Syam
Atilla berjalan terus ke depan. Tidak langsung di pandangnya ke belakang. Dia yakin Imma mengejarnya dari belakang. Imma memanggil-manggil namanya. Atilla terus berjalan. Semakin lama semakin deras langkah kakinya. Berderap bagai seorang laskar berkawad. Tetapi deras. Sesekali bunyi seperti kakinya dihentak-hentak ketika berjalan. Seperti sengaja dibuat-buat. Aku hanya melangkah perlahan-lahan sahaja. Tak kuasa aku melayan keranah anak orang kaya tu. Tetapi sebab kesiankan Imma aku ikut sahaja mereka. Tapi aku tidak pula bersungguh mengejar mereka. Itu hal persahabatan mereka. Aku tak perlu campur dan tak rasa aku perlu mencampurinya. Aku rasa begitu. Kadang-kadang kesian aku tengokkan Imma tu. Dia bukanlah antara pelajar yang bijak dalam kelas kami. Tapi dia selalu sangat cuba rapatkan dirinya dengan Atilla. Imma orang kampung. Datang jauh dari hulu Baling di Kedah. Ayah dan ibunya pesawah. Itupun bukan sawah sendiri, mereka cuma menyewa sawah orang lain. Imam memang mahu menjadi seperti Atilla. Dia teringin sangat mempunyai kawan sehebat Atilla. Dia cuba sedaya upaya menjadi seperti Atilla. Aku nampak dia bersungguh-sungguh mencuba. Tapi, aku rasa dia hanya diperbodohkan sahaja oleh Atilla. Sudah banyak kali aku betulkan kepala otak Imma tu. Dah berbuih dah mulut aku memberitahu tentang sikap Atilla terhadapnya. Tapi Imma tak percaya. Tak pernah percaya pun. Malah dia dakwa aku cemburukan persahabatan mereka. Dia fikir dia boleh menjadi seperti Atilla. Atilla lain. Atilla menggunakan Blackberry berbanding Imma yang hanya menggunakan Nokia 3210 jenis lama yang permainan ularnya pun belum canggih lagi. Beg tangannya pula Luis Vitton. Imma pun sama. Bezanya Imma membelinya di UpTown Danau Kota dan Atilla membelinya di butik berhadapan Pavillion. “Kau nak ke mana ni Tilla?” soal Imma seraya tiba didepan muka Atilla. Sekejap-sekejap Imma memandang ke kiri dan kanan. melihat orang yang lalu lalang melihat gelagat mereka berdua. Imma seperti malu-malu kucing. Dan sesekali tersengih-sengih kepada mereka yang melihat padanya. “Bukan kau yang cari pasal. Lagipun kau faham-faham jer lah si Syam tu. Dia memang jenis yang tak boleh diajak berborak. Bodoh sikit dia tu”. Imma menambah. Ditenungnya muka Atilla dalam-dalam. Atilla membatu sahaja. Nampak seperti dia memandang aku yang berjalan malas ke arahnya. Atilla menjeling dan menjegelkan matanya pada aku. Dia kemudian silangkan kedua-dua tangannya tanda protes. Tanda tidak setuju dengan segala bujukan Imma. Mulutnya di cebik. Lagak seperti Prof Rahman memarahi kami di dalam bilik kuliah. “Saya tak pernah kisah kalau korang malas belajar dan selalu buat hal. Gaji saya tetap jalan!”.Sindir Prof Rahman sambil memperbetulkan cermin matanya. Dia kalau marah memang begitulah. Menjegelkan matanya dan mengungkit-ungkit tentang gajinya. Aku memang naik takut. Dan sekarang Inma seperti mengadap Prof Rahman. “Aku benci la mamat sengal tu! Benci!!” Atilla tiba-tiba memekik dan terus berlari. Imma tergamam. Dia hanya melihat sahaja Atilla berlari terus ke hujung koridor dan turun ke tingkat bawah. Imma merengus perlahan. Dia berputus asa. Aku berhenti berjalan ke arah Imma. Aku melihat Atilla turun dari koridor. Dia sempat memandang kosong pada aku. Kemudian dia hilang dalam gelap. Imma memaling mukanya ke arah aku. Dia kemudiannya mencebik dan kembali mengejar Atilla semula.
