Adakah sesuatu yang salah apabila aku meminati lagenda 'King of Pop' - Michael Jackson? Setakat hari ini, semenjak kematian beliau, aku tidak memberi sebarang komen melalui entri dalam blog ini tentang manusia yang 'Thriller' dan 'Heal the World' itu. Bukan terlalu sedih. Tidak. Sekadar simpati. Dan dengan menelaah tulisan-tulisan orang lain melalui ruangan-ruangan seperti ini, menonton televisyen, majalah dan mendengar semula lagu-lagunya, bagi aku sudah memadai. Namun hari ini aku terjebak jugak untuk memasukkan entri mengenai raja yang berwajah cantik ini. Bukan apa, beliau memang luar biasa. Lihat sahaja lirik-lirik lagu popular beliau. Beliau tidak mengajak kita untuk berlumba-lumba membuat kejahatan, beliau mengajak masyarakat dunia untuk berbuat kebaikan. Beliau cuba menyedarkan masyarakat dunia dengan tulisan lagu-lagu hitsnya. "Man in the Mirror", "Heal the World" dan "Earth Song" adalah di antara lagu-lagu hitsnya yang mengingatkan kita untuk lebih bertanggungjawab ke atas penduduk dunia, alam sekitar dan kanak-kanak. Tidakkah beliau seorang yang hebat? Apapun telahan negatif masyarakat terhadap beliau, aku tetap melihat beliau mempunyai kesungguhan dan ketabahan untuk memperjuangkan sesuatu yang dipercayai oleh beliau sendiri sebagai sesuatu yang benar.
MJ 1958 - 2009: Beliau dah memiliki segalanya. Kemahsyuran. Kekayaan. Kecerdikan. Ketekunan. Kegigihan. Kesabaran. Kontroversi. Fitnah. Mahkamah. Dadah. Kegilaan ramai. Kecantikan. Anak-anak. Isteri-isteri. Peluang membuat kebaikan. Kematian. Dan moga-moga beliau dapat nikmat Keimanan. Semoga beliau mendapat rahmat Tuhan.