Instagram

Permulaan untuk hidup selamanya


"Tiap-tiap yang berjiwa pasti akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami lah kamu dikembalikan". (AL ANBYAA' 35)


Mati itu suatu kebahagiaan, ia hanya menjadi beban ke atas sesiapa yang tidak bersedia untuk merasainya.

Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (ALLAh), yang mengetahui yang gaib dan yang nyata, lalu DIA beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan". (AL JUMU'AH 08).

Diriwayatkan bahawa, Nabi Muhamad SAW pernah bersabda, sesiapa yang meninggal di bumi Madinah, maka baginda berjanji untuk memberi syafa'at dan menjadi saksi untuk nya (si mati) di hari akhirat kelak. Begitulah kehebatan nikmat meninggal di bumi berkat Madinah itu. Kematian di situ juga disebut sebagai di antara pengakhiran yang baik buat orang mukmin iaitu apa yang disebut sebagai husnul khotimah. Namun, berapa ramai yang di antara kita yang boleh sampai ke sana dan meninggal pula di sana. Lalu,apabila Rasulullah bertanyakan hal tersebut kepada malaikat, maka di sebut oleh malaikat bahawa mereka yang meninggal di jalan jihad untuk agama ALLAH yakni syahid pasti tergolong di dalam husnul khotimah. Lalu Rasulullah bersabda lagi; maka oleh sebab itu pasti terdapat sedikit sahaja dari umat baginda yang berpeluang mendapat pengakhiran yang baik itu. Lalu, ALLAH mengurniakan beberapa peluang untuk kita umat Nabi Muhamad untuk memperolehi apa yang disebut husnul khotimah ini - yakni pengakhiran yang baik.


Namun, untuk menerima berita kematian, baik dari kalangan ahli keluarga mahupun sahabat handai, ianya tetap merupakan beban yang kadang-kadang sukar ditanggung. Berat mata yang memandang, lagi jauh berat bagi mereka yang menanggungnya.
Biarpun sekuat mana kita simpati, namun belum pasti kita capai 'empati'nya.

Kita boleh lihat bagaimana pendekatan yang ALLAH gunakan untuk menghiburkan Nabi Muhamad SAW yang kehilangan dua tonggak kekuatan dakwah baginda, iaitu bapa saudaranya Abu Talib dan isteri tercinta iaitu Sayidatina Khadijah.

Sebagai manusia, baginda juga merasa sedih dan pedih dengan kematian dua orang penting yang banyak berjasa dalam mengembangkan sayap-sayap Islam di Makkah. Maka, ALLAH peruntukkan peristiwa Israk dan Mikraj untuk memberikan Rasulullah ketenangan dan hiburan di samping untuk baginda menerima pensyariatan ibadat solat lima waktu.

Kita boleh bersedih atas pemergian insan yang kita kasihi. Ianya sunnah kehidupan dan sunnah Rasulullah. Ratapilah ia selagi tidak melanggari syarak.

Begitulah jua kita sebagai insan mukmin yang masih hidup. Biarpun setinggi mana kita pergi dan sejauh mana amal ibadat yang kita lakukan, belum tentu ia menjanjikan pengakhiran yang baik untuk kita. Tetapi, kita mestilah bersangka baik pada ALLAH dan jangan sesekali jemu untuk berbuat amal ibadat serta mengharapkan pengakhiran yang baik dari-NYA.

Kita tidak sesekali boleh tahu akan detik kematian kita, dimana dan diwaktu apa kita sebagai hamba-NYA dijemput menemui-NYA. Itu adalah hak mutlak ALLAH SWT. Akan tetapi yang paling penting bagi kita adalah berusaha dan berdoa agar supaya pengakhiran kehidupan kita berakhir dengan husnul khotimah dan bukan su`ul khotimah. Kerana kita telah mengetahui bahawa dalam kematian hanya ada dua pilihan sahaja iaitu husnul khotimah ataupun su`ul khotimah. Dan yang mengetahui kematian seseorang khusnul khotimah atau su`ul khotimah secara hakiki hanyalah ALLAH SWT.

Namun ALLAH juga memberi kita beberapa garis panduan kepada kita melalui Nabi Muhammad SAW tentang tanda-tanda seseorang yang meninggal dengan membawa gelaran husnul khotimah. Biarpun begitu, ianya sebagai tanda-tanda bagi meringankan beban dan memberi kelegaan buat keluarga si mati dan peringatan bagi mereka yang masih hidup.