Imma
“Kalau kau dapat peluang membunuh orang, dan takkan didakwa, takkan diketahui oleh orang lain, siapa yang korang nak bunuh?” Syam tiba-tiba bangkitkan soalan pada aku. Dan kemudian memandang ke arah Atilla pula. Dia yang baru balik dari beli makanan untuk aku dan Atilla sekejap tadi memandang aku dan Atilla serentak. Agak lama dia merenung kami berdua. Seperti cuba membaca fikiran kami. Aku diam sahaja. Bau nasi goreng Pattaya lebih menguja aku dari soalan Syam itu tadi. Syam bertanya lagi. Dan bunyi soalannya semakin mengarut. Aku terus saja berborak dengan Atilla. Kami seperti tidak mempedulikan Syam. Syam seperti mengomel kecil bersendirian. Atilla hanya minum jus epal yang dipesannya tadi. Dia belum menjamah makanannya lagi. Dia hanya memesan burger ayam McDonald. Aku tengok Syam berselera menjamah makanannya seperti pelarian Karachi yang kebuluran. Walaupun dia yang memecah suasana dengan soalannya tadi, tapi tidak pula dia menghiraukan aku dan Atilla ketika dia sedang makan. Dia hanya terus menyuap dan menyuap. “Kalau aku lah kan..aku nak sangat Bunyamin mati. Kalau aku dapat bunuh orang, dialah orangnya!”. Syam memecah diam kami. “Woi! Apasal pulak yang kau nak bunuh boyfriend aku hah?!” Sergah Atilla tiba-tiba. Dia yang tadi hanya bersandar memegang jus epalnya tiba-tiba berdiri. Nota peperiksaan yang juga dipegangnya dihempaskan ke atas meja di depannya. “Aaii..takkan marah kot. Aku belum buat lagi..”. Sindir Syam perlahan. Syam seperti keseronokan melihat telatah Atilla. Dia tersenyum galak. Syam seperti keterlaluan aku tengok. Entah apa niatnya pun aku tak tahu. Aku bangun dan cuba tenangkan Atilla. Sambil aku hampiri Atilla, aku memandang tajam ke arah Syam, seperti memberi arahan kepadanya untuk menghentikan bicara karut-marutnya itu. Syam menyambung makan. “Kita ni datang nak study. Paper yang masing-masing tak pandai. Bukan datang nak bincang nak bunuh orang. Apahal dengan kau ni Syam. Kemaruk apa kau nih?”. Aku mula berkhutbah. Atilla merengus sambil menyusun-nyusun semula nota-nota kecilnya. Kesian Atilla. Walaupun dia anak orang kaya tetapi hatinya baik. Dia tidak kedekut dengan aku. Jarang sekali kalau kami keluar makan dan aku yang membayarnya. Malah dia pernah menghadiahkan beg tangan jenama Fendi kepada aku. Walaupun tidak seperti yang aku harapkan, tapi beg tangan itu masih cantik. Warnanya cokelat tua. Ada bunga matahari kecil di hujung sebelah bawahnya. Kelopak bunganya sudah tidak banyak mungkin sebab banyak yang dah hilang. Warna cokelat tua tersebut juga agak luntur ketika Atilla menghadiahkannya kepada aku dulu. Tapi aku tak kisah. Asalkan ianya hadiah dari Atilla aku terima. Aku yakin niatnya baik. Syam sahaja yang kadang-kadang meragui persahabatan kami. Malah dia selalu memperlekehkan perhubungan aku dengan Atilla. Dia selalu memberi pesan kepada aku yang Atilla itu tidak ikhlas berkawan dengan aku. “Mana kau tahu dia ikhlas atau tidak?” Tegas aku sewaktu kami naik teksi bersama-sama untuk ke pusat boling beberapa minggu lepas. “Kau bukan Tuhan Syam yang boleh tahu hati orang. Lagipun dia baik pada aku Syam”. Aku mempertahankan Atilla depan Syam. “Kalau dia ikhlas berkawan dengan kau, nape kita kena naik teksi nak pergi tempat main boling tu? Kenapa dia tak ajak kita naik kereta dengan dia sekali padahal kita nak pergi ke tempat yang sama?”