAH atau ketika kita sedang melakukan amal ibadat e.g. haji, solat atau kematian yang disebabkan melahirkan anak juga adalah termasuk di dalam gelaran husnul khotimah.

Namun, berita kematian orang mukmin yang dijemput oleh ALLAH pada malam atau pada hari Jumaat adalah berita yang paling menggembirakan.

Dari Ibnu umar Ra, Rasulullah Saw bersabda : "Tiada seorang muslim yang meninggal pada hari atau malam jum`at, kecuali ALLAH akan menyelamatkannya dari siksa kubur" (HR Ahmad & At-Turmudzi).

Maka, beruntunglah mereka yang diberi tawaran dan dijemput oleh ALLAH pada malam atau pada hari Jumaat, kerana ianya termasuk salah satu tanda yang di janjikan oleh ALLAH melalui Rasulnya.

Harus diingat panduan ini bukanlah membuat umat Nabi Muhamad menjadi takbur dan sombong serta terus menerus menjadi leka dan lalai ke atas kematian si fulan ataupun si fulan. Ianya cukup sekadar kita menginsafi kekurangan amal ibadat kita, kekurangan persediaan kita serta kewajiban untuk kita bermuhasabah diri lalu memperbetulkan diri kita sendiri sebelum kita pula dipanggil bertemu dengan-NYA. Moga-moga dengan usaha-usaha kita itu tadi memberi kita peluang untuk dijemput oleh ALLAH dengan pengakhiran yang baik, dengan gelaran husnul khotimah. InshaALLAH.

Tulisan ini didekasi teristimewa buat arwah Kak Mimi yang mendahului kita bagi sebuah permulaan untuk hidup selamanya.Moga ruhnya ditempatkan di kalangan mereka yang mendapat gelaran husnul khotimah. Amin. Al-Fatihah

Leave a Reply

Pautan Bermanafaat

Who am I?

My Photo
Nor Miswary b. Ramli
"Rakyat ini perlu dibela.Kita perlu hak-hak kita kekal segar dipelihara; oleh pemimpin yang benar, yang jujur dan yang taat kepada nilai-nilai Islam. Kita perlukan pendidikan dan bukannya hukuman sebagai asas perkembangan".
View my complete profile

Disclaimer

Semua artikel yang tersiar dalam blog ini merupakan idea dan aliran pemikiran penulis secara peribadi dan mungkin tidak sealiran dengan pertubuhan atau organisasi yang penulis anggotai. Ia boleh berkaitan dengan apa sahaja yang boleh memberi manafaat kepada pemilik blog atau mereka yang menurutinya. Komen, teguran dan kritikan yang membina dari pengunjung adalah dialu-alukan.
.
.
.
.

About

Powered by Blogger.

Popular Posts