Dari Abi Hurairah Ra, Rasulullah Saw bersabda : "Sebaik-baik hari adalah hari jum`at, karena pada hari jum`at itulah Adam di ciptakan. Pada hari jum`at ia di masukkan ke surga dan pada hari jum`at ia di keluarkan dari surga. Pada hari jum`at ia wafat dan tidak akan terjadi kiamat kecuali hari jum`at" (HR As-Syafi`I dan Ahmad).

Kita juga diperingatkan oleh Rasulullah betapa kematian yang diakibatkan oleh sakit di dalam perut atau disebabkan penyakit-penyakit seperti kanser, berperang yakni jihad di jalan ALLAH, berjihad menuntut ilmu di jalan ALLAH atau ketika kita sedang melakukan amal ibadat e.g. haji, solat atau kematian yang disebabkan melahirkan anak juga adalah termasuk di dalam gelaran husnul khotimah.

Namun, berita kematian orang mukmin yang dijemput oleh ALLAH pada malam atau pada hari Jumaat adalah berita yang paling menggembirakan.

Dari Ibnu umar Ra, Rasulullah Saw bersabda : "Tiada seorang muslim yang meninggal pada hari atau malam jum`at, kecuali ALLAH akan menyelamatkannya dari siksa kubur" (HR Ahmad & At-Turmudzi).

Maka, beruntunglah mereka yang diberi tawaran dan dijemput oleh ALLAH pada malam atau pada hari Jumaat, kerana ianya termasuk salah satu tanda yang di janjikan oleh ALLAH melalui Rasulnya.

Harus diingat panduan ini bukanlah membuat umat Nabi Muhamad menjadi takbur dan sombong serta terus menerus menjadi leka dan lalai ke atas kematian si fulan ataupun si fulan. Ianya cukup sekadar kita menginsafi kekurangan amal ibadat kita, kekurangan persediaan kita serta kewajiban untuk kita bermuhasabah diri lalu memperbetulkan diri kita sendiri sebelum kita pula dipanggil bertemu dengan-NYA. Moga-moga dengan usaha-usaha kita itu tadi memberi kita peluang untuk dijemput oleh ALLAH dengan pengakhiran yang baik, dengan gelaran husnul khotimah. InshaALLAH.

Tulisan ini didekasi teristimewa buat arwah Kak Mimi yang mendahului kita bagi sebuah permulaan untuk hidup selamanya.Moga ruhnya ditempatkan di kalangan mereka yang mendapat gelaran husnul khotimah. Amin. Al-Fatihah

Hasan Ali tidak baca sejarah parti?


Memahami Perjuangan

Sebuah parti politik tidak mungkin kekal tanpa beberapa perkara. Pertama, prinsip, kedua organisasi dan ketiga pimpinan. Pertama berupaya menarik minat pendukung dan penyokongnya. Dari sudut organisasinya ia akan melahirkan penggerak dan aktivis parti yang asasnya ialah ketaatan. Manakala ketiga, dari sudut kepimpinan mewakili hiraki tertinggi yang akan membekalkan arahtuju perjalanan parti. Melalui tiga komponen di atas, kita dapat mempelajari sesuatu yang amat penting iaitu, pemimpin akan datang dan pergi namun prinsip dan organisasi perjuangan akan terus kekal. Ini adalah pengajaran yang berkekalan sehingga ia menjadi satu kaedah yang sukar dicabar kebenarannya.

Dinamika Perjuangan

Ramai yang gagal memahami atau terlalu lembab untuk memahami bahawa perjuangan mempunyai dinamikanya tersendiri. Ia bukan sesuatu yang jumud dan beku sehingga gagal menepati kehendak dan tuntutan semasa. Ini adalah asas yang memberikan kehidupan kepada sesebuah parti yang mempunyai prinsip perjuangan. Yang dikatakan kebijaksanaan kepimpinan ialah bagaimana ia mampu mengimbangi antara mengekalkan prinsip yang tidak akan berubah dan menepati kehendak semasa yang berubah-ubah. Ia bukan sesuatu yang boleh dilakukan oleh pemimpin yang berfikiran jumud yang gagal memahami apa erti keseimbangan ini dan seni-seni yang diperlukan.

Dinamika PAS

PAS bukan sebuah parti yang jumud, perkembangannya dan sejarah pencapaiannya menggambarkan ia senantiasa menepati kehendak semasa tanpa hilang prinsip yang diperjuangkan. Gamaknya orang seperti Hasan Ali gagal membaca sejarah dinamika PAS walaupun berdegar-degar berucap di atas pentas PAS. Untuk pengetahuan mereka yang sekepala dengan Hasan Ali, PAS memulakan manifesto politiknya di awal 1950-an hingga 1960-an dengan menawarkan konsep negara kebajikan melalui slogan Baldatun Thaiyyibatun wa Rabbun Ghafur (petikan dari al quran). Asasnya ialah Adopt Islamic Principles, Restore Malay Sovereignity, Improve The Standard of Living, Practice True Democracy dan Promote Social Justice. Apakah Hasan Ali tidak membaca sejarah PAS kerana sibuk "bermotivasi" bahawa Negara Berkebajikan sudahpun menjadi manifesto PAS sejak 1950-an lagi? Apa yang dikemukakan oleh PAS hari ini hanyalah penyegarannya mengikut tuntutan semasa.

Isu Negara Islam

Awal 1980-an menyaksikan kebangkitan gerakan Islam mempertegaskan ideologi ummah secara global. Penjelasan kerangka sebuah negara yang mahukan Islam sebagai asasnya diterjemahkan dalam bahasa yang mudah difahami iaitu negara Islam. Perdebatan Negara Islam lebih kepada perbalahan intelektual yang asasnya ialah perbezaan pandangan antara isi dan format. Ia satu usaha untuk menggambarkan kesesuaian pemikiran kerangka negara yang ditawarkan oleh Islam. Namun secara praktikalnya perdebatan negara Islam akhirnya dijurus kepada isu substantif (isi) dengan menawarkan nilai-nilai keadilan sosial, kemanusiaan sejagat dan prinsip moral kepemerintahan.

Sekali lagi Negara Berkebajikan diolah mengikut kesesuaian semasa dan perkembangan semasa. Persoalan negara Islam hanyalah transisi kepada isu substantif yang lebih inklusif sifatnya. Apa masalah Hasan Ali dan yang sama waktu dengannya tidak memahami dinamika ini? Bukankah makna Tajdid ialah mengembalikan keadaan yang berubah kepada bentuk asalnya dan kekal releven?

Siapa yang Tergelincir?

Ada pepatah Melayu mengatakan "tidak pandai menari, lantai dikatakan tidak rata". Pepatah ini membayangkan suka menyalahkan orang lain untuk menutup kelemahan sendiri. Samalah dengan Hasan Ali yang mendakwa PAS tergelincir dari landasan perjuangan sedangkan dia yang tidak memahami dinamika PAS hari ini. Memang mudah menyalahkan orang lain daripada menyalahkan diri sendiri, namun ahli PAS lebih matang untuk menilai kenyataan Hasan Ali. Orang PAS akan bertanya balik, siapa yang tergelincir? PAS atau Hasan Ali?

Teruslah Bermotivasi

Selalunya apabila seseorang mula bercakap merapu kita akan berkata "teruslah anda bermimpi" tapi untuk Hasan Ali saya akan berkata "teruslah bermotivasi" walaupun ahli PAS dah menganggap ianya sesuatu yang basi. Kepada yang sama waktu dengan Hasan Ali, buatlah keputusan dan tanyalah kepada pakar motivasi anda bagaimana hendak cepat membuat pilihan. Bukankah pakar motivasi selalu mengatakan bahwa segala-galanya bermula dengan membuat pilihan! Sekurang-kurangnya Hasan Ali dah menampakkan arah tuju keputusan dan pilihannya, saya mengharapkan telahan saya tidak betul.

*Mujahid Yusof Rawa (gambar kiri) adalah ahli parlimen Parit Buntar, merangkap Pengerusi Perpaduan Nasional PAS.

Pautan Bermanafaat

Who am I?

My Photo
Nor Miswary b. Ramli
"Rakyat ini perlu dibela.Kita perlu hak-hak kita kekal segar dipelihara; oleh pemimpin yang benar, yang jujur dan yang taat kepada nilai-nilai Islam. Kita perlukan pendidikan dan bukannya hukuman sebagai asas perkembangan".
View my complete profile

Disclaimer

Semua artikel yang tersiar dalam blog ini merupakan idea dan aliran pemikiran penulis secara peribadi dan mungkin tidak sealiran dengan pertubuhan atau organisasi yang penulis anggotai. Ia boleh berkaitan dengan apa sahaja yang boleh memberi manafaat kepada pemilik blog atau mereka yang menurutinya. Komen, teguran dan kritikan yang membina dari pengunjung adalah dialu-alukan.
.
.
.
.

About

Powered by Blogger.

Popular Posts