. “Lagipun rumah sewa kau ni dengan rumah banglonya tu kan dekat-dekat aje...”.Syam menambah dengan nada kecewa tanpa memberi peluang aku menjawab. Bagi aku Syam tak faham persahabatan kami. Memang aku dan Syam selalu bertekak hal-hal yang melibatkan Atilla. Dia akan selalu menyindir keikhlasan Atilla terhadap aku. Asal ada peluang, begitulah sikap dia kepada persahabatan aku dan Atilla. Sering dia mengulas akan apa-apa keadaan yang memberinya hujah mempertikaikan keikhlasan Atilla berkawan dengan aku. Kadang-kadang di depan aku dan kadang-kadang ketika bersama Atilla juga. Syam tidak peduli. Selalu begitulah diantara aku dan Syam. Aku selalu sahaja menjadi pihak yang mempertahankan Atilla. Dan Syam adalah pihak yang lagi satu. “Kau jangan bohong la Tilla. Aku yakin, kalau kau ada peluang peluang, kau pun nak jugak bunuh Bunyamin tu. Betul tak?” Syam tiba-tiba macam melenting dengan jelingan aku tadi. Dia seperti memberontak. Syam diam. Seperti menunggu-nunggu jawapan yang akan keluar dari mulut Atilla. Setelah ditutup tong sampah, Syam berjalan semula ke arah kami berdua. Aku mula nak menjawab. Tapi Syam menyambung lagi. “Aku tahu apa yang korang dah buat lepas pertandingan persembahan kebudayaan awal tahun lepas.” Syam mula yakin dengan langkahnya. Dia mula menyusun perkataannya satu demi satu. Keras nampak hatinya. Apa yang ada di dalam mulutnya seperti ditahan-tahan untuk keluar. “Aku nak buat apa pun dengan Min, nak mampus ker, nak hape ker, kau ape peduli hah?!” Atilla memekik. Menyeringa Atilla menjawab. Dia seperti mahu pergi menyerang Syam yang hanya selang satu meja sahaja dengannya. Aku yang duduk disebelah kiri Atilla jadi serba-salah. Aku tahu aku mesti mempertahankan Atilla. Tetapi mulut aku macam terkunci. Kedua belah kaki aku seperti melekat ke lantai. Aku seperti mahu mendengar lagi apa yang akan tersembur keluar dari mulut Syam. Aku makin serba salah. Atilla memandang aku seperti minta dibela. Ya. Dia benar-benar minta dirinya dipertahankan. “Memang aku tak peduli. Aku tak kisah pun. Tak kisah langsung. Betul!”. Syam tersengih sinis. Dia kemudiannya menyambung. “Yang aku kisah cuma baby yang kau buat abortion tu. Itu jer. Aku cuma nak tahu baby tu laki-laki ker pompuan?”. Syam seperti ketawa kecil mengejek. Dia kemudiannya bersahaja merenung tajam ke bola mata Atilla yang mula berkaca. Tiba-tiba Atilla bangun dengan menolak meja yang di depannya kepada Syam. Habis segala nota-nota, buku-buku dan makanan yang di atas meja tersebut jatuh berselerakan. Bersepah-sepah ke lantai kesemuanya. Bungkusan jus epalnya juga jatuh pecah membasah lantai. Syam sedikit terkejut. Atilla seperti orang naik minyak. Meracau dengan menghambur segala maki-hamun ke arah Syam. Dan Syam tidak pula langsung berganjak. Dia hanya bergerak sedikit ke belakang akibat mengelak dari meja yang ditolak oleh Atilla terkena kepadanya. Syam sepeti menunggu sahaja serangan seterusnya yang mungkin datang dari Atilla. Syam bersedia tetapi berhati-hati. Aku hanya diam kaget. Mulut aku tiba-tiba seakan hilang peti suara. Lagak seperti ketulan emas yang dikulum kemas di dalamnya. Atilla marah tetapi dia menangis juga. “Kau jantan sial apa tahu?!.Tahu main saja. Tau nak seronok jer. Yang tanggung aku?! Akuuuu!!”. Aku memeluk Atilla dari belakang. Cuba menenangkannya yang seperti dah dirasuk syaitan. “Sabar Tilla.Sabar..”. Seperti dengar tidak dengar sahaja perkataan itu keluar dari mulut aku. Aku tidak sangka sampai tergamak Syam untuk menyebut rahsia besar Atilla itu di depan aku. Aku juga tak sangka sampai begitu sekali hubungan Atilla dengan Bunyamin. Teruk benar bunyinya. Dan kalau benar hubungan tersebut sampai bilik tidur dan sampai membuat pengguguran bayi, itu sudah keterlaluan. Itu dosa yang amat besar. “Sabar Tilla. Bawak bersabar Tilla”. Aku menasihati Atilla lembut. Aku masih memeluk Atilla dari belakang. Atilla cuba melepaskan diri. Memulas-mulas badannya seperti kucing yang tidak suka dipeluk. Dia mengeliat dengan kasar untuk mencapai Syam di depannya. Syam masih membatu di situ. Tetapi berhati-hati. Atilla cuba mencapai apa-apa yang ada disekelilingnya dengan niat untuk membaling ke arah Syam. Namun dia gagal mencapai apa-apa. “Syam, lebih baik kau berambus Syam. Aku taknak tengok muka kau Syam! Keluar Syam. Keluaarrrr!!!” Atilla menjerit penjang. Tetapi suaranya mula perlahan. Syam semacam panik namun wajahnya bersahaja. Syam akhirnya bangun dan berjalan keluar. Melihatkan Syam keluar, Atilla duduk semula. Dia seperti menghempaskan punggungnya ke kerusi. Aku mengusap-ngusap rambutnya setelah nampak Syam bergerak agak jauh. Nafas Atilla turun naik dengan cepat. Dia bernafas seperti pelari 100 meter yang keletihan selepas membuat larian pecut. “Jangan dilayan mamat gila tu Tilla”. Aku memujuk lembut. Hatiku kecut juga dengan tindakan Atilla tadi. Debarannya masih terasa. “Dah!Aku nak balik!”. Atilla bangun mengemaskan barang-barangnya ke dalam beg. Dia menyusun kertas-kertas dan buku-buku yang berselerak di lantai dan memasukkan semuanya ke dalam begnya dengan kasar sekali. Dia masih lagi marah. Aku cuba menasihatinya dengan menyuruhnya duduk dan tenangkan diri. Atilla seperti tidak mendengar apa-apa pun yang keluar dari mulut aku. Dia hanya terus-menerus memasukkan barang-barangnya ke dalam beg. Dia masih lagi menangis tetapi mulai berkurangan. Fikirannya sudah tidak disini. Atilla keluar dari bilik dengan tergesa-gesa. Dia merengus kuat dan meghempas pintu bilik dengan kuat. Aku segera mengemaskan barang-barang aku dan memasukkannya dalam beg. Aku rasa aku patut mengejarnya.
