
Dalam banyak-banyak urusan di rumah, tidak upaya kita 
nafikan, ibu kita telah banyak memainkan peranan mereka dengan sangat 
berkesan. Dari bangun tidur sampai sebelum tidur semula, tiada ibu, 
rumah tidak akan berfungsi sepenuhnya. Bayangkan ketika ibu tiada 
gencatan senjata dengan ayah, bawah tudung saji sudah tentu-tentu 
kosong. Dari mengurus soal membasuh, sampailah baju seluar itu digosok 
untuk dipakai semula oleh ayah dan anak-anak, urusan ibu tak pernah 
tertinggal.
Dalam soal menentukan menu juadah berbuka hari-hari 
sekarang ini pun, ibu jualah yang membuat keputusan. Keputusan yang 
jarang-jarang sekali mengecewakan. Walaupun menentukan menu itu 
kelihatan seperti soal yang remeh, tapi ayah sebagai orang lelaki pun 
kadang-kadang gagal menentukan seleranya sendiri.
Pengalaman penulis sendiri melihat kelaziman tersebut 
mengesahkan betapa ibu manusia paling boleh dipertanggungjawabkan dalam 
soal pendidikan anak-anak dan pengurusan keluarga. Ke mana suaminya 
ketika itu kita boleh persoalkan dalam tulisan yang lain. Namun setakat 
itu sahajakah peranan seorang ibu yang seperti yang dijanji Tuhan 
sebagai keredhaan-Nya hanya selepas mendapat keredhaan ibu?
Sejak kita bersekolah sampailah ke peringkat universiti 
malah sehinggalah ke persekitaran kita bekerja; kita dikelilingi oleh 
begitu ramai kaum Hawa yang sangat menakjubkan ini.
Jadi untuk apa kita khuatirkan jika mereka ini boleh 
menjadi pemimpin besar negara atau sekadar bermula sebagai menteri besar
 sesebuah kerajaan negeri. Kita telah mempercayai mereka sejak berkurun 
dari sekecil-kecil perkara, maka kemampuan mereka untuk perkara-perkara 
yang lebih besar usah pula kita pertikai.
Memetik pandangan tokoh ulama Islam dunia Dr. Yusoff 
Al-Qaradhawi, memilih wanita sebagai pemimpin termasuk ke jawatan 
tertinggi seperti Perdana Menteri adalah sesuatu yang menjadi keharusan 
dalam dunia hari ini.
Malah, dalam kitab Min fiqh al-dawlah fil Islam 
beliau menegaskan bahawa memilih dan melantik pemimpin haruslah 
berdasarkan merit kelayakan atau kemampuan, bukan faktor jantina.
Menarik apabila Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah 
memulakan, kalau pun bukan sebagai pihak yang pertama di dunia, langkah 
yang besar dan penuh rahmat ini. Contoh paling masyhur adalah apabila 
DAP memilih untuk melantik wanita ke kerusi Speaker Dewan Undangan 
Negeri Selangor (DUN Selangor). Langkah itu memperlihatan kematangan DAP
 memahami tuntutan meningkatkan penglibatan wanita dalam arus 
urus-tadbir negeri dan malah tidak mustahil ke peringkat kepimpinan 
negara kelak.
Jika dilihat peranan yang dimainkan YB Hannah Yeoh sebagai 
Speaker DUN, kaum wanita tidak boleh terkecuali daripada memperolehi 
kredit kejayaan Pakatan Rakyat (PR) di negeri Selangor. Jeliknya, banyak
 orang menjaja hujah untuk menghalang fenomena ini daripada terus 
bercambah.
Bukanlah kerja penulis untuk menghambat kumpulan-kumpulan 
yang membuat dakwaan-dakwaan kotor memperlekeh kemampuan wanita dalam 
soal pentadbiran sesebuah negeri ataupun negara. Kenyataan demi 
kenyataan yang mereka kemukakan telah dengan sendirinya memperlihatkan 
kedangkalan dan ketakutan mereka.
Jika kita mencapai konsensus untuk memilih mereka yang 
berkelayakan dan berkemampuan ke jawatan tertinggi tertentu, sama ada di
 peringkat negeri ataupun negara, molek benar jika kita pakat-pakat 
mempersetujuinya.
Mana tahu sejarah yang telah kita mulakan akan berkembang 
dan terus berkembang membentuk negara yang mempunyai keseimbangan dan 
keterlibatan berkesan semua golongan.

