Instagram

Nur Misuari tidak bersetuju berdamai?

The 17th MNLF Grand Summit Gathering, Davao Crocodile Park 2012 "THOUSANDS OF MNLF COMING FROM ALL OVER MINDANAO GATHERED AT DAVAO TO RAISE ONE VOICE UNDER THE LEADERSHIP OF THE LEGITIMATE BANGSAMORO REPRESENTATIVE MNLF CHAIRMAN NUR MISUARI" Laporan dalam akhbar tempatan meletakkan tajuk "Jangan Memperkecilkan Nur Misuari!" ini menunjukkan bahawa Nur Misuari tidak bersetuju dengan pelan damai yang ditandatangani antara MILF (Moro Islamic Liberation Front) dengan GPH (Government of the Philippines). Perhimpunan MNLF ini sangat jelas sebagai perhimpunan protes dari pihak MNLF yang dipimpin Nur Misuari terhadap perjanjian damai tersebut yang bukan sahaja menganggap MILF sebagai kumpulan bersenjata picisan malah dianggap sebagai kumpulan pengkhianat. Kerana ketika MNLF menandatangani Perjanjian Damai Autonomy pada tahun 1996, suku kaum Maranao-Maguindanao yang sebelumnya menyertai angkatan bersenjata MNLF telah berpakat keluar dari MNLF dengan menubuhkan MILF pula, dengan alasan mereka tidak mahu Autonomi tetapi kemerdekaan sebagaimana perjuangan awal. Tiba-tiba hari ini MILF pula yang mengikut jejak MNLF berdamai dengan SANGGUP menerima kerakyatan Filipina, bukan kemerdekaan negara Islam Moro seperti yang mereka laungkan. Barangkali inilah punca kemarahan utama MNLF terhadap saudara mereka dari kumpulan MILF ini. Iaitu cakap tak serupa bikin, beriya-iya nak teruskan peperangan dengan menentang perjanjian damai MNLF 1996 tapi akhirnya MILF sendiri yang terpaksa menelan segala cakap besarnya terhadap MNLF pada 1996 lalu. Salah satu dari kemarahan MNLF ialah perjanjian damai yang dimeterai MILF dengan Filipina itu secara automatik telah membatalkan segala perjanjian damai 1996 oleh Nur Misuari yang mewakili MNLF dengan Filipina. Sejak tahun 1996 Nur Misuari menunggu agar perjanjian damainya itu dilaksanakan oleh Filipina tapi malangnya bukan sahaja tidak dilaksanakan oleh Filipina segala fasa dalam perjanjian tersebut malah Filipina bertindak dengan bantuan Malaysia menutupi perjanjian MNLF 1996 itu dengan perjanjian baru MILF-Filipina ini. Gambarannya seperti satu syarikat pemaju hartanah telah menandatangani perjanjian dengan Syarikat A untuk pemajakan bangunan BLOK M, tiba-tiba pemaju ini telah bertindak memajakkan blok bangunan yang sama kepada Syarikat B pula. Bila Syarikat A tahu kerja khianat pemaju tersebut maka sudah sewajarnya syarikat A akan marah dan pasti akan lakukan tindakan yang difikirkannya perlu agar pihak pemaju mematuhi perjanjian pajakan AWAL. Sekarang Syarikat A (MNLF) ini bukan sahaja marah kepada Pemaju (Filipina) malah turut marah kepada Syarikat B (MILF) yang ketika dulu adalah rakan kongsinya. Kemarahan Syarikat A ini turut diarahkan kepada PEMAJU dari luar (Malaysia) yang tanpa rasa bertanggungjawab telah menyokong tindakan Pemaju (Filipina) sehingga membolehkan Syarikat B (MILF) itu mendapat konsesi pajakan bangunan Blok M (Moro). Apapun alasan Filipina untuk menafikan hak MNLF sebagai pemeterai perjanjian lebih awal ia nyata sekali tidak boleh diterima samada oleh Nur Misuari mahupun ahli-ahli MNLF sendiri. Di Malaysia, siaran TV tempatan telah melaporkan betapa Malaysia begitu bertuah menjadi ajen pendamai Nusantara sehingga mendapat pujian Ulama' Arab (Syeikh Yusuf Al-Qaradawi) tanpa menyedari bahawa ia bukannya keamanan yang menjadi TOKEN kepada kejayaan Malaysia itu, sebaliknya akan menjadi bibit perang saudara sebagaimana yang digambarkan oleh Nur Misuari sendiri. Sekiranya Malaysia berterusan MENUTUP MATA terhadap keadaan sebenar Sulu dan Mindanao itu, dikhuatiri masalah ini akan menular sampai menyentuh kes Sabah. MALAYSIA MENCARI JALAN KELUAR Malaysia memerlukan jalan keluar dari terlibat secara berterusan dengan mengambil langkah alternatif demi keselamatan wilayah dan POLITIK dalamannya. Ataupun berterusan mendokong MILF-Filipina sehingga mengorbankan kepentingannya sendiri yang selama ini diusahakan "terus tersorok" (kes Kesultanan Sulu). Malaysia mempunyai 3 agenda untuk bantu pelan damai Mindanao dengan Filipina, Pertama kerana hendak selamatkan karier politik Kerajaan yang semakin terancam oleh parti oposisi terutama dalam kes RCI (Suruhanjaya Diraja Menyiasat IC PROJEK/PALSU) di Sabah (penganalisis politik tahu hal ini) terpaksa dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia atas desakan pengundi Sabah dan parti-parti oposisi. Sebarang kegagalan bertindak dari pihak Kerajaan menangani pendatang asing, maka mereka akan kehilangan undi pada PRU-13 nanti. Kedua kerana RCI itu perlukan dokongan dari selatan Filipina, yakni tanpa keamanan di sana, RCI tidak dapat dilaksanakan secara efektif untuk menghalau Muslimin Sulu-Mindanao (PTI) kembali ke tempat asal mereka. Dalam masa yang sama Muslimin Sulu-Mindanao turut tidak berasa kecil hati sekiranya dihalau kerana Malaysia telah membantu amankan Selatan buat mereka. Yakni, sudah mudah mencari makan di Sulu-Mindanao kerana Malaysia telah janjikan dana besar buat FILIPINA UNTUK MEMBANGUNKAN SELATAN. Ketiga kerana tanggungjawab Malaysia terhadap kemakmuran jirannya yang bukan sahaja jiran itu berhak dibantu malah penduduknya adalah saudara seIslam, disamping itu juga dapat mailej antarabangsa terhadap bantuan damai tersebut. Beberapa orang sahabat saya dari kalangan mantan Tentera Malaysia bergilir-gilir mengucap tahniah kepada saya berkenaan keamanan yang sedang dikecapi oleh BANGSA MORO katanya setelah dibantu oleh DS Najib Tun Razak sebagai broker keamanan. Saya katakan pada mereka, ya kita doakan semoga bantuan Malaysia itu akan Allah swt berikan keberhasilan untuk manfaat ummah terutama Sulu dan Mindanao, dan insyaAllah kita di Malaysia akan turut merasa nikmatnya insyaAllah. Tapi, mereka terkejut bila saya berikan pandangan apa yang berlaku sekarang ini kemungkinan besar bukan keamanan malah sebaliknya akan mengancam keselamatan Malaysia di rantau ini. Saya bagi tamsilan, yang berlaku sekarang ialah "Orang luar bantu SABAHAN untuk datang ke Semenanjung Malaysia untuk mentadbir orang-orang Malaya (Melayu, India, China Orang Asli)", sudah tentu orang Malaya marah dan tidak mahu diperintah oleh SABAHAN atas dasar dominannya kuasa Kesultanan di Tanah Melayu itu. Tiada siapa pun orang MALAYA yang mahu, kerana hal ini bukan berdasarkan agama dan budaya semata-mata tapi berdasarkan Sejarah dari mana ia bermula. Maka bagaimana Malaysia boleh dapatkan jalan keluar ini? Menuding jari kepada DS Najib Tun Razak rasanya tidaklah adil, menuding jari kepada pihak Keselamatan dan Kementerian Luar Malaysia juga bukanlah caranya. Sekali pun dalam perkiraan mereka sebagai penasihat kepada dasar luar Malaysia berkenaan Keselamatan Negara itu, bahawa menjadi broker memeterai PERJANJIAN DAMAI FILIPINA dengan PEMISAH boleh membantu melonjak sokongan politik dalaman negara itu nampak terburu-buru, namun kesilapan ini bukan bertenggek di atas bahu mereka semata-mata. Kesilapan ini sejak awal lagi tapi samada pihak Keselamatan Malaysia tahu atau pura-pura tidak tahu sahaja. Ada beberapa kesilapan Kerajaan Malaysia terutama yang menyentuh dasar mereka terhadap apa yang mereka sebut sebagai PTI dari Sulu-Mindanao sejak perang Moro meletus pada tahun 1972 sehingga era 90-an selepas perjanjian damai MNLF-GPH 1996. Sejak dari awal Malaysia tidak menubuhkan ahlijawatan kuasa protokol yang menjaga hal ehwal para Datu dan Syarif Kesultanan Sulu di Sabah untuk pertahankan dirinya. Sepatutnya Kerajaan memperkasakan legasi Tun Datu Mustapha sebagai satu-satunya legasi yang boleh membantunya di masa-masa akan datang. Dengan mengiktiraf legasi Kesultanan Sulu di Sabah, Malaysia akan berjaya membentuk satu BENTENG yang mana Filipina pun tidak terfikir melakukannya (perlu difahami Filipina itu akan senantiasa menuntut Sabah dengan menggunakan HAK KESULTANAN SULU, tapi silap Filipina dia sendiri tidak memelihara legasi Kesultanan Sulu untuk beliau boleh gunakan menuntut Sabah). TYT harus dipilih dari kalangan para Datu dan Syarif Suluk yang tersusun dalam Rumah Bichara mereka sendiri yang dipantau oleh jawatankuasa pusat. Membuat IC Khas buat kaum SULUK dibawah nama TYT dan pengesahan dari DYMM SULTAN AGUNG Malaysia dan Majlis Raja-Raja. Kalau cara ini terhalang oleh 20 Perkara (perjanjian Sabah sertai Persekutuan Malaysia), jalan terbaik ialah mengiktiraf salah satu dari mana-mana gerakan Kesultanan Sulu yang lebih dominan dan diterima rakyat serta tidak terikat oleh Filipina atau Malaysia mahupun Indonesia sebagai batu asas PERTAHANAN. Menubuhkan jawatankuasa pusat memperkasakan persatuan-persatuan etnik terutama etnik Suluk yang sejak sekian lama mendominasi bandar-bandar dan pekan di seluruh Sabah kerana budaya mereka ialah PEDAGANG BARTER satu budaya purba yang masih mereka warisi dan amalkan. Untuk memperkasakan persatuan etnik ini jangan menggunakan platform politik kepartian kerana ia akan binasa. Sekiranya hal ini tidak dapat dilakukan oleh Kerajaan Malaysia, malah beterusan menggunakan isu IC Projek/Palsu dengan hanya melayan kerenah politik parti-parti perkauman maka sudah tentu pihak disebalah sana akan semakin berusaha memantap dan menyusun strategi untuk menghadapi pelbagai kemungkinan terhadap tuntutan wilayah dan sebagainya. Kemelut ekonomi yang semakin menjerut dan semakin sampai ke tahap "Memerlukan Perang Besar untuk reset ekonomi Dunia", maka hal Kesultanan Sulu ini sangat berpotensi digunakan sebagai MODAL KEDAULATAN untuk cetusan perang di rantau ini. Malaysia perlulah memahami bahawa, hal PTI di Sabah dan di Tanah Melayu sangat jauh berbeza. Menangkap PTI Indonesia, Myanmar dan India di Tanah Melayu dan kemudian menghalau mereka kembali ke negara asal mereka adalah mudah tanpa apa-apa kebimbangan konflik kedaulatan wilayah dan sebagainya. Berbeza dengan di Sabah, dengan statistik penduduk Sabah 3.2 Juta, lebih separuh darinya adalah dari Kepulauan Sulu. Separuh dari masyarakat Sulu ini pula adalah yang dilabel oleh Sabahan dan kerajaan Malaysia sebagai PTI. Jumlah mereka ratusan ribu orang yang separuh dari mereka biasa menggunakan senjata api automatik. Walau pun mereka ini ditangkap dan dipijak-pijak dalam rumah merah sebagai PTI dan tampak tidak melawan, namun mereka adalah berpotensi dijadikan tentera militia dimasa-masa akan datang. Hal ini perlu dilihat dari segi dalaman seperti ini terlebih dahulu sebelum melompat kepada yang lebih besar seperti "membrokerkan diri menjadi pendamai". Kalau kena pada tempatnya tidak apa, tapi nampaknya semakin mengarah kepada "seperti tikus