Bunyamin
Hujan yang tadi lebat mulai perlahan. Namun sesekali guruh berbunyi kuat juga. Sebentar tadi dentuman yang terakhir. Aku rasa hujan ni memudahkan kerja aku. Aku percaya dengan hujan seperti ini ianya akan lambat berhenti. Silap-silap sampai subuh begini. Baju dan seluar aku ni sudah basah kuyup. Teruk juga hujan awal tadi. Topi memancing yang aku pakai ni pun juga sudah basah. Tangan kiri aku ni dah mula sakit. Rasanya macam dah bengkak otot. Kedua tangan aku ni masih lagi menggigil-gigil. Terketar-ketar aku memegang cangkul ni. Kesejukan dan ketakutan. Bercampur sebati kedua-duanya sekali. Sesekali bunyi-bunyi yang datang dari celah-celah hutan ini menakutkan juga. Tetapi air hujan sekali-sekala menutupi segala bunyi-bunyi tersebut. Katak-katak masih berbunyi tanda mahu mengawan. Aku kena cepat. Nanti akan ada orang perasaan aku hilang. Aku beritahu Umar yang aku cuma nak keluar beli prepaid Celcom sahaja. Mustahil boleh selewat ini. Cuma hujan yang datang ini turut turun sekali dengan kebaikannya. “Aku yakin budak tu bukan aku punya!”.Bentak Bunyamin. “Aku tak bawak kau balik rumah la. Lepas jumpa kau tu aku terus hantar kau balik!”.Bunyamin mempertahankan diri. “Woi jantan sial! Budak ni kau punya la!” Atilla memekik seperti orang gila. Tidak dipeduli sama ada orang mendengar atau tidak apa yang dijeritnya “Aku mana ada tidur dengan jantan lain! Budak ni kau punya!!”. Atilla seperti terkena histeria. Dia seperti orang hilang akal. Dipukul perutnya beberapa kali. Seingat aku, aku telah cuba menyabarkannya. Aku juga telah cuba memujuknya beberapa kali. Bunyi air hujan menitik di gigi topi membawa pertengkaran kami itu pergi. Aku kecewa betul dengan tuduhan Atilla. Tapi aku gagal meyakinkan dirinya, juga aku diri sediri. Yang pasti, aku hanya bersama Imma selepas pertandingan itu. Kami kemudiannya pergi makan bersama-sama. Aku tidak berjumpa Atilla apatah lagi tidur dengannya. Itu fitnah besar Atilla pada aku. Berat sangat untuk aku menerimanya.
Atilla
Di dalam dewan masih meriah. Pengacara majlis sedang mengumumkan peserta seterusnya. Para pelajar sendat memenuhi ruang dewan. Rata-ratanya pelajar baru. Mereka mula bersorakan. Ada yang menjerit-jerit dan membuat pelbagai bunyi. Ada yang membawa kain rentang dengan pelbagai jenis slogan dan tulisan sebagai tanda sokongan kepada peserta dari universiti mereka. “Aku ingat dia datang dengan kau?” Wawa menyoal sambil mengangkat kedua belah keningnya. Keningnya yang dilukis seperti orang yang sedang membuat persembahan opera di bandar Melaka ketika perayaan Tahun Baru Cina. Rasa macam nak ketawa terbahak-bahak melihat keningnya tu. Memang perempuan ni tak pandai menggunakan make-up betul. Sia-sia jadi perempuan bentak aku dalam hati. Aku hanya ketawa kecil. Peserta tarian dari kumpulan yang dianggotai oleh 5 orang lelaki kemudian muncul di atas pentas. Mereka berkaki ayam dan tinggi-tinggi orangnya. Lagaknya seperti mereka akan membuat tarian zapin. Aku perhatikan wajah penari-penari itu seorang demi seorang. Dengan berbaju Melayu Johor serta songkok hitam tinggi, mereka kelihatan bakal mempersenokan hadirin yang datang memenuhi dewan. Bunyamin salah seorang daripada 5 orang penari tersebut. Aku terpaku melihatnya. Dia melambai-lambai tangan ke arah kepada penonton yang datang seraya nama kumpulan mereka disebut. Dia tidak melihat ke arah aku tetapi aku yakin anak matanya meliar mencari-cari aku. Heh! Aku hanya menunggu saat-saat ini sahaja. Aku pernah lihat dia menari dan aku akui, kekasih hati aku tu memang pandai menari. Aku memuji-mujinya dalam hati. Malam pertandingan kebudayaan peringkat intervarsiti ini benar-benar mengujakan aku. Meriah dengan sambutan para pelajar dan lain-lain universiti dari seluruh negara. “Mana ada! Pagi tadi dia cakap dia tak berapa sihat and then dia cakap petang baru dia nak keluar cari aku. Aku ingat dia dah tak call, dia tak nak datang la tu.”Aku menjawab juga walaupun malas. Aku masih memandang terus ke pentas walaupun ketika aku bercakap dengan Wawa. Wawa hanya berdiri menunggu jawapan. Wawa adalah setiausaha program untuk pertandingan malam kebudayaan ini. “Mana boleh dia taknak datang. Dia pegang senarai susunan untuk hadiah dan jamuan makan malam ni..! Aduss..!Apahal pulak pompuan ni. Aku call dia tak angkat pulak!”. Wawa merengus keras tetapi seperti berbisik. Aku duduk di dalam bilik bahagian belakang dewan dan Wawa masih kekal berdiri disebelah aku. Kami berbual di dalam bilik kawalan audio visual untuk dewan. Wawa mula mengelabah.
Bunyamin
Aku yakin orang tak boleh menjumpainya lagi. Sekali lagi aku memijak-mijak tanah dengan kasut boot aku ni. Dengan cangkul yang ada di tangan aku ini, aku mampatkan tanah dengan sekuat-kuatnya. Kemudian, aku cangkul pula di sekeliling lubang yang aku kambus tadi ni. Hujan sudah berhenti menangis. Aku gembur-gemburkan lagi seperti mahu menanam sayur sawi di situ. Samada peluh atau air hujan yang tersangkut di dahi sudah tidak boleh dipastikan lagi yang mana satu akan ianya. Kerja menimbus tanah makin berat dengan baju dan seluar aku yang sudah teruk basahnya. Selang beberapa langkah, aku gemburkan tanah-tanah disekitarnya lagi. Aku buat beberapa kali di beberapa bahagian di sekitarnya. Aku percaya rasa syak sukar untuk timbul apabila terlalu banyak kesan tanah dikorek dan digemburkan berhampiran dengan lubang yang aku gali ni. Aku yakin aku akan selamat. Lagipun kawasan ni dah terlalu jauh dari pusat bandar. Seperti puas dengan hasil kerja seni, aku berdiri mengadap kubur bayi yang tidak berdosa ini. Aku renung kuburan itu seperti penglihatan aku menembusi tanah tersebut. Terus ke bayi yang tidak berdosa itu. Aku sudah membalutnya dengan kain yang bersih. Sudah aku mandikan dia sebelum aku bungkuskan dia.
Atilla
Aku tidak langsung menghiraukan Wawa. Aku mahu menonton persembahan tarian zapin di atas pentas sekarang. Seusai membuat persembahan, Bunyamin mendapatkan Atilla di bilik tersebut. Dia seperti kanak-kanak keriangan apabila melihat aku menunggunya disitu. Wawa telah lama keluar. Dan kini hanya kami berdua. Mula-mula hanya kami bergelak ketawa dengan berbual-bual kosong.
