Instagram

Politik Perkauman dan Debat Najib-Anwar


Setelah beberapa siri serangan ke atas beberapa pimpinan Pakatan Rakyat, Najib Razak masih lagi berharap kepada kemenangan di dalam pilihanraya umum yang akan datang.Keengganan berdebat dan memetik janji-janji palsu sebagai langkah-langkah paling akhir dan paling selamat demi kelangsungan beliau di tampuk kuasa di Putrajaya. Lihat sahaja bagaimana Najib Razak tanpa rasa malu dan bersalah apabila membuat rasuah politik dengan menyebut:"Saya bersetuju dengan pandangan lembaga penasihat SPRM bahawa untuk mencerminkan kebebasan SPRM, sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Anti Rasuah perlu diwujudkan. Suruhanjaya ini akan diberi kuasa untuk melantik dan memecat kakitangan SPRM.Tetapi isu ini perlu pindaan perlembagaan. Insya-Allah jika BN diberi mandat dua pertiga dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang, pindaan perlembagaan akan dijalankan dan suruhanjaya ini akan ditubuhkan,". Rakyat melihat, tanpa pembaharuan ikrar menerusi kemenangan akan datang pun, Najib Razak boleh melakukannya sekarang, jika beliau benar-benar ikhlas menerima pandangan lembaga penasihat SPRM tersebut. Beliau masih lagi mempunyai banyak masa. Apakah beliau tidak menyedari kuasa membubarkan parlimen terletak di atas bahunya semata-mata. Bukan Anwar Ibrahim, bukan Tuan Guru Hadi Awang, bukan Lim Kit Siang malah juga bukan terbeban ke atas NGO baru seperti JATI yang dipimpin motivator tersohor, Dr Hasan Ali. Barangkali Najib Razak tidak ikhlas untuk mengotakan ikrarnya itu.

Aksi serangan akibat kalah hujah


Satu Malaysia tahu berdebat itu idea orang yang maju akalnya. Mereka yang berani menyebut akan apa yang di dalam kotak akalnya dan tegas mempertahankan pendirian yang dibuat itu adalah pejuang kepada akalnya yang sihat.Itu sebenarnya apa yang digelar cool . Makanya Lim Guang Eng pun bersetuju berdebat dengan Chua Soi Lek secara lintas langsung menerusi kaca televisyen tanda mencerminkan mereka memiliki apa yang disebut sebagai akal yang maju itu. Itu tanda mereka berani. Mengenali Chua Soi Lek melalui ayahanda saya yang memimpin sebuah pertubuhan kesihatan ketika Chua Soi Lek masih di Kementerian Kesihatan sudah cukup meyakinkan saya bahawa beliau ada cukup kemampuan untuk menyahut lain-lain perdebatan dengan sesiapa sahaja biarpun hujahnya longgar dan busuk (memetik istilah masyhur Kak Sheila Rusli). Tetapi beliau tidak seperti ketuanya di dalam Barisan Nasional. Beliau berani ke depan dan berdebat di pentas terbuka. Dari situ lah kita boleh memahami mengapa beliau mampu mengakui kesalahannya akibat pendedahan skandal video lucah suatu ketika dahulu. Itu yang saya hormati. Bagai disebut oleh Evelyn Beatrice Hall, yang menulis buku "The Friends Of Voltaire" di tahun 1906 iaitu; "I may not agree with what you say, but I will fight to the death for your right to say it". Biarpun Chua Soi Lek dilihat agak bias dan cenderung beremosi,tapi beliau tidak gagal untuk hadir berdebat.



Lalu kita kemudiannya dihidang pula dengan aksi-aksi mereka yang mundur akalnya dalam berhujah, dari pihak yang sama pula; Barisan Nasional.Mungkin konteks tulisan ini lebih terarah kepada parti komponennya sahaja iaitu UMNO dan NGO-NGO lain yang bernafas seperti mereka. Pemimpinnya hanya berani menggugut berbanding berdebat secara ilmiah dan terbuka.Mereka tidak mempertahankan pendirian mereka dengan berhujah jauh sekali berdebat tetapi mereka menggunakan pendekatan yang jauh lebih mundur, jahiliyyah malah tidak berakhlak. Saya terasa mual untuk menyoal dari manakah mereka ini datang atau dari siapakah mereka belajar falsafah perjuangan. Namun begitu, saya juga tertanya-tanya di manakah NGO-NGO yang begitu kuat didasari oleh Islam yang agung dan mulia intipatinya, diikat pula oleh bangsa Melayu yang luarbiasa tatasusila serta adab sopannya sehinggalah dipayungi oleh Raja pembimbing umat yang telah hilang di Melaka - negeri yang tidak bertuah - melihat isu ini secara rasional. Namun, saya tidak dapat menahan amarah lagi apabila perjuangan mereka (kalau boleh disebut sebagai perjuangan)telah menjadi sesuatu yang sangat ekstrem dan bersifat perkauman. Telah banyak kali saya menyebutnya dan saya mahu menyebutnya lagi di sini. Saya bersyukur dilahirkan dan dibesarkan dalam Islam. Bangsa saya Melayu itu suatu kebetulan sahaja.Biarpun apa jenis bangsa yang mungkin ada pada saya,lahir dan membesar sebagai Muslim sudah memadai buat saya. Antara soalan bocor di alam kubur adalah tentang agama mu, bukan bangsa mu. Itu jelas untuk memandu saya.

Panik kehilangan kuasa dan harta

Perjuangan sempit mereka ini adalah didorong oleh kerakusan mempertahankan kuasa yang boleh mengakibatkan mereka ini akan hilang segala-galanya. Pangkat dan kuasa yang sudah menjadi hartanya - menurut Sasterawan Negara A.Samad Said - bagai mahu hilang satu persatu di bawa gelombang perubahan kemahuan rakyat.Mereka menjadi panik sehingga siri tindakan menggila ala-samseng Mosad dan Gestapo ini telah memberi mereka justifikasi akan nilai sebenar harga diri mereka dan perjuangan mereka. Mereka telah benar-benar sedar akan kuasa ekonomi akal mundur yang mereka miliki hari ini telah pudar serta mulai kepanasan dan kelihatan mahu melebur bersama keangkuhan mereka. Tindakan-tindakan berupa ugutan dan ganggu-kacau seperti aksi dua wartawan Kwong Wah Jit Poh yang dipukul di Himpunan Hijau di Padang Kota Lama sehingga menerima rawatan di Hospital Besar Pulau Pinang turut menghambat Najib Razak dan kabinetnya untuk lebih tersepit.BN melalui UMNO tiada pilihan lain selain membuat onar seperti itu. Segala jenis perkakas dari sebarang jenama harus diperkudakan semahunya. Tidak kira apa pun dasar perkakas itu, mengeksplotasi mereka demi menjamin kelangsungan nyawa politik telah menjadi strategi paling ampuh, paling tidak pun menurut sifir mereka. Ia seolah-oleh sebuah pelan terancang seperti sebermula 1 Januari lalu, apabila perhimpunan sebuah konsortium antara NGO bergelar ABU (Asalkan Bukan UMNO) di Jalan Kebun, Klang yang terpaksa dibatalkan akibat gangguan keras sekumpulan belia bermotosikal yang menyerbu majlis itu sehingga menyebabkan seorang peserta cedera. Malah ianya tidak berhenti disitu. Pada 11 Februari yang lalu pula apabila seramai 15 aktivis pelajar yang mahu mengadakan ceramah berkait kebebasan akademik terpaksa diiringi keluar oleh polis bagi meninggalkan Kampung Idaman, Klang setelah diganggu-kacau oleh sekawan remaja bermotosikal yang turut menggunakan modus operandi yang sama dengan niat menakutkan penganjur dan orang ramai yang hadir. Itu belum lagi cerita bahana kenderaan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang dilaporkan kemek dan rosak akibat terkena balingan batu dan didakwa ditendang sekumpulan lelaki yang dipercayai sebagai penyokong UMNO semasa mengadakan ceramahnya di kawasan Parlimen Sembrong,Johor. Ditambah dengan gangguan berupa mercun-mercun yang dilepaskan, nyayian lagu tradisi UMNO, berkaraoke keras, menjerit-terpekik-terlolong dengan penuh sumpah-seranah, menyentuh peribadi dan memainkan isu perkauman adalah tindakan yang paling tidak bertamadun di negeri yang didakwa sebagai kubu terkuat UMNO. Kubu terkuat atau kubur terhebat UMNO? Malah tindakan yang paling biadap adalah bentuk keganasan perkauman yang dilakukan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang baru memulakan ucapannya sempena Himpunan Hijau baru-baru ini. Menurut beliau yang menyebut di dalam laporan polisnya, kumpulan berkenaan juga menggunakan bahasa kasar, makian dan kata-kata carutan bersifat perkauman seperti “Cina Babi, Cina Pulau Pinang Bodoh’ dan ‘Babi Sokong Lim Guan Eng Ketua Menteri’, kepadanya dan kepada peserta Himpunan Hijau di Padang Kota Lama pada hari yang sama demonstrasi itu berlangsung. UMNO dilihat begitu panik. Mereka bagai seekor lembu yang menggelupur kesakitan setelah disembelih. Masa hanya berdetik untuk nyawa hilang dari badan.



Tulisan ini mahu mengungkit ini semua sebagai pencerahan untuk anak-anak muda Malaysia dan Najib Razak juga. Juga untuk pemimpin UMNO yang lain dan NGO-NGO yang mesra mereka. Tindakan drastik ini tidak akan mendatangkan hasil yang memuaskan. Lihat sahaja pendudukan Jepun di Tanah Melayu dalam tahun 1941-1945, iaitu lebih kurang 3 tahun 8 bulan sebenarnya telah mencetuskan dan menggalakkan kemunculan semangat juang di negara ini yang menuntut kemerdekaan. Kesedaran anti penjajahan dan semangat untuk membebaskan diri dari pemerintahan yang menekan telah tersebar selepas perang dunia kedua. Ianya telah banyak melahirkan pejuang yang membabitkan diri dalam politik, sama ada dalam pendekatan yang radikal atau sedehana. Hari ini momentum seperti itu mucul semula. Ianya hampir sama, cuma lebih sofistikated dan gerakannya lebih tersusun. Pemerintah harus bersedia menghadapi lawan dengan hati terbuka dan berani behujah secara berdepan. Kewujudan pembangkang itu satu keperluan dalam sistem demokrasi sihat di dalam negara kita ini. Buat mereka yang masih naif anda perlu menghadam kenyataan bekas Presiden UMNO ini. Tun Mahathir pernah mengeluarkan kenyataan apabila Barisan Nasional melalui Abdullah Badawi telah berjaya menguasai hampir 92% kerusi dalam Parlimen paa tahun 2004. Satu pencapaian terbaik dan bersejarah selama kewujudan Barisan Nasional dalam negara ini. Namun, pada tahun 2005, Tun Mahathir telah menyatakan; "Saya percaya negara ini harus mempunyai kerajaan yang kuat tetapi tidak terlalu kuat. Suatu majoriti dua pertiga seperti yang saya nikmati ketika saya merupakan perdana menteri adalah cukup tetapi suatu majoriti sebanyak 92% adalah terlalu kuat. Kami memerlukan parti pembangkang untuk mengingatkan kami jika kami membuat kesilapan. Apabila anda tidak ditentang, anda berpendapat bahawa setiap perkara yang anda buat adalah betul.". Najib Razak tidak percaya ini. Pemimpin UMNO yang lain juga tidak percaya ini. Malah sewaktu Dr Khir Toyo masih Menteri Besar Selangor, beliau mengemukakan kempen 'Pembangkang Sifar'. Beliau juga tentunya tidak percaya kepada sistem ini. Natijah, apabila Barisan Nasional sudah seakan bakal menjadi pembangkang di Parlimen, jentera ini iaitu anak-anak muda yang naif dan daif akal terus-menerus digunakan sebagai perisai di serangan paling hadapan untuk bertembung dengan Pakatan Rakyat. Sedang pemimpin mereka bersiap-siaga mengemaskan keperluan dan harta masing-masing,anak-anak muda UMNO ini dipaksa menjadi laskar untuk mempertahankan kedudukan mereka.Mereka menjauhi pemimpin Pakaran Rakyat untuk bertembung secara bersemuka namun berkokok berak kapur di belakang perisai manusia anak-anak muda naif ini.


Debat demi rakyat

Anda kemukakan idea dan dasar-dasar anda dan biarkan kami melakukan perkara yang sama, lalu biarlah rakyat yang membuat keputusan. Itu hebatnya apabila anda berdebat. Sewaktu di universiti, saya berpeluang mewakili universiti dalam bidang debatan peringkat inter-varsiti. Saya juga berpegalaman menjadi juri untuk pertandingan-pertandingan debat pelbagai peringkat di dalam universiti. Malah, peluang untuk menjadi tenaga pengajar untuk kelas debat dan pidato memberitahu saya banyak makna. Berdebat selalunya untuk mencari kata putus atau jalan penyelesaian antara dua pihak yang berkonflik atas satu maksud. Kedua-dua pihak perlu membekalkan hujah dan meyakininya untuk dipertahankan. Dalam pertandingan seperti debat ala-parlimen inter-varsiti, pastinya juri menentukan out-come nya.Ia mewujudkan pihak menang dan pihak yang telah ditewaskan. Namun, jika debat di antara Najib-Anwar, rakyat bakal mendapat hasilnya. Tidak terfikirkah oleh Najib Razak akan peluang yang boleh dipungut hasil debat antara mereka berdua jika Anwar Ibrahim tewas dan gagal membahas isu-isu yang dibangkitkan. Anwar boleh dilanyak dan dimalukan semahunya di atas pentas secara langsung ke seluruh pelusuk felda samada di Pahang mahupun di Johor. Najib Razak adalah kerajaan yang memerintah hari ini,beliau sudah tentunya mempunyai segala macam maklumat yang pastinya tidak dimiliki Anwar. Anwar sudah barang pasti boleh diperbodohkan untuk menghiburkan anak-anak muda UMNO yang akan beramai-ramai datang untuk bersorak keriangan.Peluang ini adalah peluang seumur hidup. Ianya seperti sebuah peluang menghadiri konsert Michael Jackson terkahirnya atau peluang filem-filem Malaysia tercalon dan memenangi Academy Award dalam kategori filem antarabangsa. Peluang yang tidak wajar untuk Najib Razak menolaknya, melainkan sifirnya terbalik-kuang. Beliau seperti sangat khuatir dengan imaginasinya yang terbatas itu, dengan memikirkan kemungkinan beliau pula yang mungkin dimalukan! Itu sebabnya beliau menolak mentah-mentah. Tetapi percayalah, kami tidak mempunyai apa-apa yang mahu disorokkan. Dasar-dasar kami, perkara-perkara sensitif yang kami rundingkan, tawaran-tawaran yang disebut sebagai janji-janji palsu oleh anda terhadap kami, polisi-polisi yang telah berjaya kami laksanakan menerusi janji kami dalam manifesto di dalam pilihanraya umum yang lalu ataupun apa-apa yang kami tahu tentang salahguna dana-awam berkaitan isu NFC misalnya,kami berjanji untuk tidak sorokkan dari anda. Semuanya akan kami beritahu anda. Ya, kami berjanji, kami tidak akan menyorokkan apa-apa dari anda. Anda juga begitu, kan? Jika benar, kita boleh melihat perdebatan terhebat tahun ini di antara Ketua Pembangkang dan Perdana Menteri Malaysia dalam sedikit masa lagi. Lagipun pilihanraya boleh dibuat agak lewat seperti tahun depan jika Najib Razak gagal menjawab beberapa isu dalam pendebatan itu nanti. Bukankah beliau sahaja yang mengetahui bila tarikh pilihanraya umum? Jadi untuk apa gunanya kalian sering menghantar delegasi-delegasi untuk mengganggu ceramah-ceramah Pakatan Rakyat jika pemerintah tidak ada apa-apa yang perlu disorokkan dan boleh pula menjamin kemenangan melalui tawaran-tawaran rasuah politik kepada agensi-agensi kerajaan yang ada? Anak muda langsung tidak terpesona dengan serangan yang berkiblatkan maki-hamun-pukul-ludah-tampar serta yang berakidahkan perkauman ini. Jika itu ditafsir sebagai menjamin kemenangan Barisan Nasional pada pilihanraya umum akan datang, nescaya pemerintah gagal membaca dan memahami jalur politik anak muda Malaysia iaitu kegagalan yang sama yang tertimpa ke atas Dato Dr. Hasan Ali. Tindakan-tindakan berupa serangan fizikal, mental dan berbentuk perkauman ini hanyalah menjamin kemenangan untuk Pakatan Rakyat.


Nor Miswary b. Ramli
Shah Alam
Ahli DAP Selangor

Leave a Reply

Pautan Bermanafaat

Who am I?

My Photo
Nor Miswary b. Ramli
"Rakyat ini perlu dibela.Kita perlu hak-hak kita kekal segar dipelihara; oleh pemimpin yang benar, yang jujur dan yang taat kepada nilai-nilai Islam. Kita perlukan pendidikan dan bukannya hukuman sebagai asas perkembangan".
View my complete profile

Disclaimer

Semua artikel yang tersiar dalam blog ini merupakan idea dan aliran pemikiran penulis secara peribadi dan mungkin tidak sealiran dengan pertubuhan atau organisasi yang penulis anggotai. Ia boleh berkaitan dengan apa sahaja yang boleh memberi manafaat kepada pemilik blog atau mereka yang menurutinya. Komen, teguran dan kritikan yang membina dari pengunjung adalah dialu-alukan.
.
.
.
.

About

Powered by Blogger.

Popular Posts