Instagram

Sesuci Murni


Beras dua, air tiga. Basuh dua kali. Sengaja diulang-ulang di dalam hati. Murni membawa periuk elektrik itu dari sinki dan menghidupkan api dapur. Sesudah memastikan yang beras sedang di masak, Murni kembali ke dalam biliknya semula.

“Murni”. Laungan dari bawah rumah memanggil namanya.

Kelihatan seorang perempuan tua sedang mengendong segumpal kain baju yang kering di tangan kirinya manakala di sebelah laginya sedang mengaut beberapa helai lagi kain di ampaian. Sambil menoleh-noleh ke belakang, perempuan tua itu mengulangi panggilannya. Kali ini agak keras sedikit.

“Ye mak.Murni dalam bilik. Beras tengah masak mak”. Murni menjawab lembut.

Bagai sudah diketahui apa yang akan disoal emaknya. Zaleha perlahan-lahan menaikki anak-anak tangga kayu yang menyambung gigi pintu rumahnya dengan rata tanah.

“Orang masak nasi, dia masak beras”. Getus Zaleha sendirian. Terasa lucu mendengarnya.

Seusai sampai di bendul pintu, dia melemparkan sahaja kain baju kering yang baru dikutipnya tadi. Murni datang menghampirinya dan mengambil semua kain baju kering yang terlonggok di muka pintu. Dia terus membawa ke ruang tengah. Murni kemudiannya melangkah semula ke arah emaknya.

“Mak, teh kosong dah murni buatkan. Mak nak Murni ambilkan?”. Zaleha hanya diam.

Tetapi dia tetap menggangguk mengkehendakinya. Zaleha hanya merenung anaknya itu yang perlahan-lahan berjalan ke ruang dapur.
Murni memang baik budaknya. Baik budinya. Sopan tingkahnya. Perlahan dalam hampir semua perbuatannya. Meninggikan suara dengan Zaleha jauh sekali. Dia selalu ada dengan emaknya itu di rumah. Membantu apa yang termampu. Tidak sanggup dia berjauhan lagi dengan Zaleha semenjak ayahnya – Malik Deraman – meninggalkan Zaleha untuk mengejar perempuan yang selalu menghantar kuih dan nasi lemak di warung Haji Hasan Ulik. Sudah hampir setahun Zaleha bercerai dengan Malik Deraman. Sekarang bekas suaminya itu telah berpindah tinggal bersama isteri barunya di Seremban.

Kata emak; “Perempuan yang hanya tahu buat kuih dan nasi lemak pun bapak engkau hendak”. Emak bagai memerli juga seperti memarahi. Bagai terkeluar biji matanya setiap kali dia menerangkannya kepada jiran-jiran sambil memandang ke arah Murni. Murni hanya akan selalu diam sahaja.

“Aku ni, masak kenduri seribu orang datang pun boleh, bapak engkau tak ingin juga!Pelik aku!” Zaleha teringat-ingat sendiri apa yang dimarah kepada bekas suaminya di depan anak perempuan tunggalnya itu.

“Mak”. Murni duduk perlahan bersimpuh di hadapan emaknya sambil menghulurkan air teh kosong ke tangan emaknya. Zaleha duduk besandar di daun pintu dekat bendul dan hampir ke gigi tangga. Lamunan Zaleha segera mati. Di sambutnya cawan berisi teh kosong. Zaleha sempat menjeling biskut kering 5-6 keping di dalam piring. Di ambilnya satu. Dipatahkan dua dan dicelup ke dalam cawan teh itu.

“Mak jangan susah hati. Murni setuju kalau itu pilihan mak. Murni tidak membantah.” Murni membuat tawaran lembut. Tawaran untuk melegakan hati emaknya. Tawaran yang membuatkan debaran hati Zaleha kembali semula memuncak. Zaleha masih lagi diam. Di perhatikan anak daranya yang tunduk ke lantai kayu rumah mereka. Dipandanganya dengan penuh kasih ibu. Kemudian Zaleha memandang pula sekeliling rumahnya. Biarpun agak berlubang dan berjarak antara papan lantainya di sana sini, tetapi rumah ini agak sejuk dan menenangkan. Rumah kayu ini memang sudah agak lama. Sudah hampir usang kalau di lihat dari tepi jalan besar. Ada pokok keriang besar betul-betul di sebelah kanan rumahnya. Ada parit kira-kira sepuluh kaki lebarnya yang memisahkan tanah rumah Zaleha dengan jalan besar di depan. Titi kecil yang di buat arwah ayah Zaleha masih ada dan masih lagi kuat untuk digunakan buat menyeberang. Cuma titi tersebut muat-muat untuk sebuah motosikal beroda tiga. Rumah kayu ini hanya tinggat atas sahaja. Di bawahnya di biar lapang terbuka.

“Lagipun Murni dah lama di Kuala Lumpur tu mak. Dah lama sangat Murni tinggalkan mak dengan bapak kat kampung ni. Berdosa benar Murni rasa”. Murni berhujah.
Zaleha terus selera memakan biskut. Sudah masuk kepingan keempat yang di patahkan dan dicelup air sebelum di masukkan ke dalam mulutnya. Apa yang di cakapakan Murni bagai tidak masuk ke dalam kotak fikirannya.

“Murni, anak mak”. Zaleha memegang tangan anaknya lembut. Diangkat tangan anaknya itu dengan penuh rasa kasih. Di bolak-balikkan telapak tangan Murni seperti mahu menilik nasib. Kemudian tangan lembut Murni di letakkan ke pahanya.

“Murni, mak bukannya nak menolak anak Pak Wahab tu. Dan mak pun belum pasti juga mahu menerimanya”. Kali ini Zaleha mengusap-usap rambut Murni. Murni seperti tertunduk-tunduk dengan perbuatan emaknya itu. Seperti kucing yang diusap-usap kepalanya.

“Cuma yang mak risaukan diri Murni ni. Adakah Murni bersedia, rela atau Murni kasihan mak sehingga Murni sanggup menerima pinangan mereka?”. Zaleha menelan tegukkan terakhir dari cawan tehnya itu. Zaleha kemudiannya menyapu saki-baki habuk biskut yang jatuh berderai di lantai dengan tangannya. Zaleha memerhati wajah anak perempuan tunggalnya itu. Di perhatikan dari rambut, turun ke dahi, ke kening, ke matanya, hidung dan terus turun ke bibirnya. Rambut Murni memang lembut. Seperti rambut bayi. Keningnya agak lebat dan bulu matanya agak panjang dari lain-lain perempuan dalam kampung. Hidungnya juga tinggi. Dan Murni tentunya punyai senyuman yang sangat manis. Zaleha berbangga sendirian. Dia mengukir senyuman tiba-tiba. Zaleha berbangga dengan kecantikan anak daranya itu. Terdetik di dalam hati bahawa wajah cantik Murni itu datang dari dirinya. Mungkin itulah yang menyebabkan ramai orang kampung berminat dengan anak dara Zaleha yang seorang ini. Kenangan rombongan peminangan hari Sabtu lepas tiba-tiba memintas. Memang rombongan itu telah dijangkakan. Merisik telah agak lama dibuat. Ketika Zaleha masih lagi bersuami, namun rancangan untuk meminang tetap diteruskan juga walaupun setelah Zaleha dan Malik bercerai. Lagipun pihak yang datang meminang adalah saudara mara Zaleha juga. Ibu Wahab – yang datang meminang Murni - adalah adik-beradik dengan salah seorang sepupu sebelah ayah Zaleha. Kedua-dua mereka pun kini sudah meninggal dunia. Jadi, berat hati Zaleha untuk menolak rombongan peminangan Pak Wahab. Menerimanya terus bukan sesuatu mudah juga.

“Saya ini biarpun suka benar dengan hajat pihak rombongan, namun saya tidak boleh tidak, kena juga bertanya kepada tuan punya badan”. Santun Zaleha dalam majlis perminangan tersebut.

“Adakah anak Pak Wahab itu tahu keadaan Murni mak?”. Murni tiba-tiba menyoal mematikan lamunan.

Anak Pak Wahab baru sahaja pulang dari Makkah, Arab Saudi. Di sana dia belajar ilmu hadis dan ilmu perbandingan agama. Sampai peringkat sarjana katanya. Sampai ada orang kampung yang mendakwa anak Pak Wahab ini berfahaman Syiah kerana dia begitu lama di belajar di sana. Sudah hampir sepuluh tahun dia di sana. Semenjak pulang awal tahun ini, dia terus di amanahkan menjadi imam utama di masjid. Khabarnya dia menolak. Namun khariah kampung berkeras mahukan dia juga. Maklumlah dia telah belajar sejauh kota Makkah – tempat sempurnanya agama Islam. Adalah satu kerugian yang besar kalau orang kampung mempersiakan seorang anak muda untuk jawatan imam yang punyai reputasi seperti itu. Zaleha masih lagi cuba mengingati wajah anak teruna Pak Wahab itu. Dia ada datang semasa urusan perminangan itu berlangsung, Cuma dia tidak naik ke atas rumah. Dia hanya duduk-duduk bersembang dengan adik-beradiknya di bawah.Cuma yang Zaleha pasti, dia berketayap berwarna kuning muda, berjanggut nipis tetapi tidak bermisai. Cuma yang Zaleha perasan, anak Pak Wahab itu hanya duduk sahaja di pangkin di bawah pokok ketapang itu. Dia tidak pula bangun atau bergerak ke mana-mana sedangkan adik –beradiknya sudah ke hulu ke hilir kegelisahan. Mulanya Zaleha tidak tahu mengapa lagak anak Pak Wahab begitu. Tertanya-tanya juga dia dalam hati.

“Mak, Murni tanya tadi mak dengar tidak?’.Murni meraba menyentuh tangan maknya. Zaleha seperti kebingungan.

“Murni. Mulanya mak tak berapa kenal sangat macamana rupa anak Pak Wahab tu. Bila mak tengok masa dia datang hari tu baru mak tahu”. Zaleha menggulum kata-katanya. Murni mengesot sedikit dari tempat duduknya mendekati emaknya. Seperti mahu lebih jelas apa yang akan maknya sampaikan.

“Mak tengok, cantik sungguh orangnya anak Pak Wahab tu. Mukanya nampak tenang sahaja Murni”. Mendengar kata-kata ibunya, Murni tersenyum malu. Bagai yang dipuji itu dirinya. Murni sudah berbangga, bagai yang dipuji itu seolah sudah menjadi kepunyaannya.

“Dia pakai ketayap Murni. Mak sejuk hati tengok mukanya. Mukanya seperti ada cahaya nak. Dia begitu sempurna Murni. Sempurna untuk anak mak ni”. Zaleha beriya menyambung sambil menggoncang lembut kedua-dua belah bahu anaknya itu. Murni yang dari tadi kelihatan tersenyum sendirian tiba-tiba berubah air mukanya.

“Tapi mak. Dia tahu tak yang Murni tak boleh melihat mak”. Murni memotong keghairahan ibunya bercerita. Segera dicapai tangan emaknya itu. Di genggamnya tangan ibunya itu. Murni mengetap bibirnya. Kedua-dua bibirnya rapat dan bergetar menahan kepiluan. Matanya pula dipejam rapat. Bersungguh Murni menahan airmata dari tumpah. Apabila cuba dibuka, mata Murni yang berkaca melimpahkan airmata deras ke pipi lembutnya.

“Malu Murni mak”. Begitu perlahan dan seperti tersekat di kerongkong suara Murni. Murni kemudiannya baring di riba emaknya lalu menangis perlahan. Tangisannya di tahan-tahan semahunya.

“Murni malu mak. Murni orang buta mak. Murni tak boleh tengok mak. Tak boleh tengok bapak”. Murni tersangkut dalam sendunya. Sayu Murni merayu meratapi nasibnya. Zaleha membatu sahaja. Dia faham benar kesedihan hati Murni itu. Dia sudah hampir dua puluh dua tahun mengharunginya dengan Murni. Zaleha membiarkan sahaja Murni menangis semahunya di ribanya. Perlahan-lahan Zaleha menyapu hujung matanya yang berlopak air dengan hujung baju. Tidak mahu simpatinya didengar anak daranya itu. Zaleha mengusap-usap lembut rambut Murni.

“Murni, berhentilah menangis nak. Anak Pak Wahab tu memang yang paling sesuai untuk mu nak”. Zaleha berhenti di situ. Zaleha seperti mencari kata-kata dan cuba menyusunnya dengan berhati-hati.

“Anak Pak Wahab itu namanya Muhammad. Dia imam utama masjid kampung kita ni. Dia juga istimewa seperti anak mak ni”. Zaleha menambah debar Murni.

“Dia tidak boleh melihat mak dan dia juga tidak akan boleh melihat Murni”. Zaleha seperti berbisik. Sambil tersenyum, Murni bingkas bangun perlahan dan memeluk emaknya itu.

One response to “Sesuci Murni

  1. Anonymous

    wary saya nk cadangkan awak buat citer penyiasatan..ala2 sherlock holmes @ detektif conan..hahah..sbb ending cerpen2 awak(yg saya bc la...) mst di luar jangkaan..hihihi

Leave a Reply

Pautan Bermanafaat

Who am I?

My Photo
Nor Miswary b. Ramli
"Rakyat ini perlu dibela.Kita perlu hak-hak kita kekal segar dipelihara; oleh pemimpin yang benar, yang jujur dan yang taat kepada nilai-nilai Islam. Kita perlukan pendidikan dan bukannya hukuman sebagai asas perkembangan".
View my complete profile

Disclaimer

Semua artikel yang tersiar dalam blog ini merupakan idea dan aliran pemikiran penulis secara peribadi dan mungkin tidak sealiran dengan pertubuhan atau organisasi yang penulis anggotai. Ia boleh berkaitan dengan apa sahaja yang boleh memberi manafaat kepada pemilik blog atau mereka yang menurutinya. Komen, teguran dan kritikan yang membina dari pengunjung adalah dialu-alukan.
.
.
.
.

About

Powered by Blogger.

Popular Posts