“Min, jangan lebih-lebih tau..Nanti daddy I cari you..”.Aku membantah apabila Bunyamin cuba merab-raba paha aku. Memang kami ada bercium, cuma aku tetap pertahankan batasannya. Aku tidak mahu sampai seperti di dalam bilik tidur. Ini sikap dan pendirian keras aku. Tapi malam ini perasaan aku agak lain dari biasa. Aku hanya mengikut sahaja apa ke mana sahaja kekasih hati aku bawa pergi. Sedar-sedar aku seperti di rumahnya. Ya. Rumah sewanya. Aku seperti berkhayal. Mata aku hampir-hampir terpejam apabila aku melihat yang berada disisi aku bukannya Bunyamin. Wajah kekasih hati aku ini mirip-mirip wajah Syam. Ah! Kenapa pula Syam yang aku khayalkan ketika aku dalam pelukan Bunyamin – kekasih jiwa raga aku. Aku mabuk agaknya. Tetapi aku tidak minum apa-apa pun sejak dari dalam dewan tadi. Ah! Bunyamin di sisiku. Syam cuma jantan sialan. Bunyamin seperti tidak pernah melihat aku. Habis seluruh tubuhku tidak langsung dipersia-siakannya malam itu. Aku seperti tiada sesalan malam itu. Aku serahkan segala-galanya yang aku pertahankan demi untuk Bunyamin. Cuma, sesekali wajah Syam jelas seperti sedang yang menggauli aku tanpa ehsan. Ah! Persetankan budak setan tu! Dia tidak tahu apa erti cinta sejati. Datang cuma dalam bayangan mencampuri urusan sulit aku. Bergema-gema hati kecil aku memujuk. Dan aku terus relakan Bunyamin menikmati segalanya.
Bunyamin
Walaupun aku ‘menyimpan’nya disini dengan dosa, sekurang-kurangnya aku ada bacakan al-Fatihah kepadanya. Itu pun semasa aku meletakkannya di dalam lubang kubur tadi. Aduh! Takut juga kalau di fikir-fikirkan semula. Setelah puas dan yakin dengan kuburan itu, aku mula berjalan keluar dari hutan. Aku percaya tidak ada sesiapa yang akan menjumpainya di situ. Lagipun lubang yang aku gali agak dalam juga. Agak-agak dalam 2-3 kaki dalamnya. Tambah pula aku membasuh mayat bayi tersebut dengan air perahan asam jawa dan aku lumurkan sekali lagi mayatnya dengan bahan tersebut untuk menghilangkan baunya. Dan bukaan lubangnya tidak pula aku buat dengan besarnya. Cukup-cukup untuk bayi tersebut. Bayi tersebut pun tidaklah begitu besar saiznya. Ah! Selamat ni. Hati kecil ini seperti memujuk-mujuk untuk menyedapkan hati aku. Setelah benar-benar yakin yang aku telah jauh keluar ke jalan besar dan sudah bergerak hampir ke motosikal, dengan tidak semena-mena, Syam tiba-tiba muncul. Dia berjalan keluar dari celah-celah belukar tidak jauh dari tempat aku letakkan motorsikal. Syam kelihatan mengigil, tetapi bersahaja. Matanya kuyu seperti seseorang yang sangat keletihan. Dia merenung tepat ke aku. Tangannya seperti menggeletar. Tidak dapat dipastikan apakah disebabkan kesejukan atau ketakutan setelah melihat aku menggali lubang dan memasukkan mayat seorang bayi ke dalamnya. “Rupanya Syam mengintip aku dari tadi lagi”. Bisik hati kecil aku. “Bagaimana Syam boleh mengekori aku sampai ke sini?”. Aku tiba-tiba jadi berdebar-debar. Jantungku bergerak dengan sangat pantas. Terasa debaran itu terdengar dari kedua belah telinga aku sendiri. “Adakah dia mengintip apa yang aku buat tadi?”