membaiki labu". BAGAIMANA "MEMUJUK" MNLF AGAR MENDOKONG PELAN DAMAI MILF? Ada dua cara yang dirasakan boleh diusahakan dengan menggunakan PLAN A dan PLAN B serta kalau dah terdesak sangat gunakan PLAN C. Plan A hantar deligasi menemui MNLF pujuk mereka untuk penggiliran presiden BANGSAMORO Autonomi. Itu pun kalau MILF mahu berkongsi dan juga sangat bergantung dari persetujuan MNLF sendiri. Dan perlulah diingat, untuk wujudkan perkongsian kuasa ini memerlukan TANDATANGAN PERJANJIAN baru pula kerana isu perkongsian kuasa atau penggiliran ini tiada dalam agenda dalam perjanjian yang baru ditandatangani ini. Sekiranya komiti Malaysia yang sekarang sedang memantau pematuhan perjanjian damai tersebut dapat menyatukan MILF dan MNLF ini dalam masa terdekat agar berkongsi KUASA atau BERGILIR maka usaha Malaysia sebagai broker perjanjian damai ini adalah BERJAYA. PLAN B? Sekiranya tidak berjaya yang mana MILF dan MNLF tetap dengan ego masing-masing, tiada pilihan lain buat Malaysia ialah meminta atau mendorong Filipina untuk mengiktiraf Kesultanan Sulu kembali berdaulat dengan beberapa kaedah yang sangat efektif. Kaedah ini akan menutup mulut MNLF dan MILF kerana entiti KESULTANAN SULU adalah asas kepada perjuangan mereka ketika meletus perang Moro 1972. Ini adalah satu rahsia yang mana generasi muda Tausug telah lama tahu, malah generasi MNLF yang rapat dengan Nur Misuari ketika berdepan dengan Presiden Muammar Gadafi di Libya tahu akan hal ini. Malah Malaysia dan Filipina lebih-lebih lagi AMAT TAHU tentang hal ini. Tapi oleh kerana masing-masing diamanahkan menjaga WILAYAH Spanyol dan Inggeris serta diamanahkan mempertahankan legasi sistem Spanyol dan Inggeris itu maka keadaan tidak mengizinkan mereka MENGIKTIRAF Kesultanan Sulu. Kalau komiti DS Najib Tun Razak tak mampu memujuk MNLF dan MILF, kemudian tak sanggup menggunakan nama Kesultanan Sulu maka hanya ada satu jalan iaitu mengutus DS ANWAR IBRAHIM ke sana bertemu Nur Misuari. Mereka ini sahabat kamcing lagi pun DS Anwar Ibrahim tidak terlibat dalam penangkapan Nur Misuari masuk ke Malaysia ketika dahulu. Dalam beberapa keadaan mereka ni serasi dan punya beberapa projek bersama. Sumber:www.tausug-global.blogspot.com Info: Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) ialah sebuah pertubuhan politik di Filipina yang tujuannya mendirikan daulah Islamiyah di Sulu, Mindanao dan Palawan. Ia diakui oleh Pertubuhan Persidangan Islam, yang membenarkannya untuk mewakili orang Moro dengan suatu kedudukan pemerhati. Kini, kumpulan ini adalah parti pemerintah Wilayah Autonomi Islam Mindanao. Mindanao menjadi tanah untuk permulaan baru apabila bidang-bidang luas tanah diberikan oleh kerajaan Filipina pada zaman 1950-an kepada para petani miskin dan pendatang lain dari bahagian lain negara itu. Mindanao melihat dirinya sebagai rumah angkat penduduk peneroka Kristian yang giat berkembang yang dengan pantas mencerobohi kawasan kehidupan penduduk Muslim dan suku asli, yang kini mula merasakan mereka kehilangan tanah dan peluang ekonomi yang ada dengannya. Penduduk asal ini, terutamanya bahagian Muslim asal, membentuk rasa kecurigaan mendalam terhadap para pegawai Republik, sebuah republik di mana mereka merasakan diperlakukan sebagai warganegara kelas kedua. Disebabkan ini, Mindanao menjadi medan pertempuran. Apabila kira-kira 200 pelatih tentera Muslim Filipino dibunuh kerajaan Filipina di bawah Ferdinand Marcos pada 18 Mac 1968 di Corregidor, sekumpulan Muslim yang marah membuat keputusan satu-satunya pilihan untuk Muslim atau warisnya berkuasa ialah dengan mewujudkan kembali Kesultanan Sulu (termasuk Sabah), tanpa mengira betapa ganas atau berpanjangannya usaha ini. Nur Misuari, seorang profesor Universiti Filipina, menjadi ketua kumpulan ini dengan gelaran pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro pada awal 1970-an. MNLF mewarwarkan dirinya sebagai gerakan pembebasan Muslim Filipino dan memulakan pemberontakan di Filipina, dengan harapan mendapat kemerdekaan, atau sekurang-kurangnya autonomi kawasan untuk Filipina Selatan. Perjuangan ini akan memakan korban di antara 80,000 hingga 200,000 nyawa; di puncak kekuatannya, MNLF dapat mengira 30,000 anggota bersenjata dalam barisannya. Bagi mengurangkan pertikaian, Kerajaan Filipina bercadang mengadakan perbincangan secara aman pada tahun 1976. Dalam tahun yang sama, Perjanjian Tripoli telah dirundingkan oleh Ferdinand Marcos, ahli politik Libya, Moammar Gadhafi sebagai pihak tengah dan disokong oleh Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Perjanjian itu menyatakan supaya diadakan gencatan senjata dan meletakkan wilayah autonomi tersebut secara kasarnya adalah sebahagian daripada Republik Filipina. Tiga belas daerah dalam wilayah autonomi tersebut (lapan daripadanya diduduki majoriti Kristian) diisytiharkan dibawah peruntukan perjanjian, yang membenarkan masyarakat Muslim mendirikan “mahkamah, sekolah dan sistem pentadbiran” sendiri (berdasarkan penulis Lela Noble). Tambahan, wilayah yang diduduki oleh Muslim tersebut akan disediakan “sebuah perhimpunan perundangan, majlis eksekutif, angkatan keselamatan wilayah, sistem kewangan dan ekonomi” tersendiri.[1] Bagaimanapun, selepas mengikat perjanjian awal tersebut, Marcos mengadakan sebuah referendum, yang menunjukkan penentangan terhadap penyertaan daerah-daerah tertentu, penentangan terhadap daerah yang dianggap dimahukan oleh MNLF dan menyokong pelan Marcos agar dua daerah diletakkan di bawah kerajaan pusat. Gencatan senjata terawal memberikan peluang kepada Misuari dan tenteranya masa untuk berehat (peluang yang diterima secara adil oleh tentera Filipina), yang akhirnya memberi tekanan terhadap kepentingan MNLF. Kumpulan tersebut mengalami masalah dalaman dan berpecah kepada tiga kumpulan utama. ketidaksepakatan antara golongan sederhana dan konservatif tercetus selepas keengganan MNLF mengadakan pemberontakan. Berikutan hal ini, pada tahun 1981, golongan yang lebih konservatif membentuk Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF). Pada tahun 1996, kata sepakat akhirnya dicapai oleh MNLF dan kerajaan. Wilayah autonomi itu diberikan kepada majoriti Muslim di kawasan tersebut. Kawasan itu kini dikenali sebagai Wilayah Autonomi Muslim Mindanao.

Leave a Reply

Pautan Bermanafaat

Who am I?

My Photo
Nor Miswary b. Ramli
"Rakyat ini perlu dibela.Kita perlu hak-hak kita kekal segar dipelihara; oleh pemimpin yang benar, yang jujur dan yang taat kepada nilai-nilai Islam. Kita perlukan pendidikan dan bukannya hukuman sebagai asas perkembangan".
View my complete profile

Disclaimer

Semua artikel yang tersiar dalam blog ini merupakan idea dan aliran pemikiran penulis secara peribadi dan mungkin tidak sealiran dengan pertubuhan atau organisasi yang penulis anggotai. Ia boleh berkaitan dengan apa sahaja yang boleh memberi manafaat kepada pemilik blog atau mereka yang menurutinya. Komen, teguran dan kritikan yang membina dari pengunjung adalah dialu-alukan.
.
.
.
.

About

Powered by Blogger.

Popular Posts