Instagram

Memang menjadi lah 'Dasar Pandang ke Timur' cetusan Tun Mahathir tu dulu!

Akhirnya setelah memerintah Jepun selama 54 tahun, Parti Liberal Demokratik (LDP) tumbang pada tangan Parti Demokratik Jepun (DPJ). Di Malaysia Umno yang memimpin Perikatan dan Barisan Nasional telah memerintah selama 52 tahun, sama usia negara mencapai kemerdekaan, adakah ia mampu mengatasi keupayaan LDP?

Dua tahun lagi ialah 2011, begitu hampir dengan pilihan raya ke-13, suatu yang kritikal bagi Malaysia, adakah negara ini kekal memilih Barisan Nasional atau beralih ke Pakatan Rakyat. Jika diukur dengan LDP, maka masanya sampai bagi Malaysia memilih Pakatan Rakyat. Tetapi tidaklah semudah itu, tentunya Jepun adalah berbeza. Ketahanan Barisan nasional adalah lebih ampuh daripada Jepun.

Ini kerana amalan politik Jepun dan Malaysia jauh berbeza. Walaupun LDP memerintah 54 tahun, ia adalah sebuah parti liberal dan demokratik dalam negara yang juga liberal dan demokratik. Jepun dari satu segi telah dipaksa oleh Amerika Syarikat yang menakluk negara itu selepas Perang Dunia Kedua untuk menjadikannya liberal dan demokratik.

Dalam perlembagaan baru yang digubal atas penyeliaan Amerika, Jepun menjadi liberal dan demokratik di mana semua parti politik dibenarkan ditubuhkan kecuali parti berbentuk fasis dan ultra-nasionalis. Maka dalam keadaan ini, parti-parti kiri termasuk Parti Komunis Jepun (JCP) turut dibenarkan ditubuhkan.

Tentulah keadaanya berbeza daripada Malaysia. Negara ini tidak boleh dikatakan liberal dan demokratik dalam erti kata seperti di Jepun dan negara-negara maju yang lain. Memang benar dalam Rukun Negara disebut bahawa matlamat Malaysia antara lain adalah untuk mewujudkan masyarakat liberal dan demokratik, tetapi hakikatnya tidak begitu.

Amalan liberal dan demokratik di Malaysia mempunyai makna tersendiri yang tentu di Barat, termasuk Jepun tidak menganggapnya sebagai demokratik dan liberal. Keadaan ini berlaku walaupun Jepun adalah sebuah negara Asia yang masyarakatnya tidaklah boleh dianggap begitu liberal dan demokratik berbanding dengan negara-negara Barat.

Maka LDP perlu diakui sebagai parti yang berjaya membawa Jepun ke arah demokrasi setelah pemerintahan fasis semasa dan sebelum Perang Dunia Kedua. Selain itu, LDP telah berjaya membawa kemakmuran ekonomi di Jepun setara dengan negara-negara maju lain. Tetapi lebih penting lagi, ia berupaya mengekalkan kuasanya selepas 54 tahun tanpa menekan pesaing-pesaing politiknya dengan pelbagai akta yang tidak bersifat liberal atau demokratik.

Berbeza dengan Malaysia. Negara ini lahir selepas dijajah oleh fasis Jepun. Kalau Amerika yang menawan Jepun selepas kejatuhan fasis memperkenalkan perlembagaan aman dan demokratik, perkara yang sama tidak berlaku di Tanah Melayu, Sarawak dan Borneo Utara. Ketiga-tiga wilayah ini hendak dikekalkan sebagai tanah jajahan Britain apabila mereka memperkenalkan Malayan Union dan Sarawak serta Borneo Utara dijadikan tanah jajahan mahkota menggantikannya daripada menjadi tanah syarikat Inggeris.

Sikap Britain dan penjajah Barat di Asia Tenggara seperti Perancis dan Belanda mendorong pihak komunis antarabangsa di Moscow menjadikan isu penjajahan sebagai laungan perjuangannya bagi menentang sistem kapitalisme dan imperialisme pimpinan Amerika. Maka parti-parti komunis diarahkan bangkit dan memperjuangkan kemerdekaan.

Ia berlaku di Vietnam, Hindia Timur Belanda dan juga Tanah Melayu apabila Parti Komunis Malaya (PKM) bangkit menentang Britain dengan menggunakan senjata di bawah laungan perjuangan kemerdekaan. Atas desakan ini, Britain dan penjajah lain menimbangkan bahawa adalah lebih baik diwujudkan negara-negara merdeka yang menjadi sekutu mereka daripada wilayah-wilayah ini tumbang menjadi komunis.

Maka perang menentang komunis dilakukan di Tanah Melayu dengan nama darurat. Sokongan juga diberikan pejuang-pejuang kemerdekaan yang bukan komunis. Malah sistem politik tradisi yang telah dimansuhkan melalui Malayan Union dipulihkan dan diperbaiki melalui pengenalan Persekutuan Tanah Melayu.

Walaupun asas kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu adalah liberalisme dan demokratik tetapi ia diketatkan dengan kerangka tradisional kerajaan-kerajaan negeri Melayu serta peruntukan-peruntukan yang membolehkan adanya undang-undang yang jauh daripada apa yang disifatkan sebagai liberalisme dan demokratik.

Akta seperti Akta Keselamatan dalam negeri (ISA) dan Akta Mesin cetak digubal daripada suasana menentang komunisme. Maka tidak hairanlah kongkongan adalah kuat terhadap kepelbagaian politik di mana parti-parti kiri, bukan saja PKM diharamkan atau pemimpin-pemimpinnya ditangkap hingga parti lain tidak dapat beroperasi.

Maka vakum politik inilah diisi dengan mudah oleh Umno. Pada awalnya iaitu tahun 1955, pihak penjajah juga tidak tahu sama ada rakyat, iaitu kebanyakannya orang Melayu akan menyokong Umno atau Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pimpinan Datuk Onn. Kedua-duanya tidak banyak berbeza. Perikatan Umno-MCA-MIC adalah tidak banyak berbeza dengan IMP.

Maka apabila Umno menang, parti ini terus memegang kuasa. Walaupun kemudian negara mencapai kemerdekaan, undang-undang, dan lebih penting lagi amalan serta sikap politik yang bersifat mengongkong. Justeru walaupun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, amalan mengongkong ini masih berterusan. Ia diteruskan antara lain kerana masih berlaku darurat. Dalam erti kata bahawa kemerdekaan sebagai kebebasan, hari itu tidak memberi makna besar.

Akhirnya Darurat berakhir pada tahun 1960, iaitu dua tahun selepas kemerdekaan. Terdapatlah tambahan kebebasan. Tetapi peraturan dan banyak undang-undang darurat masih dikekalkan kerana saki-baki komunis masih ada. Yang pasti parti komunis walaupun dalam bentuk damai tidak diizinkan. Ini berbeza daripada Jepun dan India di mana parti-parti komunis mereka bebas. Rundingan Baling yang merupakan kunci kepada kemerdekaan Tanah Melayu menafikan komunis daripada hak menubuhkan parti politik.

Namun begitu, Umno sebagai kerajaan telah menggunakan ISA yang bagi aktivis pembangkang sebagai menekan mereka. Pemimpin-pemimpin PAS, Parti Rakyat dan Parti Buruh telah ditahan di bawah ISA. Politik tekanan ini membuatkan Umno berada dalam kedudukan kuat.

Justeru hari ini walaupun Umno ditekan dengan kebangkitan pembangkang tetapi banyak undang-undang warisan Darurat masih ada. Justeru, Umno tidak akan jatuh secepat LDP. Ini kerana selama ini ia memerintah dengan menolak nilai liberalisme dan demokratik, tidak seperti LDP. Maka pada tahun-tahun mendatang, keadaan lebih kritikal dan peralihan antara sistem satu parti kepada sistem dua parti adalah lebih memeritkan berbanding dengan Jepun.

Leave a Reply

Pautan Bermanafaat

Who am I?

My Photo
Nor Miswary b. Ramli
"Rakyat ini perlu dibela.Kita perlu hak-hak kita kekal segar dipelihara; oleh pemimpin yang benar, yang jujur dan yang taat kepada nilai-nilai Islam. Kita perlukan pendidikan dan bukannya hukuman sebagai asas perkembangan".
View my complete profile

Disclaimer

Semua artikel yang tersiar dalam blog ini merupakan idea dan aliran pemikiran penulis secara peribadi dan mungkin tidak sealiran dengan pertubuhan atau organisasi yang penulis anggotai. Ia boleh berkaitan dengan apa sahaja yang boleh memberi manafaat kepada pemilik blog atau mereka yang menurutinya. Komen, teguran dan kritikan yang membina dari pengunjung adalah dialu-alukan.
.
.
.
.

About

Powered by Blogger.

Popular Posts