. Hati aku mula bersilang-silang dengan soalan-soalan seperti itu. Malah, soalan tersebut seperti datang berulang-ulang dan bergema-gema. Langit yang mulai cerah seperti mahu berombak kelam. Aku tidak keseorangan sejak tadi rupanya. Aku yakin aku benar-benar berseorangan tadi. Nyata aku punyai saksi. Seorang saksi yang melihat sendiri bagaimana zuriat haram di tanam di dalam hutan liar untuk menutup dosa pada wanita yang digaulinya dan menutup dosanya pada Tuhan yang disembahnya. Syam seperti tergamam. Bola matanya hanya terarah ke celah-celah hutan dari tempat aku keluar tadi. Direnungnya dalam-dalam ke arah hutan kelam tempat aku buat lubang kubur itu. “Syam..apa kau buat kat sini?”. Aku menyoal agak kuat padahal Syam hanya beberapa ela di depan aku. Dia hanya membatu termenung. Matanya ke arah aku, fikirannya di tempat lain. “Syam..”. Aku mulai berlembut. Seperti orang yang bersalah merayu diringankan hukuman di hadapan hakim. Syam tidak menjawab malah seperti tidak menghiraukan aku. Syam seperti sedang menonton imbasan dosa-dosanya menerusi skrin layar putih di hadapan aku. Seperti sebuah tayangan filem perdana, segala apa yang di lakukan terhadap Atilla pada malam itu ditayangkan terus-menerus di hadapan Syam tanpa sedikit pun potongan. Dan Syam hanya tegar menonton. Segala nafsu jahat syaitan laknat melingkari perbuatan Syam pada Atilla dihidangkan di depannya seperti tanpa ehsan. Hati Syam seperti disiat-siat mengenangkan apa yang telah dia lakukan pada Atilla. Terkenangkan bayi yang lahir tanpa dosa itu membuatkan hati Syam meruntun pedih. Sakitnya tidak terperi. Tanpa sedar, airmata insaf keluar mencurah-curah dari celah-celah kerdip matanya. Syam kekal membatu di situ. “Syam..”. Aku cuba bersuara. “Aku pun berdosa juga Syam..”.Aku merayu. Biarpun bayi itu hasil hubungan terlarang Syam dan Atilla, tetapi akulah yang merancangnya. Aku berpakat lebih awal dengan Syam. Aku tahu yang Syam mengingini Atilla dan Atilla hanya menyukai aku. Demi untuk mendekati Imma, aku aturkan pertemuan terlarang pada malam selepas aku bertemu Atilla di bilik audio. Syam hanya perlu menunggu di dalam kereta dan membawa Atilla pulang ke rumah sewanya. Mengkhayalkan Atilla bukan sesuatu yang sukar. Atilla mudah dibohongi di tangan aku. Gerakan tangan Syam memberi isyarat menyuruh aku diam melantunkan memori perbuatan kami itu ke udara gelap. Jari telunjuk diletakkan ke mulutnya. Dari celah-celah cahaya awal pagi dan air hujan yang masih merengek kecil, Syam melangkah perlahan. Aku mengekorinya sahaja. Aku tahu ke mana dia mahu pergi. Syam tidak membantah dan hanya sekali menoleh memastikan aku mengekorinya. Seraya tiba, Syam hanya berdiri terpaku di hadapan apa yang dipanggil sebagai kubur anaknya itu. Aku berhenti hanya selang beberapa langkah dibelakangnya. Aku perhatikan juga sekeliling. Mana tahu ada orang lain pula selain kami. Syam kemudiannya mencangkung meratapi kubur anaknya itu seraya meramas-ramas tanah kuburan tersebut. Syam mengetap bibir menahan kesedihan. Airmatanya tiada tertahan. Kubur yang menandai dosa hitamnya pada bayi yang tidak berdosa itu ditenungnya bersungguh-sungguh. Aku juga terpaku. Syam berdosa pada bayi yang baru sahaja aku tanam tadi. Pada Atilla juga. Aku juga berdosa pada bayi itu. Dan tentunya pada Tuhan kami. Syam masih lagi keras membatu menangis semahunya. Dia seperti berteleku bagai tidak lagi punyai nyawa. Aku hanya menonton dengan penuh sesal. Tiba-tiba kedengaran salakan anjing dari jalan besar masuk ke lubang telinga. Juga bunyi siren polis nyaring menghampiri ke arah kami. Aku panik. Syam terus meraung.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago