KUALA LUMPUR, 20 FEB: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuktikan fakta sejarah yang menghasut dan mengapi-apikan dalam filem 13 Mei, Tanda Putera mengenai sekumpulan belia Cina yang kencing pada tiang mengibarkan bendera Selangor di rumah Menteri Besar Selangor ketika itu sehingga mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969. Katanya, Perdana Menteri perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penghinaan yang bersifat perkauman dan tidak mengikut fakta sejarah di dalam filem 13 Mei itu kerana menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan, Najib yang mengarahkan filem itu ditayangkan secara eksklusif kepada 3,000 peneroka Felda yang berhimpun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Isnin lalu. “Hanya peneroka Felda yang dibenar menonton filem yang ditayangkan itu selepas wartawan yang hadir diminta meninggalkan dewan di PWTC itu. “Jurucakap mendakwa filem itu dibuat berdasarkan banyak kajian, seperti mengkaji bahan dan gambar yang didokumenkan bagi memastikan adegannya disokong dengan fakta sejarah. “Di manakah bahan dokumen dan gambar insiden kencing pada tiang yang mengibarkan bendera Selangor di luar rumah Menteri Besar Selangor ketika itu hingga mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969? “Saya pada mulanya difitnah apabila pihak publisiti filem dan cybertrooper UMNO sebagai orang yang kencing pada tiang bendera di luar rumah MB Selangor itu adalah penipuan yang sangat hina dan pengecut kerana tiada orang yang waras, rasional dan bertanggungjawab akan melakukan perbuatan seperti itu,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 50 Hari ke PRU-13, di sini, semalam. Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, beliau sebenarnya tidak berada di Kuala Lumpur antara 11 dan 13 Mei 1969 kerana pada awal pagi 13 Mei 1969 itu saya sudah menaiki kapal terbang ke Kota Kinabalu untuk membantu kempen pilihan raya calon bebas di Sabah ketika itu. Katanya, selepas pilihan raya umum 10 Mei 1969, beliau hanya pulang ke Kuala Lumpur pada 18 Mei 1969 sebagai tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), selepas ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Menurutnya, Malaysiakini melaporkan bahawa filem 13 Mei yang ditayangkan secara eksklusif kepada peneroka Felda pada Isnin lalu mempunyai adegan kontroversi kencing pada tiang yang mengibarkan bendera Selangor di luar rumah MB Selangor ketika itu, tetapi hanya dilakukan oleh sekumpulan belia Cina. “Sejak diposkan entri berkenaan skandal kencing itu di Facebook rasmi Tanda Putera, saya bertanya ramai orang sama ada mana-mana orang pernah mendengar mengenai insiden kencing pada tiang bendera sehingga tercetusnya rusuhan 13 Mei 1969, tetapi tiada siapa pun pernah mendengar mengenainya sebelum ini. “Tidak ada dalam Kertas Putih yang dikeluarkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pada 9 Oktober 1969 bertajuk “Tragedi 13 Mei” atau di dalam buku Tunku Abdul Rahman ”13 Mei – Sebelum dan Selepas” merujuk kepada sebarang insiden kencing pada tiang bendera di rumah MB Selangor,” tambahnya. Menurutnya, adalah adil rakyat Malaysia memberi Perdana Menteri 48 jam untuk menunjukkan bukti sejarah insiden itu sepertimana yang dipaparkan dalam filem 13 Mei sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago