Instagram

Seminar Khas: Adakah PAS bersedia untuk semua?


Selepas PAS berhempas pulas mengadakan mesyuarat 28 Oct yang lalu, maka besok hari PAS bakal berdepan pula dengan dua orang panel yang dijemput untuk mengupas permasalahan dan memberi kritikan demi kebaikan parti. Melalui kritikannya dalam akhbar Sinar Harian, Prof Dr Aziz Bari seorang pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa tiba-tiba menjadi buah mulut hampir kesemua ahli PAS. Beliau adalah salah seorang panel yang dijemput. Isu panas Dr Asri bekas Mufti Perlis yang ditangkap oleh JAIS tiba-tiba hilang begitu sahaja. Polimek ini bermula apabila TG Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat - Menteri Besar Kelantan - mengulas teguran yang dibuat oleh profesor tersebut di menerusi blognya. Beliau yang juga seorang Mursyidul Am Pas memperlihatkan sikap tidak senangnya kepada beberapa pemimpin PAs yang mana nama-nama mereka diangkat oleh Prof Dr Aziz Bari di dalam artikel yang tersiar di dalam khbar Sinar Harian tersebut. Malah, ulasan TG Nik Aziz telah hampir membawa kepada EGM PAS yang kemudiannya diganti sebagai Seminar Khas yang dijadualkan berlangsung satu hari di Markas Tarbiyyah Taman Melewar besok. Tambah merancakkan program tersebut, hari ini tersiar kenyataan oleh Prof Dr Aziz Bari di dalam temuramahnya bersama Malaysiakini. Teguran dan kritikannya mula menggila. Ianya seperti satu warming up untuk ahli-ahli PAS bersedia untuk hari esok. Malah kalau diikuti tulisan Ketua Pemuda PAS Pusat menerusi blognya hari ini, jelas kritikan Prof Dr Aziz Bari mulai terasa bahangnya. Mereka mula menggelar beliau sebagai seorang tidak ikhlas, tidak jujur dalam membuat teguran, semberono menyerang PAS dan Presidennya malah lebih dahsyat lagi, Ketua Pemuda PAS Pusat tersebut menyamakan beliau sebagai agen UMNO yang sebenarnya berniat menjatuhkan Presiden PAS, menjahanamkan PAS dan memporak-perandakan rumahtangga PAS! Malah kenyataan Prof Dr Aziz Bari yang menyamakan kelemahan pentadbiran Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang sebagai 'Pak Lah' versi PAS dikritik keras! Kelemahan pentabiran Pak Lah memimpin menteri-menteri kabinetnya, memimpin negara, mengurus parti-parti komponen di dalam BN dan digambarkan sebagai seorang Perdana Menteri yang lemah, lembab dan tidak tegas. Dan segala susok kelemahan tersebut kini didakwa datang dalam versi Presiden PAS pula!

Apakah dosa TG Hadi Awang ini?

Beliau seperti tidak mahu diberi peluang kedua jika Prof Dr Aziz Bari itu adalah seorang Mursyidul Am PAS. Dr Aziz Bari yang sebelum ini sering diketengahkan sebagai pakar rujuk undang-undang perlembagaan negara dalam kes rampasan kerajaan haram di Perak, tiba-tiba menjadi orang yang paling digeruni dengan pendapatnya, orang paling dibenci (mungkin) oleh segelintir pimpinan PAS dan ahli PAS serta beliau kini tiba-tiba menjadi orang yang paling dinanti idenya oleh mereka yang dahagakan kemenangan mutlak sebagai sebuah pakatan dalam Pakatan Rakyat. Apa yang penulis perhatikan, Dr Aziz Bari ini hanyalah sebagai sebuah alat pengukur tingkat kebolehpercayaan ahli-ahli PAS terhadap pemimipin-pemimpinnya. Beliau juga menjadi alat pengukur kepada tingkat keyakinan PAS terhadap prinsip yang PAS perjuangkan. Beliau juga boleh juga menajdi alat pemimbang kepada tahap toleransi, sikap adil yang tulen dan keterbukaan PAS. Boleh jadi beliau adalah agen UMNO. Mana tahu. Beliau telah lama bergasak dengan kerajaan BN dan kerajaan haram Perak serta Sultan Perak mengenai isu-isu perlembagaan dan undang-undang sewaktu kerajaan Pakatan Rakyat Perak di rampas oleh BN. Boleh jadi beliau telah terkena tempiasnya. Dan hari ini hutang tersebut perlu dibayar dengan harga yang tinggi. Atas apa hutang tersebut perlu dilangsaikan, penulis tiada hak untuk membuat analisa. Yang pasti ianya ada kemungkinan. Yang menjadi persoalannya adalah kenapa pendapat seorang profesor sepertinya yang memberi ide-ide dan pendapat undang-undang mengikut kepakarannya sehingga memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat dalam menangani isu-isu rampasan di Perak diterima dengan suka-hati dan riang-ria sedangkan pendapatnya yang satu ini, PAS kesampingkan? Adakah ianya kerana melibatkan kredibiliti Presiden atau Timbalan Presiden dan sesetengah pimpinan PAS yang dikritiknya, maka tiba-tiba pendapatnya menjadi salah dan berat sebelah dengan tiba-tiba? Adakah setelah pendapatnya yang keras, tajam dan tidak selari dengan halwa telinga beberapa kerat pemimpin PAS itu tiba-tiba menjadikan beliau seorang yang berniat jahat, tidak jujur dan tidak ikhlas dalam pendapatnya. Maka, jika itulah yang membuat beberapa pemimpin PAS seperti Ketua Pemuda PAS Pusat melenting, jelaslah kritikan Dr Aziz Bari ada kebenarannya. Beliau boleh jadi agen UMNO yang berjaya dibawa masuk secara halus untuk merosakkan PAS dari dalam dengan perkataan-perkataannya. Beliau mungkin akan telanjangkan PAS esok hari. Beliau juga mungkin berniat untuk memalukan PAS semahu-mahunya seharian suntuk esok hari. Beliau boleh berniat apa sahaja, secara ikhlas ataupun ada agenda tersendiri yang tersembunyi. Namun, keberanian beliau menyebut apa yang tidak disebut oleh para pemimpin PAS di hadapan Presiden dan Timbalan Presiden sudah cukup membantu PAS bergerak maju ke hadapan. Biar apa pun niat beliau, natijahnya tetap membawa kebaikan kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Itu penulis sangat pasti. Keyakinan ini datangnya bukan atas sebab penulis setuju dengan pendapat kerasnya terhadap beberapa pimpinan tertinggi PAS. Keyakinan ini datang sebagai tanda prinsip luhur dalam perjuangan PAS itu subur. Masakan tidak. PAS boleh mengkritik dan menegur para pemimpin UMNO dengan keras, halus dan lembut. Teguran yang PAS buat terhadap parti lain dalam komponen BN mahupun dalam Pakatan Rakyat, terkadang kedengaran terlalu tajam sehingga menyeksa ahli-ahli PAS itu sendiri dan penyokong Pakatan Rakyat. Dan kini, apa salahnya pula PAS berlapang dada, terbuka dan matang berhadapan dengan cabaran politik jenis baru ini. Ramai anak-anak muda seperti penulis mahu memberi pendapat seperti Dr Aziz Bari ini, yang mana mereka berpendapat PAS perlukan sebuah reformasi besar-besaran seperti yang dicanang oleh beliau. Bukan tidak ada mereka yang berani memberi pendapat begitu, namun kadang-kadang masalah 'pertauliahan' dan wala' terhadap pemimpin menjadi isu. Tindakan TG Nik Aziz dan PAS menjemput Prof Dr Aziz Bari untuk sesi 'tarbiyah' esok hari adalah sesuatu yang patut diberi pujian. Niat mereka ini pastinya tidak lain. PAS mahu benar-benar bersedia mendepani cabaran PRU-13 sebagai sebuah kerajaan Persekutuan. Dan usaha yang murni ini telah bermula dengan langkah kanan.

Leave a Reply

Pautan Bermanafaat

Who am I?

My Photo
Nor Miswary b. Ramli
"Rakyat ini perlu dibela.Kita perlu hak-hak kita kekal segar dipelihara; oleh pemimpin yang benar, yang jujur dan yang taat kepada nilai-nilai Islam. Kita perlukan pendidikan dan bukannya hukuman sebagai asas perkembangan".
View my complete profile

Disclaimer

Semua artikel yang tersiar dalam blog ini merupakan idea dan aliran pemikiran penulis secara peribadi dan mungkin tidak sealiran dengan pertubuhan atau organisasi yang penulis anggotai. Ia boleh berkaitan dengan apa sahaja yang boleh memberi manafaat kepada pemilik blog atau mereka yang menurutinya. Komen, teguran dan kritikan yang membina dari pengunjung adalah dialu-alukan.
.
.
.
.

About

Powered by Blogger.

Popular Posts