Instagram

Erti prinsip buat diri ini

Saya pernah menulis artikel ditujukan khas buat calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato' Zaid Ibrahim. Saya memberikan pendapat saya dan kritikan saya kepadanya dan beliau memberikan responnya. Itu prinsip saya. Saya juga pernah menulis sebuah artikel mengkritik bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang dipecat yang kini adalah Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat yang juga Ketua Umum Parti PKR - Saudara Anwar Ibrahim - dan beliau juga turut memberi respon melalui blognya. Itu juga prinsip saya. Kenapa kedua-dua tokoh politik terkemuka negara ini memberikan responnya kepada rakyat kerdil seperti saya ini? Jawapannya mudah. Mereka menilai prinsip saya dalam memberi pendapat. Mereka yang berjiwa besar ini boleh menerima kritikan dan menerima perbedaan pendapat. Itu ciri orang-orang berprinsip dan orang yang jiwanya besar. Malah, saya juga pernah turut mengeluarkan artikel mengkritik bekas ketua Angkatan Muda PKR, Senator Ezam Mohd Noor melalui blog ini dan ianya juga mendapat respon sehinggakan pernah disiarkan di dalam Suara Keadilan - lidah rasmi parti PKR- suatu waktu dulu. Itu juga prinsip saya. Sampai hari ini saya masih terasa bahang dan debarannya ketika berpeluang memberi hujah dan berdebat di hadapan Rektor ITM (kini Naib Canselor UiTM) berkenaan masa depan institut pengajian awam bumiputera itu, masa depan kuota dan hal yang berkait yuran pengajian apabila ianya dinaikkan taraf (ditukar namanya sahaja, tarafnya tidak pernah jatuhpun) sebagai Jawatankuasa Perwakilan Pelajar ITM (JPP ITM) tahun 1999/2000. Dan sesungguhnya, saya sebahagian daripada mereka (JPP ITM) yang kuat semangat dan dengan keyakinan tulen bahawa apa yang dipertahankan itu adalah benar dan demi untuk pelajar semata-mata. Prinsip tersebut ada yang membawa di antara kami ke penjara dan buang universiti. Malah, ketika memperlihatkan bantahan kepada Dato' Seri Hishamudin Hussein Onn yang ketika itu adalah Menteri Pendidikan yang pernah dikaitkan sebagai salah seorang pemegang saham sebuah syarikat yang ada kaitan dengan perjudian, maka kami sebagai Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) ketika itu beramai-ramai keluar dewan ketika beliau baru sahaja mahu memulakan ucapan perasmiannya. Tindakan kami itu dibuat di hadapan Rektor ITM ketika itu. Itu juga prinsip yang saya pertahankan. Dan ketika Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut kuat mengajak rakyat Muslim Malaysia memboikot dan membantah Coca-Cola (walhal saya juga tidak meminumnya) dan makanan segera McDonald, saya dan keluarga juga turut sama memboikotnya sehinggalah hari ini. Itu prinsip. Apabila kedai popular kopitiam Old Town White Coffee yang jelas mencabul dan menghina Muslim Malaysia dengan menghidangkan sup dari jenis binatang/bahan terlarang ke atas umat Islam dengan menggunakan sijil halal JAKIM palsu untuk mengaburi orang Islam memasukki restorannya, saya dan keluarga tegas memboikotnya sehinggalah kini. Itu prinsip. Saya dan keluarga juga tidak minum dan makan di restoran santai popular StarBucks sebagai tanda memboikot mereka ini yang menyumbang kepada dana kewangan pihak Yahudi. Itu juga prinsip yang kami pertahankan sehingga sekarang. Bukan kerana saya tidak mampu untuk membayar harga yang mahal untuk secawan kopi pahit dan tempat duduk santai seperti mereka yang kaya dan berharta. Tidak sama sekali. Di saat kapal Mavi-Marmara yang membawa bantuan ubat-ubatan dan bekalan hospitaliti oleh rakyat Malaysia ke bumi Gaza, Palestin di serang dan dicabul kedaulatannya oleh tentera Yahudi Laknatullah, saya tegar memboikot laman rangkaian sosial (social network) ciptaan pihak Yahudi iaitu FaceBook (FB) dengan menutup akaun tersebut sebagai tanda bantahan dan protes. Saya tegar melakukannya sehingga hari ini. Saya tidak hanya bercakap tentang mahu membantah dan mahu memboikot. Saya juga tidak hanya menunjukkan simpati dan menyebut-nyebut akannya walhal saya lah yang menjadi orang yang paling wahid menggunakan laman sosial tersebut. Saya tidak hanya bercakap, saya benar-benar melakukannya.Itu prinsip namanya. Sebab saya tahu talk is cheap. For me, it is very cheap actually! Malah, ketika berpeluang untuk berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri - Tan Sri Muhyiddin Yasin - suatu ketika dulu, saya tetap mengambil kesempatan untuk bertanyakan tentang tuduhan liwat yang dilakukan kerajaan terhadap Datuk Sei Anwar Ibrahim dan hukum hudud anjuran PAS. Saya tidak berpura-pura menyokong beliau walaupun dia bapak menteri( meminjam perkataan Indonesia). Saya tidak mengambil wang saguhati UMNO/BN pabila balik mengundi di kampung walhal kuat mendabik akulah pejuang tulen Pakatan Rakyat apabila pulang semula ke bandar.Saya luhur ke atas prinsip saya biarpun yang mengetuai pilihanraya untuk UMNO/BN itu adalah ayah saya sendiri. Saya bukan datang dari kalangan mereka yang hanya bercakap tentang prinsip dan menggadaikannya apabila tiba keadaan tertentu.
Bagi saya, mempertahankan prinsip bukan bermakna kita menyokong atau bersetuju tentang sesuatu atau seseorang. Mempertahankan prinsip juga membawa erti apabila kita tegas mempertahankan maksud penolakan. Kita berhak untuk mengatakan bantahan, sikap berkecuali atau menyatakan sikap untuk tidak bersetuju akan sesuatu atau pada seseorang. Malah, menyampaikan maksud itu juga terpulang kepada individu, pihak atau komuniti masing-masing. Ada yang membantah dengan berdemonstrasi. Ada yang meminta dengan pelbagai alasan sebagai tanda tidak bersetuju seperti meminta hati nyamuk atau jambatan emas untuk hantaran peminangan. Ada yang dengan berdiam diri. Ada yang menggunakan social network (baling batu sembunyi tangan!).Ada yang menulis di blog. Ada yang mengumpat dengan kawan-kawan baru. Malah Nabi junjungan besar kita juga pernah mengasingkan diri baginda dengan isteri - Siti Aisyah- atas fitnah yang tejadi ke atas isteri baginda tersebut. Itu tanda mempertahankan prinsip dengan cara paling berhikmah. Bersetuju untuk tidak bersetuju adalah sebuah prinsip yang besar dan murni untuk mereka yang punyai minda kelas pertama. Tetapi dengan menempelak seseorang sebagai tidak berprinsip, tidak berpendirian atau melemparkan mereka itu dengan tuduhan-tuduhan sembrono apabila seseorang itu tidak lagi sehaluan dengan pendirian dan pendapat kita, ianya hanya menampakkan kebodohan dan kekalutan pemikiran kita sendiri. Mereka inilah yang lemah prinsip dan pendirian mereka. Kalut dan meraban tidak tentu fasal. Mereka ini seharusnya menilai semula sejauh manakah kekuatan mereka dalam mempertahankan prinsip yang mereka sendiri selalu laung-laungkan. Sekuat mana mereka mempertahankannya? Bagaimana kekuatan tersebut dapat mereka capai? Adakah apabila kelebihan duduk di kedua belah tangan mereka, maka mereka kuat mendabik dada melaungkan; "Akulah yang masih kuat pertahankan prinsip!Aku lah yang masih kekal di sini!Akulah itu!Akulah ini!Persetankanlah mereka yang lemah dan dayus!Persetankanlah mereka yang tidak berprinsip dan tidak kekal berpegang kepada prinsip! Buangkanlah mereka itu di lembah hina! Mereka hanya lemah dan tidak kental semangat juangnya!". Semua itu dihambur tanpa rasa bersalah dan tanpa rasa mahu mengalah. Mereka mahu mengkritik semahu-mahunya apabila seseorang yang tidak lagi sehaluan dengan mereka tidak lagi berdiri bersebelahan bersama. Mereka mudah menjadi pelupa kepada orang-orang ini. Dan tentunya mereka akan kelihatan sangat ramah dan berhati mulia tatkala kita berdiri di hadapan batang hidungnya. Hiprokasi tiba-tiba mengelilingi mereka ini. Bersangka baik itu bukan lagi citarasa tinggi dari kalbu mereka. Mempertahankan sebuah prinsip yang seiring dengan prinsip mereka adalah yang paling wajar dan yang semulia-mulianya. Pada mereka ini, membawa haluan baharu dan perubahan yang kadang-kadang menjadi lebih baik untuk seseorang itu adalah tindakan yang paling tidak demokratik dan paling tidak berprinsip. Pelik kan? Bila sayang bilang rindu, bila hilang bilang benci. Nasihat saya untuk kalian, berbeda pendapat itu sunnah manusia. Fitrah hidup. Bersangka baik itu boleh memelihara iman. Berwaspadalah dengan mulut, kerana ia boleh bikin binasa. Berhati-hati lah dengan hati, ia boleh rosak dengan kebenciaan yang tidak rasional. Pertimbangkanlah dengan teliti dan halus sebelum membuat tindakan. Kelak terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata hati merana.
Nor Miswary Ramli
Shah Alam

Leave a Reply

Pautan Bermanafaat

Who am I?

My Photo
Nor Miswary b. Ramli
"Rakyat ini perlu dibela.Kita perlu hak-hak kita kekal segar dipelihara; oleh pemimpin yang benar, yang jujur dan yang taat kepada nilai-nilai Islam. Kita perlukan pendidikan dan bukannya hukuman sebagai asas perkembangan".
View my complete profile

Disclaimer

Semua artikel yang tersiar dalam blog ini merupakan idea dan aliran pemikiran penulis secara peribadi dan mungkin tidak sealiran dengan pertubuhan atau organisasi yang penulis anggotai. Ia boleh berkaitan dengan apa sahaja yang boleh memberi manafaat kepada pemilik blog atau mereka yang menurutinya. Komen, teguran dan kritikan yang membina dari pengunjung adalah dialu-alukan.
.
.
.
.

About

Powered by Blogger.

Popular Posts